PKPB di Lembah Klang, tempias di Melaka - Utusan Malaysia

PKPB di Lembah Klang, tempias di Melaka

Suasana lengang dan sunyi di Kota A’ Famosa berikutan kerisauan orang ramai mengenai kenaikan mendadak kes positif Covid-19. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JARAK Bandar Seri Putra di Selangor dan Alor Gajah, Melaka, kurang 90 kilometer. Pekan yang dipisahkan oleh Negeri Sembilan itu sering menjadi laluan utama bagi yang berkunjung ke bandau bersejarah ini. Pada hujung minggu, kenderaan dari Lembah Klang bertali-arus memasuki Plaza Tol Ayer Keroh dan Plaza Tol Simpang Ampat.

Namun, suasana berbeza dilihat sekarang berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang berkuat kuasa Rabu lalu.

Meskipun Melaka tidak terlibat dengan PKPB tetapi secara tidak langsung memberi impak kepada industri pelancongannya. Sebelum ini ramai datang pagi dan pulang sebelah petang atau malam. Namun, kini tidak dapat lagi singgah ke Banda Hilir, Dataran Klebang atau Zoo Melaka waima sekejap pun.

Kedai-kedai makan, pengusaha inap desa dan pemilik hotel bajet resah apabila jumlah pengunjung merosot. Malah, pengayuh beca juga termenung panjang kerana perkhidmatan mereka sekali lagi tergendala seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.

KABAUKAN

Berdasarkan data yang dikongsi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (Mybha) Sektor Melaka baru-baru ini, lebih 40 peratus tempahan menerusi dalam talian dibatalkan oleh pelancong selepas kenaikan mendadak kes positif Covid-19. Sepatutnya Mybha kabaukan, permintaan hotel bajet penuh sehingga hujung bulan ini berdasarkan tempahan yang dibuat pengunjung dari Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Kini, Melaka perlu mengharapkan sokongan pelancong dari Johor yang mencatatkan antara jumlah pengunjung tertinggi bercuti ke negeri ini. Namun, dalam suasana pandemik yang makin meruncing, semua lebih selesa duduk di rumah.

Apatah lagi di Melaka terdapat sembilan kes aktif Covid-19 setakat 14 Oktober lalu dengan dua kes baharu di Durian Tunggal dan Rembia.

Jadi, mahu tidak mahu mereka yang mungkin ‘terlepas’ balik dari Lembah Klang perlu melakukan kuarantin kendiri di rumah masing-masing walaupun yakin tidak bergejala atau tidak melakukan kontak rapat dengan individu positif.

Langkah kerajaan negeri mewajibkan perintah pengawasan dan pemantauan di rumah selama 14 hari kepada individu yang baru tiba dari Sabah juga wajar dipuji walaupun disifatkan sesetengah pihak agak terlambat membuat keputusan itu.

Apa pun, yang penting kita terus jaga kesihatan diri dan elak keluar rumah selain untuk bekerja atau urusan penting. Memanglah lepak kedai mamak boleh tambah order macam-macam, tapi bungkus makanan balik makan di rumah pun satu nikmat juga, hawau.

AMBUAT TU – Tengah scroll menu dalam telefon ke?

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Melaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN