Apabila daerah Kota Setar dikenakan lockdown dari 4 hingga 16 September lalu, antara puncanya adalah penularan pandemik Covid-19 di Penjara Alor Setar (dipanggil Kluster Tembok).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman mengesahkan, 36 tahanan Penjara Alor Setar yang positif Covid-19 telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Jalan Langgar bagi mendapatkan rawatan rapi selepas keadaan mereka didapati serius.
Sehingga 4 Oktober lalu, Kedah mencatatkan 414 kes membabitkan Kluster Tembok. Berdepan situasi buruk ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan, atas nasihat Menteri Kesihatan, kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di kawasan penjara termasuk kuarters kakitangan selama 14 hari berkuat kuasa 12.01 tengah malam, 6 Oktober sehingga hari ini.
Selain penularan pandemik di Penjara Alor Setar, insiden sama berlaku di Penjara Tawau di mana 381 banduan dikesan positif (dipanggil Kluster Benteng LD).
Satu laporan media pada 7 Oktober lalu memetik Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar sebagai berkata, sehingga tarikh itu terdapat 1,126 kes aktif membabitkan banduan dan kakitangan penjara dicatatkan di seluruh negara.
Jelasnya lagi, bagi mengurangkan tahap kebolehjangkitan dalam kalangan banduan dan mengurangkan kesesakan di penjara, Jabatan Penjara telah mengambil langkah penyelesaian yang drastik. Antara langkah ini adalah mengeluarkan pesalah kes dadah dari penjara dan menempatkan mereka semula di beberapa kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diwartakan sebagai penjara sementara. Kem-kem PLKN ini dijangka boleh menampung antara 2,300 hingga 2,800 banduan.
SOP baharu untuk penjara
Kesesakan di penjara menyebabkan sukar bagi kerajaan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal antara sesama banduan dan antara banduan dengan warga kerja penjara. Menyedari bahaya jangkitan pandemik dalam kalangan banduan, kerajaan melaksanakan SOP yang menghendaki semua banduan dan tahanan reman baharu menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum mereka dibenarkan masuk ke dalam penjara.
Mengikut Ismail Sabri, banduan sedia ada dalam penjara tidak dibenarkan keluar kecuali bagi tujuan rawatan dan pengurangan kesesakan. Pergerakan dalam penjara juga dihadkan kecuali banduan dapur dan banduan kebersihan. Selain itu, lawatan keluarga banduan turut dibatalkan serta merta. Proses sanitasi di dalam dan luar penjara pula dibuat dua kali sehari.
Kapasiti penjara
Kita dimaklumkan, kapasiti maksimum penghuni penjara pada masa ini adalah sekitar 53,830 orang. Malangnya, penghuni penjara kita sudah melebihi 72,000 orang, manakala 30 penjara memang sesak.
Sebagai penyelesaian, dicadangkan satu prosedur pelepasan awal (early release) diperkenalkan. Kerajaan Filipina telah mengambil langkah ini di mana hampir 10,000 tahanan diberi pelepasan awal untuk mengekang penularan Covid-19 di penjaranya yang penuh sesak.
Indonesia juga telah melepaskan awal lebih 22,000 banduan (yang telah menjalani lebih daripada dua pertiga tempoh hukuman penjara mereka) untuk mengurangkan risiko penularan wabak dalam penjaranya. Bagaimanapun, banduan yang disabitkan dengan rasuah, keganasan dan kesalahan berkaitan dadah tidak termasuk dalam program pelepasan awal ini.
Kriteria banduan yang diberi pelepasan awal
Andainya banduan yang diberi pelepasan awal dalam satu jangka masa nanti terlalu ramai, tidakkah itu akan menimbulkan rasa resah gelisah kepada masyarakat di luar penjara? Jawabnya, dicadangkan kerajaan membuat satu garis panduan dan kriteria yang jelas mengenai kategori atau jenis banduan yang boleh dipertimbangkan diberi pelepasan awal kerana Covid-19.
Misalnya, keutamaan boleh diberi kepada kategori berikut – banduan warga emas, mereka yang dijadualkan dibebaskan dalam tempoh terdekat, yang dipenjarakan kerana kesalahan kecil atau kesalahan tidak melibatkan keganasan dan bermasalah kesihatan (berisiko tinggi jangkitan Covid-19).
Di Oregon, Amerika Syarikat, kerajaan negeri itu telah menetapkan kriteria banduan berikut untuk diberi pelepasan awal:
– sakit dan berisiko tinggi.
– dihukum bukan kerana kesalahan mencederakan orang lain.
– telah menjalani hukuman sekurang-kurang separuh daripada hukuman.
– mempunyai rancangan (ada kemahiran atau keupayaan) untuk meneruskan kehidupan mereka pada masa depan.
Pertubuhan bukan kerajaan, Human Rights Watch (HRW) mencadangkan kriteria berikut:
– melakukan kesalahan kecil.
– hampir habis tempoh penjara.
– kanak-kanak, warga tua, sakit dan berisiko tinggi.
– tahanan reman (belum lagi dihadapkan dengan pertuduhan).
Minggu lalu, saya ditanya oleh wartawan tentang program pelepasan banduan secara berlesen (PBSL). Program ini diperkenalkan pada 2018 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Di bawah program ini, banduan dilepaskan dengan syarat-syarat tertentu selama tujuh hari dan mesti kembali menjalani hukuman selepas tempoh tersebut.
Banduan yang boleh memohon adalah yang menjalani hukuman lama (tidak kurang dari empat tahun) dan telah berada di Peringkat 4 dalam Sistem Peringkat Progresif di penjara. Program ini (dibuat di bawah Seksyen 43 Akta Penjara 1995) tidak ada kaitan dengan isu kesesakan penjara atau risiko jangkitan Covid-19 disebabkan kesesakan penjara.
DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.










