Pada 18 Mac lalu, kita terpaksa berkurung di dalam rumah apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan berikutan penularan pandemik Covid-19. Selepas beberapa bulan, kita mula membiasakan diri dengan norma baharu.
Golongan pekerja dan pelajar menjalani rutin pekerjaan dan pembelajaran secara dalam talian. Terma bekerja dari rumah (WFH) tidak lagi asing.
Sebenarnya konsep WFH bukanlah fenomena baharu. Ia merupakan satu bentuk pengaturan kerja fleksi yang bukan sahaja dapat mengurangkan kos operasi organisasi. Malah boleh meningkatkan kepuasan kerja khususnya dalam kalangan wanita berkeluarga yang berkerjaya. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tidak ketinggalan mengadaptasikan norma baharu WFH. Namun, norma baharu ini tidak menghalang warga kerja di kampus untuk menganjurkan program-program sebagaimana sebelum kita diserang pandemik Covid-19 yang mengubah cara hidup dunia.
WASATIYYAH
Dalam perjuangan memerangi wabak Covid-19, kita seharusnya mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupan. Kesederhanaan yang berasal dari kata akar sederhana ini bermaksud tidak lebih, tidak kurang, biasa, pertengahan atau sedang dalam pelbagai perkara atau tindak-tanduk. Boleh juga dimaksudkan sebagai sesuatu perkara yang tidak banyak selok-beloknya, tidak rumit dan tidak sulit, sejajar konsep wasatiyyah, membawa maksud kesederhanaan yang menjadi asas kepada pembentukan peribadi individu Muslim. Seterusnya membawa kepada pembangunan masyarakat beretika dan bertamadun, pendekatan yang tidak melupakan nilai akhlak, dan moral kerohanian dalam segala amalan dan tindakan serta tidak melampaui batasan akhlak. Kesemua elemen ini sangat diperlukan dalam norma baharu ketika ini.
Profesor Dr. Yusuf Al Qaradawi menyatakan, sesungguhnya kesederhanaan adalah kuasa penyatu. Ini kerana pemikiran sederhana mampu menerima pendapat dan pandangan orang lain. Berbeza dengan pandangan orang ekstrem dan melampau yang selalunya akan menentang seterusnya mengganggu proses pihak berkuasa untuk memutuskan rantaian Covid-19.
Kesemua usaha ini tidak akan berjaya tanpa ada rasa kebersamaan diantara individu dalam masyarakat ketika era pandemik ini. Kebersamaan rakyat membentuk keharmonian dalam masa yang sama juga memerlukan amalan wasatiyyah. Hanya dengan rasa kebersamaan antara pelbagai kaum menjadi kunci utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran agar negara kita dapat mencapai matlamat yang ditetapkan.
POLITIK
Kestabilan politik amat penting kerana ia memberikan impak kepada segala tindakan dan rancangan untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat dalam aspek kesihatan, khususnya mengawal kadar kematian dan peningkatan ketara kes harian yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. Kaedah dan strategi yang dirancang dan dilaksana oleh Kementerian Kesihatan setakat ini ternyata bergantung kepada kestabilan kerajaan dan keharmonian negara hasil daripada rasa kebersamaan setiap rakyat yang menyokong sepenuhnya usaha pemulihan berkenaan.
Setiap individu seharusnya juga mempunyai sikap kebolehpercayaan untuk terus memastikan kaedah-kaedah dan strategi-strategi yang dirancang oleh kerajaan berhasil dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 ketika ini. Kebolehpercayaan diperlukan terutamanya dalam tanggungjawab mendaftar keberadaan di luar rumah terutama di pusat beli-belah, majlis-majlis dan sebagainya. Ketidakjujuran hanya akan merumitkan lagi usaha mengekang penularan wabak ganas ini.
Sikap kebolehpercayaan ini juga amat diperlukan dalam situasi bekerja dari rumah atau belajar secara dalam talian.
TAHARAH
Sikap kebolehpercayaan ini juga boleh memupuk rasa kebersamaan seterusnya membentuk keharmonian dalam organisasi sangat diperlukan dalam usaha memerangi musuh yang tidak dapat dilihat secara nyata ini.
Islam adalah agama yang mementingkan kebersihan yang disebut taharah dalam bahasa Arab. Dalam konteks usaha melawan pandemik Covid-19, kebersihan dirujuk bukan hanya dalam soal cara hidup tetapi kebersihan jiwa. Selaras firman Allah dalam Surah Al Maidah ayat 6 yang bermaksud: “Allah tidak menghendaki untuk menjadikan kamu menanggung suatu kesusahan tetapi Allah berkehendak untuk membersihkan kamu dan mencukupkan nikmat-Nya kepada kamu supaya kamu bersyukur.”
Bertepatan dengan situasi norma baharu yang menetapkan limitasi tertentu dalam rutin harian kita seperti arahan memakai pelitup muka, penjarakan fizikal, tidak bersalaman atau bersentuhan, mengikut prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PKP yang sebelum ini tidak pernah kita amalkan.
Namun, jika dilihat hikmah di sebalik kehadiran virus yang menakutkan ini, manusia sebenarnya sedang dilatih untuk membersihkan jiwa daripada segala sifat mazmumah yang boleh membantutkan usaha mengekang penukaran wabak Covid-19.
Tidak hanya itu, kebersihan fizikal juga amat dititikberatkan dalam amalan hidup norma baharu. Setiap peringkat umur masyarakat kini benar-benar faham keperluan mencuci tangan dengan sabun atau setidak-tidaknya air yang bersih. Kebersihan tandas juga amat diutamakan dan telah menjadi prioriti di kebanyakan premis.
Di UIAM sendiri, Rektor menyarankan setiap jabatan, kulliyyah dan mahallah untuk memastikan pengurusan tandas diambil berat terutama apabila siswa-siswi hadir ke kampus kelak.
Natijahnya, penularan pandemik Covid-19 membuka mata dan minda semua pihak yang terlibat. Kesedaran untuk mengamalkan gaya hidup sederhana, bersatu hati, jujur serta menjaga kebersihan adalah hikmah tersembunyi yang dibawa musuh bergelar Covid-19. Secara khusus di kampus UIAM, warganya amat prihatin untuk mematuhi peraturan dan mula mengamalkan norma baharu. Pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian menjadi titik sambung kelestarian akademik dan ilmiah. Konsep WFH menjadikan kakitangan baik akademik mahupun bukan akademik berasa mereka dihargai oleh universiti atas sikap cakna pengurusan universiti terhadap kesihatan dan kesejahteraan mereka. Sesungguhnya Covid-19 bukan penamat kepada impian kita, sebaliknya jadikan implikasi kejadiannya sebagai hikmah hidup di era teknologi ini. Semoga penularan pandemik ini akan berakhir tidak lama lagi.
PENULIS ialah Timbalan Pengarah Kulliyyah Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










