Sabah dalam keadaan kritikal. Baru saja bahang pilihan raya reda, malapetaka Covid-19 melanda kehidupan saudara-saudara kita pula di sana. Dalam tulisan ini, saya ingin mengajak kita semua di Semenanjung agar sama-sama membantu rakyat di sana tanpa mengira kaum dan agama. Islam sendiri adalah rahmat seluruh manusia dan maka itu kepada seluruh manusialah kita harus curahkan wang ringgit, masa dan daya. Ia tanggungjawab kita sebagai warganegara dan tanggungjawab keimanan kita dalam apa jua agama yang kita anuti. Ukuran kebaikan manusia bukan semata-mata ritual sembahan tetapi yang sama penting adalah amal sedekah, bantuan dan keihsanan kita terhadap yang memerlukan bantuan kritikal.
Bagaimana teruknya keadaan di Sabah? Saya tidak suka sebutkan maklumat statistik dan nombor sebab saya kurang minat. Yang saya terbaca adalah mereka yang telah disaring dan disahkan positif masih tertunggu-tunggu untuk ke hospital dengan ambulans. Ambulans tak sampai. Katil tak cukup. Kalau katil cukup pun, orang nak layan pun entah ada atau terlalu dibebani pelbagai tugas. Yang saya tahu, sudah berpuluh jururawat dan doktor yang terkena hinggapan virus bahaya ini dan ia amat menyedihkan.
Kalau orang tawar saya RM100,000 yuran perundingan sebulan ke Sabah, saya tak berani nak terima. Yang saya mampu, bagi RM1,000 dan doa kebaikan serta kesabaran untuk saudara di Sabah. Saya telah meminta beberapa orang rakan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis sosial untuk menubuhkan tabung bantuan. Saya minta wang bantuan dijadikan bahan makanan atau bekalan hospital kerana kalau hantar duit, mungkin ada tangan lain yang terima.
HABUAN
Ramai dalam kalangan kita di Semenanjung tidak rasa tergerak untuk membantu. Ini mungkin banyak sebab. Yang geng orang Pakatan Harapan (PH) akan kata, “ambik habuan kamu, nak sangat jadi Ketua Menteri dan pegang kerajaan. Nah, rasakanlah!” Ada lagi yang menyalahkan ahli politik yang melompat untuk mendapat jawatan, wang dan kedudukan selesa maka tercetusnya pilihan raya. Ramai juga kawan-kawan saya marahkan semua ahli politik Perikatan Nasional (PN) dan PH. Dua kali lima, bila balik tak kuarantin.
Mungkin ada juga orang Semenanjung yang tidak sukakan Sabah sebab asyik mendendangkan lagu perpisahan saban hari. Sikit sikit nak cerai, sikit sikit nak pisah. Maka kalau dah pisah, maka merudumlah orang Sabah dalam malapetaka Covid-19 sorang-sorang.
Yang lebih ramai lagi adalah orang macam saya sendiri. Jahil tentang Sabah dan kaum-kaumnya. Kalau tak Google, tengok Wikipedia saya pun tak tahu nama-nama kaum di sana. Jangan kata kaum, nama bandar selain Kota Kinabalu pun saya terkapai-kapai nak ingat. Begitulah Sabah dan Sarawak bagi orang Semenanjung. Ramai macam saya jarang ke Sabah dan tiada saudara sedarah pun di sana. Ramai graduan universiti awam dari Semenanjung menjadi orang Sabah sementara sebab kuota universiti Semenanjung dah penuh. Kalau bagi pilihan, tak hendak sesiapa graduan ke sana, mungkin.
UNGKIT
Tak apalah. Yang lepas-lepas tu jangan kita berkira-kira. Jangan kita berungkit-ungkit. Jangan kita mengadu domba. Yang bab kita tak kenal orang dan tak ada saudara tu, kita ubahkan sikap bahawa kita saudara seagama, sewarga dan semanusia. Jangan panjang-panjangkan benda-benda negatif yang tak membantu. Keadaannya adalah sekarang. Tahapnya kritikal. Maka masa untuk kita semua bertindak adalah sekarang. Bukan esok, bukan lusa atau minggu depan. Sekarang!
Apa hikmah ini semua kepada kita rakyat Malaysia dan orang Melayu beragama Islam? Hikmahnya banyak. Sabah negeri yang penghuninya ramai bukan Islam. Semenanjung adalah sebaliknya.
Kalau ramai umat Islam berlapang dada memberi bantuan, maka imej Islam sebagai agama yang hanya sentiasa menolong umat sendiri terkikis. Kita orang Melayu dapat memberi mesej keihsanan jiwa dan kemewahan harta benda dalam perkongsian sewarga dan sesama manusia.
Dari sudut politiknya, hikmah penyatuan kembali hati ke hati dan politik ke politik supaya laungan penyisihan dan perpisahan bakal terkedu buat seketika agar suatu formula perkongsian hasil mahsul difikir sedalam mungkin dan seadil dapat. Ada yang kata, Sabah kaya dengan minyak tetapi rakyat miskin, tidak bersekolah di banyak kawasan pedalaman. Maka Sabah perlu refleksi diri dan pastikan pemimpinnya tidak rakus dan lebih banyak membina hospital serta sekolah. Alhamdulillah, kita lihat Datuk Seri Hajiji Noor (Ketua Menteri) semakin sembuh untuk memimpin Sabah ke era baharu. Era cukup hospital, cukup sekolah untuk semua termasuk anak-anak bukan warganegara.
Ayuh, saudara sekaum, seagama dan se-Semenanjung, mari kita sama-sama menyahut bantuan untuk saudara kita di Sabah. Bolehlah salurkan derma. Jangan kita harapkan Kerajaan Persekutuan sahaja. Ini masanya kita lupakan yang lepas-lepas dan membina jambatan baharu. Titian sewarga, seagama, sebangsa dan semanusia.
Kita Bangkit Kita Bantu. #KitaBantuKita
PROFESOR Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi ialah ahli akademik seni bina dan penganalisis kritis di media sosial.










