LANGKAWI seolah-olah ditimpa ‘sumpahan Mahsuri’ apabila industri pelancongan di pulau lagenda itu hampir lumpuh sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu berikutan penularan Covid-19.
Suasana sunyi dan suram apabila kedatangan pelancong berkurangan berbanding sebelum Covid-19 menyerang hampir seluruh dunia.
Kesannya, lebih 15,000 pekerja dalam industri itu terjejas apabila kebanyakannya diberhentikan atau diberi cuti kerana hotel tidak lagi menerima tempahan dalam tempoh tersebut.
Jumlah hotel yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di pulau itu adalah sebanyak 225 buah yang menawarkan kira-kira 15,000 bilik.
TEMPIAS
Bukan sahaja dalam kalangan pekerja hotel terjejas, mereka yang bekerja di pusat-pusat peranginan di pulau itu turut hilang kerja.
Begitu juga premis-premis perniagaan yang menjadi tumpuan pelancong menerima tempias sama.
Bagaimanapun, Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) menaruh keyakinan pulau peranginan itu boleh bangkit semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) di daerah Kota Setar berakhir pada 25 September lalu.
LTA percaya kira-kira 700,000 pelancong domestik akan mengunjungi Langkawi dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LTA, Zainudin Kadir memberitahu, berikutan wabak Covid-19, pihaknya menyasarkan kedatangan 2.5 juta pelancong pada tahun ini berbanding sasaran awal 4.5 juta orang.
“Kedatangan pelancong di pulau ini setakat September lalu adalah kira-kira 1.8 juta orang,” katanya.
Sementara itu, jumlah keseluruhan pelancong yang direkodkan pada 2019 ialah seramai 3.92 juta orang.
Namun, ‘sumpahan Mahsuri’ di pulau lagenda itu masih belum berakhir apabila serangan Covid-19 belum reda, malah mangsa positif di negara ini termasuk Kedah didapati semakin meningkat dan membimbangkan.
Perkembangan tersebut menimbulkan keresahan dalam kalangan pemain industri pelancongan di pulau itu kerana hasrat mereka mahu bangkit semula dalam tempoh terdekat semakin sukar.
Penulis ialah Koresponden Utusan Malaysia Kedah.










