Laksana UPSR dan PT3 untuk lebih adil - Utusan Malaysia

Laksana UPSR dan PT3 untuk lebih adil

PEPERIKSAAN UPSR dan PT3 untuk 2020 tidak seharusnya dibatalkan. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SELURUH negara terkejut dengan pengumuman kerajaan pada 17 April lalu untuk membatalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi 2020 akibat penularan pandemik Covid-19.

Sebagai ganti, Kementerian Pendidikan memperkenalkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi permohonan kemasukan tingkatan satu dan empat ke sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), sekolah menengah teknik (SMT), kolej vokasional (KV), Maktab Tentera Diraja (MTD) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pentaksiran itu merangkumi tiga bahagian iaitu Ujian Kecerdasan Intelektual dengan penilaian sebanyak 70 peratus, Kecerdasan Insaniah (20 peratus) yang dibuat secara dalam talian dan Artikulasi Penulisan (10 peratus) secara bertulis.

Permohonan dibuka kepada semua calon mulai 7 September hingga 2 Oktober lalu secara dalam talian dan PKSK secara berpusat di 555 buah pusat pentaksiran yang ditetapkan di seluruh negara.

Untuk layak menduduki PKSK, murid mesti lulus Tahap Penguasaan (TP) dalam Pelaporan Pentaksiran Sekolah Tahun Enam (PST6) dan Tingkatan Tiga (PST3). Kajian secara rawak dan ringkas ke atas murid daripada 23 sekolah dalam bandar dan luar bandar mendapati masalah yang timbul adalah sebahagian besar sekolah sehingga tarikh 22 September belum lagi menyediakan PST6 dan PST3 Tahun 2020.

Berikutan desakan ibu bapa, hampir semua sekolah mengeluarkan PST6 dan PST3 pada 24 September lalu. Bagaimanapun, satu permasalahan besar lagi timbul di mana apabila murid-murid membandingkan TP mereka dengan rakan-rakan, terdapat jurang perbezaan yang signifikan dalam bilik darjah antara bilik darjah dan sekolah.

Anehnya, ulasan guru hampir sama iaitu ‘pencapaian boleh dipertingkatkan dan teruskan usaha’ bagi semua murid walaupun masing-masing mempunyai TP dan skor berbeza.

Sebagai rumusan, proses Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan pelaporan TP tidak dilaksanakan algoritma verifikasi, validasi dan moderasi ke atas keseluruhan penguasaan murid dalam bilik darjah dan sekolah. Oleh itu, TP yang dilaporkan adalah tidak stabil dan boleh dipersoalkan.

Justeru, pemilihan murid ke sekolah-sekolah khusus seperti SBP, SMKA dan MRSM tidak boleh bergantung kepada TP yang dinilai pihak sekolah semata-mata, sebaliknya perlu diuji dengan Kriteria Standard Berpusat seperti yang pernah diamalkan pada tahun-tahun terdahulu.

Berdasarkan dapatan kajian melalui semakan rawak, sebilangan proses PBD di sekolah-sekolah tidak mengikuti Garis Panduan Pelaksanaan PBD 2019 khususnya pada Bab 4 dan Bab 5, maka dengan itu UPSR dan PT3 tidak boleh dihapuskan.

Dicadangkan Kementerian Pendidikan menggunakan kaedah PBD disinergikan bersama UPSR serta PT3 bagi menghasilkan laporan penguasaan murid secara holistik, konsisten, boleh dipercayai dan adil.

DR. MOHD. SAHANDRI GANI HAMZAH & DATUK ABDUL RAOF HUSSEIN
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya