Lahirkan negarawan, bukan politikus - Utusan Malaysia

Lahirkan negarawan, bukan politikus

Marzuki Yahya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SELAKU Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), DATUK MARZUKI YAHYA optimis parti itu berupaya memainkan peranan mencorakkan politik negara yang dilanda kemelut ‘majoriti tipis’ waktu ini.

Berpegang pendirian Pejuang untuk melakukan semak dan imbang, memastikan tadbir urus yang berkesan terutama mengekang rasuah, Marzuki, 50, mengingatkan bukan soal ‘satu dua kerusi’ yang penting. Tetapi keutamaan sekarang adalah rakyat – terutama dalam menangani isu-isu ekonomi dan sosial dari ancaman pandemik Covid-19.

“Maka jalan terbaik serahkan kembali mandat kepada Pakatan Harapan (PH) yang telah dirampas di pertengahan jalan,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL Jumaat lalu.

Marzuki turut bercakap pasal kesihatan dan pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam usia mencapai satu abad. Berikut inti pati temubual melalui telefon itu:

POLITIK TERLALU KOTOR

KINI sudah tahap orang benci untuk bercakap soal politik kerana apa yang berlaku hari ini kerajaan bukan dipilih oleh rakyat. Malah ini ‘kerajaan pintu belakang’. Tambahan cara pentadbiran hari ini memperlihatkan keyakinan rakyat sudah pudar. Mereka melihat politik ini terlalu kotor.

Apa yang berlaku di Sabah baru-baru ini adalah suatu kerakusan kuasa yang ingin mengambil alih kuasa di negeri itu sehingga mendedahkan rakyat kepada gejala Covid-19 yang hari ini menjadi bebanan kepada rakyat Sabah dan seluruh negara. Ini yang paling ditakuti telah berlaku dalam politik.

Tidak seharusnya dalam keadaan sebegini untuk mereka membeli ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilakukan oleh Tan Sri Musa Aman tempoh hari sehingga membawa pembubaran DUN. Di masa hadapan gejala politik sebegini kita harus hentikan.

MENEKAN NEGERI

Mengapa Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mahu dipersalahkan pula? Mengapa tidak benarkan beliau menjalankan urusan pentadbiran negeri sehingga tamat penggal? Siapa yang mula mengganggu-gugat politik di Sabah seperti mana berlaku di Kedah, Melaka dan Johor yang mana apabila berlaku peralihan kuasa di Pusat, langsung menggunakan kuasa di Pusat untuk menekan negeri-negeri yang bukan menyokong kerajaan. Ini bukan kali pertama berlaku. Sewaktu kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu menjadi kerajaan, negeri Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah pernah menjadi pembangkang. Tetapi semua ini kita hadapi melalui proses demokrasi.

Bila sampai masa lima tahun berlaku pilihan raya umum yang pada waktu itu BN boleh ambil balik Kedah dan Terengganu menerusi suara demokrasi. Ini juga berlaku di Kelantan pada 2004 dengan lebihan kerusi Pas di negeri itu hanya satu kerusi. Semasa itu juga tidak berlaku pembelian ADUN atau lompat parti atau hendak jatuhkan kerajaan kerana orang semua menghormati keputusan ADUN dan mereka lebih fokus kepada rakyat.

Dan kerajaan Pusat sepatutnya walaupun negeri tertentu itu ditadbir oleh pembangkang, menjadi tanggungjawab Pusat sebab ini terkait dalam Perlembagaan. Ia harus menjaga pelaksanaan pembangunan peringkat negeri. Semua ini datang dari Pusat. Bukan bererti bila kerajaan negeri datang dari pembangkang, Pusat pula harus pastikan kerajaan negeri itu selari dengan Pusat. Hari ini perkara pokoknya bukan soal politik tetapi soal kesihatan dan ekonomi yang mana pandemik Covid-19 akan membawa bukan sahaja masalah norma baharu ini tetapi masalah besar ialah ekonomi. Ini seharusnya kerajaan ambil pendekatan, bukan untuk mendapatkan kuasa dengan menjatuhkan negeri-negeri yang tidak selari dengan kerajaan.

PERLUKAH PRU MENGEJUT?

Kita harus tahu mandat yang rakyat beri kepada PH iaitu dalam tempoh lima tahun tetapi dalam pertengahan jalan ia dirampas atau dicuri oleh kumpulan ini. Sepatutnya hari ini mereka harus sedar kedudukan kuasa dan pangkat tidak penting. Yang utama sekali adalah untuk pastikan kestabilan politik harus diberi kepada majoriti mandat besar kepada PH.

Saya sarankan yang terbaik, serahkan kembali kuasa kepada PH yang mana dulu rakyat mengundi kerajaan PH. Semasa itu yang janji kita Dr. Mahathir akan jadi Perdana Menteri. Dalam keadaan krisis begini, bukan soal kerusi satu dua itu penting tetapi sebenarnya mandat rakyat yang lebih utama.

Hari ini kalau berlaku satu dua ahli Parlimen menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan akan jatuh juga. Carilah jalan penyelesaian terbaik supaya kedudukan politik negara tidak jatuh ke tahap paling teruk.

KEDUDUKAN PERDANA MENTERI

Jumlah angka ini sebenarnya sewaktu Tan Sri Muhyiddin angkat sumpah Perdana Menteri 1 Mac 2020, kita putuskan bahawa kumpulan yang sokongnya sebagai Perdana Menteri waktu itu sebanyak 114 kerusi. Bererti memang beliau tidak ada kredibiliti dan terbukti apabila dibawa ke Parlimen dalam pemilihan Speaker Dewan Rakyat tempoh hari, nombor yang ada hanya 112. Iaitu setelah beliau menjadi kerajaan ada dua tiga orang daripada kumpulan Dr. Mahathir lompat dari Bersatu. Ini memperlihatkan kestabilan tidak ada.

Kita juga minta kedudukan Perdana Menteri dibawa ke Parlimen dan yang terbaik buat pengundian usul tidak percaya. Setakat ini kedudukan Perdana Menteri juga bukan datang dari Parlimen, tetapi sokongan daripada ahli-ahli Parlimen yang bukan bererti sokongan itu datang secara blok yang penuh daripada parti itu sendiri.

Contohnya, UMNO telah membuat ketetapan bahawa parti tidak sokong kerajaan Perikatan Nasional (PN). Malah hanya ‘meminjamkan’ ahli parlimen untuk menyokong Perdana Menteri. Ini perlihatkan kedudukan Perdana Menteri terlalu rapuh.

Dan menjelang pembentangan Belanjawan 6 November depan sudah pasti kemelutnya semakin teruk dengan keadaan Covid-19 yang kembali. Belanjawan 2021 akan menjadi tamparan besar. Implikasinya jika belanjawan ditolak akan menyebabkan kerajaan tidak dapat teruskan perbelanjaan tahun depan oleh kerana tidak dapat sokongan majoriti.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN