Gangguan seksual peguam wanita? - Utusan Malaysia

Gangguan seksual peguam wanita?

SEKUMPULAN aktivis wanita berhimpun di luar balai polis bagi membantah dakwaan gangguan seksual dialami seorang artis Bollywood wanita di Mumbai, India pada 2018. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASALAH gangguan seksual di pejabat merupakan satu isu yang kerap dibincangkan di media sosial dan sering dijadikan polemik terutama dalam kalangan pekerja wanita tanpa mengira jenis pekerjaan dan kedudukan mereka. Berikutan perbincangan hangat mengenai perkara ini sejak berdekad lamanya, Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) pada 2018 menjalankan kajian Amalan Diskriminasi dan Gangguan Seksual Dalam Kalangan Kalangan Wanita Bekerja Di Malaysia dan mendapati sebanyak 73.2 peratus responden mengakui mereka mengalami gangguan seksual lebih dari sekali daripada rakan sekerja atau majikan. Peratusan yang tinggi ini menjadi indikator masih wujud sesetengah pekerja atau majikan yang tidak mahu tunduk kepada etika kerja. Juga paling asas, tatasusila sebagai seorang manusia yang beradab, berakhlak serta patuh kepada polisi yang telah ditetapkan mengenai salah laku seksual.

MEMILUKAN

Namun, apa yang menjadi kerisauan penulis yang turut beramal sebagai seorang pelatih perundangan adalah aduan-aduan yang melibatkan gangguan seksual terhadap peguam, pelatih dalam kamar dan staf di kebanyakan firma guaman tidak mendapat perhatian sepatutnya daripada pihak berkaitan.

Buktinya, apabila Persatuan Peguam Wanita (AWL) pada 2014 melalui satu tinjauan secara dekat mendapati, satu daripada tiga peguam di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan seksual atau dibuli oleh individu yang bekerja rapat dengan mereka pada tahun-tahun sebelumnya. Bagai harapkan pagar, pagar makan padi, antara individu yang dikesan melakukan amalan terkutuk ini termasuk peguam senior, pengawal penjara, pegawai polis dan anak guam yang banyak berinteraksi bersama pengamal perundangan dengan tingkah laku tidak senonoh.

Lebih memilukan apabila bekas Pengerusi Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur, Goh Siu Lin mengatakan, walaupun setelah Majlis Peguam melancarkan mekanisme tertentu bagi mengatasi masalah gangguan seksual, masih tiada sebarang aduan direkodkan sejak surat edaran dikeluarkan pada 2007 kepada semua pengamal undang- undang yang berdaftar di bawah majlis itu. Jika diperhatikan, antara faktor yang menghalang mangsa daripada mengadu kepada pihak autoriti termasuk Majlis Buruh, adalah rasa takut dan malu yang tinggi untuk meninggalkan profesion guaman selain mengelak daripada dikutuk secara terang-terangan di lapangan media sosial ataupun di hadapan rakan sekerja.

Trend ini semakin berubah apabila terbaru, ada peguam yang memilih untuk memecah ‘tembelang’ pemangsa mereka dengan membuat laporan polis selepas mendakwa salah seorang daripada mereka telah dicabuli oleh seorang ahli Majlis Peguam sewaktu Pesta Tahunan Peguam-Peguam Jenayah pada 22 Jun 2019. Manakala, ahli lain turut meluahkan rasa tidak puas hati dan kesal dengan Majlis Peguam apabila mereka cuba mengelak daripada menghadiri sebarang majlis rasmi atau acara sosial anjuran badan guaman tersebut. Alasan yang mereka berikan adalah kelonggaran kebertanggungjawaban Majlis Peguam sebagai penganjur dalam memastikan keselamatan dan keselesaan tetamu sepanjang majlis berjalan.

DURJANA

Sementara menunggu Akta Gangguan Seksual diluluskan di peringkat Parlimen, langkah pencegahan harus diperhalusi bagi mendidik mangsa untuk mengelak daripada terus dicabuli pemangsa terutama diraba dan dibelai oleh pemangsa durjana. Selain itu, majikan, pihak berkuasa dan Majlis Peguam juga harus memainkan peranan bagi memastikan keselamatan mereka yang berada dalam majlis anjuran atau berada di premis mereka.

Gangguan seksual yang berleluasa dalam arena perundangan ini tidak mendapat publisiti sewajarnya oleh badan berautoriti seperti Majlis Peguam dan media massa kerana sikap sebahagian besar professional yang terlalu ingin menjaga nama baik jawatan yang dianggap berprestij ini. Hakikatnya, keperitan dialami oleh mereka yang menawarkan diri untuk berkhidmat dalam dunia perundangan langsung tidak boleh dibandingkan dengan harga sehelai lesen amalan guaman yang dilihat hampir sama nilainya dengan maruah diri jika benar ia dianggap satu profesion mulia.

Tuntas, tanpa mengira pangkat dan jantina, salah laku seksual perlu dibendung buat selama-lamanya.

PENULIS ialah Ketua Biro Media WAFIQ & aktivis hak asasi manusia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN