SAYA diajar supaya selalu mencatat memori dalam diari peribadi, sama ada buku atau komputer. Kata arwah ayah, ia akan menjadi kenangan bermakna. Banyak perkara penting yang jika tidak dicatat, besar kemungkinannya tidak dapat kita ingat setelah masa berlalu.
Hal ini juga boleh membantu saya melihat kesilapan yang pernah saya lakukan dan belajar daripadanya. Ia penting dalam membantu saya membesar menjadi seorang yang lebih matang.
Catatan semasa kecil juga menarik kerana ia memperlihatkan cara pemikiran dan perasaan saya ketika sesuatu peristiwa itu berlaku. Memang lucu apabila melihat cara saya berfikir semasa kecil berbanding masa kini.
Saya masih ingat satu peristiwa semasa kecil. Sedang leka menikmati kerepek bawang dihidangkan nenek, tiba-tiba saya ditegur ayah kerana menyuap menggunakan tangan kiri.
Barulah saya sedar akan kesilapan saya. Teguran itu begitu berkesan di hati saya sehingga kini. Ketika itu saya berumur empat tahun dan sudah faham kepentingan menjaga adab.
Mungkin kerana saya ditegur di hadapan arwah nenek, sepupu-sepupu saya dan ahli keluarga lain, maka ia lebih berkesan. Sejak itu, saya lebih berhati-hati setiap kali mahu menyuapkan makanan ke dalam mulut.
Banyak perkara yang sukar difahami ketika saya masih kanak-kanak. Ada kalanya tidak mahu kalah, hanya saya yang betul. Tetapi pada masa lain, saya betul-betul tidak faham akan apakah kesilapan saya sehinggalah perkara itu diterangkan. Kata orang, kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak. Itulah lumrah kehidupan manusia. Kita selalunya nampak kesilapan orang lain tetapi tidak nampak kesilapan diri sendiri.
Bukan semua orang mengambil sesuatu kesilapan sebagai pengajaran. Ramai yang mahu semua kesilapan pernah dibuat dilupakan kerana rasa malu dan merendahkan keyakinan diri.
Saya juga berasa malu membuat kesilapan terutama di hadapan orang lain. Namun itulah yang mengingatkan saya untuk tidak berbuat sedemikian dalam apa jua situasi.
PENULIS berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).










