Petang Jumaat lalu, kita dikejutkan dengan berita kerajaan mungkin mengisytiharkan darurat di seluruh negara. Kita dimaklumkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rombongannya menemui Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Pahang untuk mendapatkan perkenan Seri Paduka mengisytiharkan perkara itu. Kita kemudian difahamkan, Seri Paduka mahu berunding dahulu dengan Majlis Raja-Raja sebelum membuat keputusan.
Pertemuan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu berlangsung kelmarin. Pada petang itu, satu kenyataan rasmi dikeluarkan yang menyatakan antara lain: “Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.”
Seri Paduka amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung wabak Covid-19 daripada terus merebak.
Seri Paduka berpendapat, tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian Malaysia.
Tidak lama selepas kenyataan rasmi Istana Negara itu dihebahkan oleh media massa, saya dihubungi oleh seorang wartawan untuk mendapatkan ulasan dari sudut undang-undang.
Saya katakan kepadanya, ‘darurat’ disebut secara khusus dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Fasal (1) Perkara 150 itu menyatakan, sekiranya Seri Paduka berpuas hati satu darurat besar sedang berlaku (satisfied that a grave emergency exists) dan keselamatan negara, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam negara ini atau mana-mana bahagiannya terancam, Seri Paduka boleh mengeluarkan satu Perisytiharan Darurat.
MENCEMASKAN
Fasal ini menyatakan, sebelum keluarkan satu Perisytiharan Darurut, Seri Paduka mestilah terlebih dahulu puas hati bahawa negara ini (atau sebahagiannya) sedang mengalami satu darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awamnya. Fasal (2) membolehkan Seri Paduka mengeluarkan Perisytiharan Darurat walaupun situasi yang mencemaskan itu belum berlaku sekiranya puas hati ada imminent danger kejadian itu akan berlaku.
Soalnya, bagaimana Seri Paduka boleh puas hati satu darurat besar sedang berlaku atau ada imminent danger (kemungkinan besar) akan berlaku? Dalam keadaan yang macam manakah Seri Paduka boleh dikatakan sudah puas hati?
Saya ingatkan wartawan itu bahawa di bawah Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong adalah berhak atas permintaannya, mendapatkan apa-apa maklumat daripada Perdana Menteri. Sudah semestinya Seri Paduka memerlukan satu jangka masa secukupnya untuk menilai segala maklumat yang diberi kepadanya bagi meyakinkan dirinya (sehingga tahap puas hati) bahawa pengisytiharan darurat yang dipohon oleh Perdana Menteri adalah sesuatu yang wajar.
PANIK
Andainya maklumat yang diterima daripada Perdana Menteri belum meyakinkan Seri Paduka mengenai keperluan darurat itu, maka di bawah Perkara 150(1), darurat belum boleh diisytiharkan.
Kini, setelah kita membaca kenyataan rasmi Istana Negara pada petang Ahad lalu, kesimpulan yang boleh kita buat adalah nampaknya Seri Paduka sudah yakin (puas hati) kerajaan pimpinan Muhyiddin sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan dan oleh yang demikian, pengisytiharan darurat tidak perlu dibuat.
Di sinilah buktinya kebijaksanaan Istana Negara menangani situasi yang telah menimbulkan panik rakyat. Seorang sahabat mengirim pesanan ringkas kepada saya malam kelmarin: “Score: Kebijaksanaan 1, Politik 0.”
Selama tiga hari isu darurat ini menjadi bahan bualan rakyat. Hampir semua pengamal undang-undang yang saya kenal tidak setuju dengan cadangan Perdana Menteri melaksanakan darurat di seluruh negara untuk memerangi wabak Covid-19.
Ketua Pembangkang Perak, Dr. Abdul Aziz Bari (yang juga pakar undang-undang Perlembagaan) berpendapat, tindakan Perdana Menteri meminta Seri Paduka mengisytiharkan darurat dikhuatiri boleh mengheret istana ke kancah politik. Tambahnya lagi, dalam senario sekarang, darurat bukan pilihan terbaik untuk menyelesaikan wabak Covid-19, sebaliknya terdapat pilihan lain yang boleh dilakukan.
Datuk CKL (pengamal undang-undang di Selangor) merujuk saya kepada satu kenyataan rasmi oleh tujuh bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia menyatakan: “Covid-19 adalah isu kesihatan dan bukan isu keselamatan. Tidak wujud keganasan atau ancaman kepada keselamatan negara.”
Sekiranya matlamat utama darurat ini adalah untuk menggantung Parlimen dan kerajaan mendapatkan kuasa darurat, maka ia satu usaha yang tidak sah.
Segala pertanyaan itu kini terjawab. Rakyat kini berasa lega. Menjunjung titah Seri Paduka seperti terkandung dalam kenyataan rasmi Istana Negara kelmarin: “Marilah kita sama-sama ketepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati membendung wabak Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.”
Hendaknya mereka yang obses dengan mainan politik sempit boleh ambil pengajaran.
DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.










