MUKADIMAH
ADA yang melabelkan Pas sebagai ‘main dua kolam’ apabila bukan sahaja menjalinkan kerjasama dengan UMNO, malah turut bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilihat tidak disenangi oleh sekutu mereka itu.
Namun, Pas ada sebab tersendiri mengambil keputusan untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN) dan pada masa sama menetapkan pendirian untuk mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai bersama UMNO sejak lebih setahun lalu.
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB di Kompleks Pas Kangar, Perlis baru-baru ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin tenang menjawab dakwaan tersebut.
Hashim juga menyentuh pelbagai perkara berkaitan kemelut politik dan reaksinya terhadap pengumuman gencatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan kembali nyatakan sokongan kepada PN.
UTUSAN: Ahmad Zahid mengumumkan gencatan politik dengan kembali nyatakan sokongan kepada PN, pandangan Ustaz?
Apa yang saya nampak, kenyataan Ahmad Zahid secara tidak langsung boleh menjernihkan ketegangan politik negara. Ini juga merupakan satu kejayaan yang dicapai oleh tiga parti iaitu Pas, UMNO dan Bersatu yang berhasrat mengukuhkan kerjasama dan memperkuatkan perjuangan untuk Islam dan Melayu. Saya harap tidak timbul lagi masalah-masalah baharu yang menyekat perkembangan, baik gabungan serta kerajaan ketika ini. Pas kekal dengan prinsip untuk mengukuhkan perpaduan jemaah Islam.
Selain itu, semua pihak perlu bersama fokus dalam berdepan pandemik Covid-19 ketika ini. Kita harap semua rakyat tidak kira bangsa, parti politik, beri kerjasama kepada kerajaan dalam melaksanakan usaha ke arah membasmi penularan Covid-19 dan memulihkan ekonomi serta menjaga kebajikan rakyat.
Pas dan UMNO akan mendaftar secara rasmi MN, adakah Bersatu diketepikan?
Ikut janji (Bersatu) akan turut bersama dalam MN dan bagi saya, penyertaan Bersatu akan lebih mengukuhkan MN. Perjuangan Melayu Islam akan lebih kemas dengan gabungan tiga parti ini.
Kalau tiga parti ini bersatu dalam MN, kita akan menjadi kuasa politik yang kuat. Tidak mustahil jika berjalan lancar kerjasama ini, kita akan menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan bergaya selain mampu menang majoriti dua pertiga. Pas dan UMNO tidak berubah, masih bersama dan akan memperkukuhkan lagi MN dan kehadiran Bersatu akan lebih menyerikan gabungan ini.
UMNO seperti menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu, bagaimana Pas mengurus situasi ini?
UMNO mungkin dilihat tidak senang dengan Bersatu membabitkan beberapa isu khususya dalam soal pemilihan Ketua Menteri Sabah baru-baru ini dan beberapa perkara lain yang kita tidak begitu pasti. Namun, saya percaya segala masalah berbangkit antara kedua-dua parti itu akan dapat diselesaikan. Kita yakin dua parti itu menyedari kepentingan untuk bersatu.
Kita harap Bersatu atau mana-mana parti dalam gabungan ini sedia bertolak ansur dan melaksanakan sesuatu perkara dengan mendapat persetujuan bersama. Tidak salah jika kita melakukan sedikit pengorbanan demi kepentingan bersama.
Adakah Pas sedia jadi orang tengah bagi menyelesaikan kemelut UMNO dan Bersatu?
Insya-Allah, boleh. Selama ini saya juga difahamkan, Pas banyak memainkan peranan terutama Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membantu meredakan ketegangan jika berlaku sebarang pertembungan antara UMNO dan Bersatu. Malah, kenyataan Ahmad Zahid (gencatan politik) sedikit sebanyak ada peranan yang dimainkan oleh Pas. Masalah tidak dapat dielakkan, namun kita yakin setiap masalah itu dapat diselesaikan secara bersama.
Tiga parti ini mempunyai matlamat yang sama, iaitu mendaulatkan Islam dan mempertahankan Perlembagaan setelah ‘dicemari’ sebelum ini. Kalau matlamat tidak sama, itu yang menjadi masalah.
Ramai mendakwa Pas ‘main dua kolam.’ Dengan Bersatu bekerjasama, dengan UMNO juga bekerjasama?
Bagi saya, itu bukan masalah besar dan apa yang lebih penting adalah memastikan perpaduan dalam kalangan parti-parti Melayu ini bertambah kuat, itu yang paling utama. Lebih baik kita sama-sama cari titik persamaan demi perpaduan. Tidak timbul isu tersebut (Pas main dua kolam).
ROMBAKAN KABINET
Bagaimana hubungan Pas dan UMNO ketika ini?
Setakat ini, hubungan terus kukuh. Pas dan UMNO lebih banyak mencari titik persamaan, bukan perpecahan. Kalau bangkit soal lama (permusuhan lama Pas-UMNO), susahlah hendak bersatu. Apa yang penting, jika ada sebarang masalah berbangkit akan segera diselesaikan.
Pandangan Ustaz, perlukah rombakan Kabinet dalam tempoh terdekat ini?
Saya tidak nampak ada keperluan melakukan rombakan Kabinet ketika ini. Kekalkan apa yang ada sekarang. Menteri yang ada sekarang, saya lihat tidak ada cacat celanya. Ketika negara sedang berdepan cabaran ekonomi berikutan Covid-19, tidak sesuai dilakukan rombakan Kabinet. Adalah lebih baik semua pihak bersatu membantu kerajaan dalam menghadapi cabaran ketika ini.
Rakyat sekarang nampak sudah muak dengan kemelut politik perebutan kuasa di saat mereka terseksa akibat Covid-19. Pandangan Ustaz?
Kami di dalam Pas sejak dahulu diajar oleh pimpinan agar tidak merebut atau meminta jawatan. Kalau diberi tanggungjawab, kita berusaha pikul amanah tersebut dengan sebaik-baiknya. Dalam Pas juga tidak bergaduh sesama sendiri berebut jawatan. Dalam suasana sekarang, kita perlu fokus untuk membela nasib rakyat. Jangan ada sifat untuk berebut kuasa.
ANWAR IBRAHIM
Apabila Zahid Hamidi menyatakan sokongan kepada PN, adakah peluang Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri sudah terkubur?
Saya kenal Anwar cukup lama, sejak zaman 1970-an ketika dalam ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia). Kenyataan dia boleh dengar, percaya belum tentu. Jadi kita tunggu dan lihat sahaja. Dulu Anwar pernah juga memaklumkan cukup majoriti membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri, tetapi malangnya tidak juga jadi. Adakah kita akan percaya orang yang pernah menipu sebelum ini? Saya percaya rakyat mampu menilai siapa yang layak jadi Perdana Menteri atau sebaliknya.
Jika kemelut politik terus berlarutan, adakah ustaz setuju diwujudkan kerajaan perpaduan?
Kita mesti sokong perkara yang boleh mengundang kebaikan. Nak puaskan hati semua pihak, tak mungkin kita boleh. Jadi, yang sewajarnya kita tengok langkah mana yang terbaik demi kepentingan negara.










