155 kawasan dadah ‘dihijaukan’ - Utusan Malaysia

155 kawasan dadah ‘dihijaukan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

DADAH musuh negara. Itu ungkapan yang ditanam dalam pemikiran rakyat Malaysia sejak 37 tahun lalu demi memastikan tidak ada seorang pun terjebak dalam permasalahan itu. Tetapi mengapa ia terus berlaku? Di mana silapnya?

Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) memperkenalkan Projek Rintis iaitu sebuah projek hasil inisiatif Ketua Pengarahnya, DATUK SERI ZULKIFLI ABDULLAH yang dilancarkan pada Julai 2019 selepas beliau diberi tanggungjawab mengetuai agensi itu, dua tahun lalu.

“Kita perlu menangani permasalahan dadah dari semua sudut. Semua ini memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak tanpa lagi menggunakan kaedah lama yang dilihat kurang berkesan.” Itu komitmen yang disuarakan Komisioner Polis itu kepada wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan jurugambar FAISOL MUSTAFA di Ibu Pejabat AADK, Bangi, Selangor, baru-baru ini.

USAHA MEMBANTERAS DADAH

Masalah dadah sudah lama. Sejak 1980-an lagi, dadah diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara. Kerajaan memberi penekanan terhadap isu dadah dengan menubuhkan beberapa jawatankuasa seperti Jawatankuasa Kabinet Membanteras Dadah yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Di samping itu, di peringkat negeri ada Majlis Tindakan Membanteras Dadah yang dipengerusikan oleh menteri besar atau ketua menteri dan jawatankuasa yang sama di peringkat daerah dipengerusikan oleh pegawai daerah.

DASAR DADAH NEGARA

Kerajaan membangunkan Dasar Dadah Negara dan melihat bagaimana agensi-agensi kerajaan boleh bergabung dalam matlamat menangani permasalahan dadah.
Dasar ini sudah bermula sejak 2017. Bagaimanapun, pelaksanaannya di peringkat bawah tidak berjalan lancar kerana banyak jabatan yang bergerak secara silo. Oleh sebab itu, hasilnya kita dapati kurang menyerlah.

Mulai 2018, kita mula mengumpul data penyalahguna dan penagih dadah secara menyeluruh yang diperoleh daripada sumber AADK, polis, pusat pemulihan swasta serta Kementerian Kesihatan dan mengesan seramai 130,788 penyalahguna dan penagih dadah.

Kita berusaha untuk mengembangkan pengumpulan data ini dan pada 2019, kita dapati jumlahnya merekodkan 142,199 penyalahguna dan penagih dadah.

Kita menjangkakan jumlah ini adalah lebih tinggi dan kajian prevalens dadah sedang dijalankan oleh universiti tempatan.

PROJEK RINTIS

Bagi Projek Rintis ini, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta dan AADK menyediakan kerangka apa yang perlu dilakukan oleh jabatan-jabatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana masalah dadah berpunca daripada pelbagai gejala sosial yang lain.

Permasalahan dadah boleh dilihat dari dua perspektif, iaitu permintaan dan pembekalan atau penawaran. Adanya pengguna dadah kerana adanya pembekal termasuk tokan sehinggalah sindiket pengedaran antarabangsa yang mengambil kesempatan di atas perniagaan haram yang sangat lumayan ini.

CABARAN COVID-19

Banyak program yang dirangka terpaksa ditangguhkan kerana masalah pandemik Covid-19. Beberapa jabatan menyatakan mereka tidak dapat melibatkan diri secara aktif kerana menghadapi kekangan untuk menyelesaikan petunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing. Bagaimanapun, banyak NGO masih aktif membantu di peringkat komuniti.

Bukan semua penyalahguna dan penagih dadah menerima perkhidmatan rawatan di pusat pemulihan tetapi sebahagian besar daripada mereka berada dalam komuniti. Semuanya bergantung kepada tahap keparahan dan keperluan mereka. Kita akan membuat penilaian serta saringan awal dan mengesyorkan kepada majistret sama ada wajar dimasukkan ke dalam pusat pemulihan ataupun cukup sekadar menjalani rawatan dan pemulihan secara pengawasan dalam komuniti.

Jika tahap penagihannya tidak parah, klien memiliki keluarga yang boleh menyokong kepulihannya dan dia boleh hadir ke sesi kaunseling ditetapkan, majistret akan meletakkannya di bawah pengawasan.

12 KAWASAN BERISIKO

Projek Rintis digerakkan sejak Julai 2019 di 12 kawasan berisiko yang dikenal pasti mempunyai masalah dadah. Projek Rintis ini sebagai eksperimen untuk melihat kaedah atau cara paling mujarab untuk mengatasi masalah dadah.

Empat daripada 12 kawasan berisiko tinggi (KBT) penyalahgunaan dadah yang diletakkan di bawah model projek rintis AADK kini diisytiharkan sebagai zon hijau.

Kawasan itu adalah Felda Keratong di Pahang, Felda Lubuk Merbau (Kedah), Sungai Besar (Sabak Bernam) dan Gugusan Felda Hulu Selangor (Selangor).

Empat lagi iaitu Kuala Kedah (Kedah), Setapak (Kuala Lumpur) dan Batu Pahat serta Johor Bahru di Johor berada dalam zon kuning.

Selain itu, Langkawi di Kedah, Petaling Jaya Selatan, Kuala Dungun (Terengganu) dan Pengkalan Chepa (Kelantan) masih dalam zon merah. Kita menjangkakan menjelang akhir tahun ini iaitu berakhirnya tempoh Projek Rintis, kesemua kawasan akan dikategorikan sebagai hijau atau sekurang-kurangnya kuning.

Projek Rintis dilaksanakan untuk memberi penilaian tentang kaedah-kaedah terbaik yang diguna pakai dan berjaya. Kaedah-kaedah ini akan diaplikasikan untuk pelaksanaan di 155 lagi KBT yang dikenalpasti mulai 2021 hingga 2025. Ini bagi mencapai matlamat kita yang sebenar iaitu Dadah Terkawal 2025.

KES BERULANG MASUK PUSAT PEMULIHAN

Mengikut data pada 2019, hanya 17 peratus penagih tampil mendapatkan rawatan dan pemulihan secara sukarela. Sesetengahnya disebabkan penagih itu adalah tempat bergantung keluarga, jadi apabila dihantar ke pusat pemulihan, maka hilanglah sumber pendapatan keluarga. Disebabkan itu, keluarga susah hendak melepaskan penagih untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan di pusat pemulihan.

Terdapat NGO yang kreatif dalam mengatasi permasalahan ini di mana mereka melatih ahli keluarga kepada penagih dengan memberikan kemahiran untuk mereka memulakan perniagaan.

Kaedah ini berjaya memberikan keyakinan kepada keluarga untuk menyerahkan penagih bagi mengikuti program rawatan dan pemulihan secara lebih terperinci di dalam pusat pemulihan.

Selain itu, stigma masyarakat terhadap penagih dadah adalah masih tinggi di mana mereka menganggap penagih dadah merupakan penjenayah. Faktor ini menyukarkan usaha untuk memastikan bekas penagih dadah kekal pulih apabila mereka berada di dalam komuniti.

KAWASAN HIJAU DADAH

Kita berharap dalam kawasan hijau ini, jumlah orang yang disyaki penagih dadah dapat diminimumkan. Adalah kurang realistik untuk kita mencapai sifar dadah tetapi kita mampu mengawalnya sebagaimana matlamat kerajaan mencapai sasaran dadah terkawal menjelang 2025.

Dalam 12 kawasan ini terdapat beberapa indikator tertentu yang menunjukkan kawasan itu boleh dikategorikan sebagai hijau. Antaranya jumlah jenayah berkurangan, masalah sosial berkurangan, masalah ponteng sekolah menurun selain kesedaran komuniti menjadi lebih tinggi.

Mengikut kajian, 30 peratus penagih dadah terlibat dengan kegiatan jenayah. Disebabkan itu, permasalahan ini sewajarnya dipandang serius dan diatasi di peringkat awal lagi. Sebagai contoh, jumlah bilik yang terlalu sedikit atau tidak kondusif di dalam sesebuah rumah di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) mampu membuatkan anak-anak tidak memiliki ruang untuk berehat atau bermain yang mencukupi. Maka mereka akan lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah dan bercampur gaul dengan rakan-rakan yang mungkin memberikan pengaruh negatif kepada mereka. Pengaruh rakan sebaya didapati mencatatkan peratusan yang tinggi iaitu hampir 50 peratus sebagai faktor utama seseorang itu terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan kerana masalah dadah bukan hanya berlaku dalam kumpulan keluarga B40 tetapi turut melibatkan kelompok keluarga lain. Kesibukan ibu bapa dalam bekerja dan tidak memberikan perhatian sewajarnya boleh menyumbang ke arah keterlibatan anak-anak dengan permasalahan dadah dan pelencongan sosial.

JAMINAN PENAGIH PULIH

Penagihan dadah adalah merupakan penyakit otak yang kronik dan berulang. Kita mendapati kebanyakan orang yang terlibat dengan penagihan dadah mempunyai pengetahuan agama yang lemah. Disebabkan itu, kita menitikberatkan pengisian agama di dalam program rawatan dan pemulihan. Kita juga percaya risiko seseorang itu untuk terlibat dengan penagihan dadah akan semakin berkurangan jika dia memiliki asas agama yang kukuh.

Individu yang terlibat dengan penagihan dadah perlulah memiliki kekuatan untuk pulih dan ia perlu hadir bersama-sama dengan sokongan keluarga. Di samping itu, pekerjaan yang bersesuaian juga dapat membantu mereka untuk mengekalkan kepulihan. Oleh itu, kita berharap agar majikan dapat bersifat lebih terbuka untuk menerima golongan ini sebagai pekerja. Kerajaan juga bersetuju untuk memberikan rebat cukai kepada majikan yang mengambil bekas penagih dadah sebagai pekerja mereka.

Selain itu menurut perundangan, tempoh seseorang perlu berada di dalam pusat pemulihan adalah selama dua tahun. Namun, tempoh ini boleh dipendekkan berdasarkan kepada prestasi kepulihan mereka. Setelah dibebaskan, mereka akan mengikuti program pengawasan di dalam daerah. Mereka perlu menghadiri program di AADK sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan. Kita juga akan menjalankan ujian saringan pengesanan dadah bagi memastikan mereka kekal pulih.

Sekiranya selepas tempoh dua tahun mereka didapati kembali menagih, kita ada menyediakan pusat khidmat untuk membantu merawat pulih. Kita tidak boleh memberikan jaminan seseorang itu akan kekal pulih dalam tempoh yang panjang. Namun begitu, kita boleh membantu mereka dengan melaksanakan tanggungjawab seperti yang telah dinyatakan.

CABARAN

Peranan komuniti adalah sangat penting. Permasalahan ini tidak boleh diselesaikan dengan hanya menuding jari dan meletakkan tanggungjawab kepada sesetengah pihak. Keluarga juga boleh menjadi punca penglibatan dadah. Sekiranya sejak kecil kita tidak mempedulikan mereka, tidak memberikan didikan agama mencukupi, tidak mengambil tahu tentang pergaulan, maka tidak mustahil mereka boleh terlibat dengan masalah sosial termasuk penyalahgunaan dadah. Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang, pengaruh internet dan media sosial adalah sangat kuat. Mereka boleh mengetahui tentang dadah dan cara-cara mendapatkan atau memproses dadah melalui internet.

Selain itu, kita tidak boleh menyisihkan penagih dadah kerana mereka adalah pesakit yang wajar untuk diberikan peluang bagi menerima rawatan dan pemulihan. Kebanyakan mereka telah tersilap langkah dan terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN