Sungai Ichat kembali ‘suci’ - Utusan Malaysia

Sungai Ichat kembali ‘suci’

WAN Rosdy Wan Ismail (kanan) menghirup air Sungai Ichat yang kualitinya kini berada pada tahap Kelas I, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETEGASAN kerajaan negeri Pahang dalam menangani isu penerokaan tanah haram merupakan ramuan utama kejayaan memulihkan kembali Sungai Ichat dalam kawasan tadahan air Terla, Cameron Highlands daripada tercemar teruk (Kelas IV).

Ini disemarakkan lagi oleh keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abadullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang meninjau kawasan tersebut pada 7 September 2019.

Hasilnya, tidak sampai pun 18 bulan sejak Februari 2019, Sungai Ichat iaitu satu daripada dua sungai yang mengalir dalam kawasan tadahan air Terla, Mukim Ulu Telom kini sudah pulih dengan kandungan air mentahnya pada tahap Kelas I.

Itupun tanpa mengambil kira tempoh enam bulan kerja-kerja penguatkuasaan terpaksa dihentikan susulan keputusan injunksi oleh Mahkamah Tinggi Kuantan yang dipohon oleh pekebun-pekebun haram terbabit, bermula April hinggalah mereka juga yang memohon penarikannya pada akhir September 2019. Tempoh 18 bulan itu jika hendak diikutkan, merupakan satu tempoh yang singkat berdasarkan jangkaan tiga tahun oleh Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd Yusof Ishak.

JERNIH

Sebelum ini, pencemaran teruk tahap Kelas IV dialami Sungai Ichat menyebabkan rancangan asal menjadikannya sebagai penyumbang air mentah kepada Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Terla bersama Sungai Terla tidak dapat dilakukan. Dengan pulihnya kembali Sungai Ichat, kini dengan sumbangan Sungai Terla sedia ada, boleh menjadi penyumbang air mentah mencukupi untuk diproses oleh LRA Kuala Terla sebagai air terawat bagi keperluan 70 peratus penduduk tanah tinggi ini.

Sebagai latar belakang, LRA Kuala Terla yang mula beroperasi pada 2007, berkapasiti memproses air antara 780 dan 800 meter padu sejam. Namun, dengan Sungai Ichat yang tercemar lalu bergantung kepada cuma kepada Sungai Terla, menyebabkan LRA ini hanya mampu memproses dan merawat air antara 480 hingga 550 meter padu sejam.

Menteri Besar, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang melakukan lawatan kerja bersama-sama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada 10 September lalu ke muka sauk LRA Kuala Terla, berpuas hati dengan kejayaan di Sungai Ichat ini.

“… hari ini, kita dapat lihat dengan mata kita sendiri, airnya sangat jernih seolah-olah seperti air mineral. Satu bukti yang sangat jelas bahawa tindakan penguatkuasaan terhadap pencemaran di gigi sungai sangat berjaya. Sekarang ini kita nak maintain, menjaga supaya ia tidak berulang kembali,” jelasnya.

Bagi memastikan Sungai Ichat, Mukim Ulu Telom ini terus terpelihara, mesyuarat MMK Negeri pada 13 Mac 2019 lagi telah meluluskan pewartaan kawasan terbabit dengan keluasan 121.12 hektar sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat. Aktiviti kawalan termasuk penjagaan dan penanaman pokok bagi tujuan pemuliharaan segera dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sebaik sahaja tindakan penguatkuasaan selesai dijalankan.

ANAK POKOK

Selepas Ops Lestari 1 pada 23 Februari 2019, JPNP telah memulihkan 16 hektar kawasan Sungai Ichat dengan penanaman 13,615 anak pokok daripada spesies Cupressus, Meranti Bukit, Merawan Siput Jantan, Rhu, Petai, Damar Minyak dan Gerok.

Susulan Ops Lestari 2 pada 23 Disember 2019 pula, JPNP telah mengambil tindakan pantas dengan menanam 4,000 pokok lagi melibatkan kawasan seluas kira-kira 9.75 hektar.
Tindakan pantas ini bertujuan mengelakkan pekebun-pekebun terbabit melakukan semula aktiviti mereka di dalam kawasan tersebut.

Selain itu, sebanyak tiga aktiviti Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) dilaksanakan bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan universiti tempatan melibatkan Majlis Belia Negeri Pahang, Sultan Ahmad Shah Environmental Trust dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL). Hasilnya, seluas 12.25 hektar kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat dipulihkan dengan menanam sebanyak 11,200 anak pokok pelbagai spesies.

Sehingga kini, seluas 38 hektar kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat telah dipulihkan melalui penanaman sebanyak 28,815 anak pokok. Baki kawasan akan ditanam secara kontrak.

KOMITED

Kunci katanya di sini ialah ketegasan dan tindakan susulan secara penuh komited bagi menjayakan aspek-aspek pemuliharaan dan pemeliharaan di Sungai Ichat, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands.

Inilah ramuan yang terbukti berjaya yang kita percaya akan terus digunapakai dan dijayakan oleh kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Wan Rosdy dalam menangani banyak lagi isu penerokaan tanah haram di negeri ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN