Lesen basikal cetus polemik - Utusan Malaysia

Lesen basikal cetus polemik

AZIZAN Mansor menunjukkan basikal antik miliknya yang mempunyai plat nombor zaman British. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF SHAIK MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
oleh AZNAN BAKAR

PADA 14 September bertempat di Plaza Tol Jelapang, Ipoh, Perak, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid memberitahu pemberita bahawa pihaknya sedang mengkaji untuk menyelaras semula undang-undang berkaitan aktiviti berbasikal di jalan raya.

Penyelarasan itu sudah pastilah akan melibatkan agensi-ageni penguatkuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Shaharuddin berkata, terdapat keperluan untuk menyelaras peraturan tersebut ekoran peningkatan aktiviti berbasikal di jalan raya termasuk basikal lajak.

Pada masa ini tindakan ke atas penunggang basikal bukan di bawah bidang kuasa JPJ. Sebaliknya apa yang boleh dibuat dalam mengawal aktiviti berbasikal ‘ekstrem’ di jalan raya termasuk di lebuh raya hanya dengan memberi pendidikan.

UNDANG-UNDANG

Lagi pula, dalam konteks undang-undang, basikal bukan tergolong dalam kenderaan yang patut berada di atas jalan raya dan boleh dikenakan dicukai, maka ia tidak boleh boleh dikuatkuasakan JPJ.

Tetapi pada masa sama terdapat keperluan untuk memastikan lebuh raya atau jalan raya digunakan secara berhemah oleh semua pengguna termasuk penunggang basikal.

Ketua Pengarah JPJ itu melontarkan kenyataan tersebut ekoran rungutan orang ramai juga. Ada banyak pihak merungut supaya dilakukan sesuatu bagi mengawal tindakan ‘berani’ segelintir peminat aktiviti berbasikal yang menggunakan jalan termasuk lebuh raya yang sibuk sebagai laluan mereka beriadah.

Rentetan daripada kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pengarah JPJ di Ipoh itu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) datang dengan idea yang agak drastik.

Ketua Pengarahnya, Dr. Khai­ril Anwar Abu Kassim mencadangkan supaya basikal di negara ini perlu didaftar, dilesenkan dan diletakkan nombor plat pendaftaran sama se­perti kenderaan bermotor.

Bagaimanapun katanya, cadangan itu masih di peringkat kajian memandangkan aktiviti berbasikal sekarang menjadi trend dan minat bagi kebanyakan masyarakat.

Tentunya kajian itu tidak akan siap dalam sehari dan apa juga dapatannya sudah tentu tidak akan dilaksanakan dalam tempoh semalam.

“Kajian itu mengambil masa serta beberapa faktor yang perlu dikaji dengan mendalam di samping meletakkan keselamatan sebagai perkara utama yang harus dititikberatkan,” kata Dr. Khairil.

KEMALANGAN

Lagi pula jumlah kemalangan maut melibatkan penunggang basikal masih tidak kritikal dengan nisbah tiga hari untuk seorang penunggang.

Kemalangan maut membabitkan penunggang basikal pula dalam anggaran 10 orang dalam tempoh sebulan. Berbanding penunggang motosikal, jumlahnya lebih tinggi iaitu 11 orang dalam masa sehari.

Malah kata Dr. Khairil, kajian ini bukan hanya untuk basikal sahaja, malah ia turut melibatkan mikro mobiliti yang ada.

Namun, kenyataan Dr. Khairil itu telah mencetuskan ‘kegemparan’ termasuk daripada Kementerian Pengangkutan apabila menterinya mengeluarkan kenyataan yang dimuat naik ke Facebook bahawa cadangan MIROS itu ti­dak pernah dibincangkan di peringkat kementerian.

Malah kementerian itu menafikan sama sekali untuk me­laksanakan cadangan seper­ti itu malah ia tidak pernah dibangkitkan kepada beliau.

Memang betul. Tidak disebut pun soal pelaksanaan. Yang disebut adalah cadangan dan kajian. Sesuatu cadangan dan kajian tak semestinya akan dilaksanakan. Dalam apa juga kemusykilan yang dibangkitkan oleh masyarakat sudah tentu akan ada cadangan dan kajian. Ada pro dan kontranya. Jadi, tidak perlu melenting dahulu.

Jika hasil kajian ke atas cadangan yang dikemukakan membawa manfaat kepada masyarakat baharu ia dilaksanakan. Jika tiada manfaat atau ada banyak bantahan sudah tentu ia tidak akan dilaksanakan. Setiap sesuatu polisi yang dilaksanakan di Malaysia semuanya atas kepentingan umum.

Hakikatnya, lesen basikal bukan perkara baharu di negara ini. Daripada zaman sebelum merdeka hingga selepas merdeka terdapat beberapa majlis perbandaran seperti di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Melaka dan Johor menguatkuasakan perlesenan untuk basikal.

KESELAMATAN

Setiap basikal mesti didaftarkan atau dilesenkan dan ada nombor plat khusus. Ia untuk tujuan keselamatan seperti mengatasi masalah kecurian selain memudahkan tindakan diambil jika penunggangnya melakukan apa-apa kesalahan. Ketika itu basikal adalah antara kaedah pengangkutan utama.

Malah di Muar, Johor, lesen basikal itu wujud hingga tahun 1980-an.

Cuma, apabila ekonomi dan kemampuan rakyat semakin meningkat, bergerak menggunakan basikal tidak lagi menjadi pilihan. Basikal makin tidak popular kerana digantikan dengan motosikal.

Basikal semakin jarang dilihat di jalan raya, maka keperluan untuk melesenkannya juga dirasakan tidak perlu.

Namun, kini aktiviti berbasikal kembali popular bukan kerana sifatnya sebagai salah satu mode pengangkutan untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat, tetapi sebagai aktiviti riadah.

Populariti aktiviti berbasikal ini membabitkan semua peringkat masyarakat daripada kalangan orang kenamaan termasuk kerabat diraja, artis hingga kepada orang biasa.

KETENTERAMAN

Itu belum diambil kira golongan remaja yang tampil dengan pelbagai bentuk aktiviti berbasikal termasuk basikal lajak hingga mengganggu ketenteraman awam.

Pada hujung minggu atau cuti umum, hampir di seluruh negara ada sahaja aktiviti berbasikal. Di jalan-jalan raya pasti akan kelihatan para penunggang basikal. Malah ada yang menggunakan lebuh raya sebagai trek mereka termasuk pada waktu malam.

Dari sinilah timbul kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya lain. Apabila timbul kebimbangan maka wujud pula rungutan. Daripada rungutan awam ini, sudah tentu agensi yang terlibat perlu melakukan sesuatu. Yang paling asas ialah mengkaji kemungkinan-kemungkinan yang boleh diambil termasuk kajian ke atas cadangan untuk melesenkan basikal.

Daripada sinilah timbulnya cadangan dan ia masih lagi di peringkat kajian belum ada ura-ura untuk dilaksanakan pun, walaupun lesen untuk berbasikal itu sebenarnya wujud. Lesen itu boleh dipohon menerusi Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Dengan lesen yang premiumnya serendah RM80 setahun, penunggang basikal dilindungi pampasan kemalangan bernilai sehingga RM15,000.

Tetapi lesen ini tidak diwajibkan ke atas penunggang-penunggang santai. Cadangan Miros pula masih di peringkat kajian.

Yang penting para peminat aktiviti berbasikal perlu mengutamakan keselamatan dan pada masa sama bertimbang rasa dengan pengguna jalan raya yang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN