Jenama DAP sudah rosak – Teck Lee - Utusan Malaysia

Jenama DAP sudah rosak – Teck Lee

Datuk Yong Teck Lee
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATA bekas Ketua Menteri Sabah, DATUK YONG TECK LEE kepada Utusan Malaysia di Kota Kinabalu kelmarin, kalau Sabtu 26 September ini Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meraih sekurang-kurangnya 45 kerusi, itu sudah cukup selamat buat GRS.

Tapi jika Parti Warisan Sabah (Warisan) pula meraih bilangan kerusi yang sama, bahana jawabnya.

Kami tanya kenapa, jawab beliau:

“Bolehlah pemimpin Warisan itu angkat sumpah, jadi ketua menteri sebulan dua, tapi masalah akan tiba bila Kabinet negeri dibentuk…masing-masing tidak akan puas hati.

“Saya (Teck Lee) ada pengalaman…insiden ini akan terjadi kerana ada kalangan yang tak dapat tempat akan cari orang dari Pusat dan sebagainya. Lagipun dalam Warisan, anggotanya tidak ada rasa kekitaan, sukar diterima di kawasan.”

Berikut sedutan temu bual wartawan ZULKIFLI JALIL dan HADI AB. MANAP disertai jurugambar SHIDDIEQIIN ZON dengan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu.
SAPP merupakan rakan dalam komponen Perikatan Nasional (PN) Sabah dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor, yang turut dianggotai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Pas.

RELA KORBANKAN LIKAS

UTUSAN: Sejauh mana penglibatan SAPP dalam PRN kali ini?
Penglibatan kami cuma bertanding di dua kawasan. Kedua-duanya di bandar. Satu Luyang di Kota Kinabalu dan Tanjung Papat, Sandakan. Kita menggunakan lambang PN untuk pertama kali.

Kerjasama dengan PN dari sudut mana?
Kita memang komponen PN. Kerjasama dalam PN langsung tidak ada masalah. Misalnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kita nampak pentadbirannya sangat efisien. Penyelarasan SAPP dengan Ibu Pejabat Bersatu Sabah di Alamesra cukup rapat. Satu lagi parti komponen adalah STAR. Sebenarnya SAPP dengan STAR dahulunya dalam gabungan Sabah. Maka tidak lagi asing. Secara keseluruhan jentera ketiga-tiga parti di akar umbi memang tiada masalah. Bagi SAPP, banyak pihak bertanya kenapa kita tidak ambil keputusan untuk langgar sahaja kerana hanya dapat dua kerusi. Senang saja jawapan saya. SAPP buat keputusan untuk terima dengan hati terbuka demi kepentingan Sabah. Tidak sihat untuk kita terus bergaduh sesama sendiri, jadi saya ambil keputusan, berapa jumlah kerusi yang diperuntukkan akan kita terima. Kita rela hati korbankan Likas iaitu kawasan tradisi SAPP. Walaupun kita tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tetapi keinginan untuk menebus kerusi berkenaan tetap membara kerana itu rumah kami. Tetapi demi PN, kami rela lepaskan atas nama kerjasama GRS.

Dalam pertembungan 17 kerusi antara BN, PN dan PBS, SAPP tidak terlibat?
Ya, SAPP sama sekali tidak terlibat. Hanya dua parti tidak ada pertembungan iaitu SAPP dan Bersatu.

Bagaimana untuk memastikan pengundi Cina memberi sokongan kepada Bersatu. Terutamanya kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Pengerusi PN Sabah?
Gambaran besar imej Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bagus. Kita tahu di bandar, ada lagi pengundi Cina masih berpihak kepada parti pembangkang. Walaupun mereka pengundi tegar DAP dan Warisan, namun respons kepada kepimpinan Muhyiddin amat baik. Sama ada neutral ataupun positif. Bila kita maklumkan PN merupakan parti Muhyiddin, mereka terus senyum.

Tidak berikan reaksi negatif. Pastinya seperti mana yang dilaporkan media mengenai imej Perdana Menteri sangat memberikan kesan dalam kalangan pengundi Cina yang sokong pembangkang di Sabah. Ini menunjukkan imej, kepimpinan dan dasar-dasar Kerajaan Persekutuan pada hari ini sangat diterima baik. Meskipun begitu, kita masih perlu bekerja keras lagi untuk meyakinkan pengundi untuk menyokong PN melalui kertas undi.

Sejak Perdana Menteri angkat sumpah 1 Mac 2020 dan menangani Covid-19, masyarakat Cina sudah tertarik dengan kepimpinan beliau?
Pada mulanya tidak juga kerana mereka tidak jelas dengan situasi yang berlaku di Pusat. Iaitu apa jadi tiba-tiba Pakatan Harapan (PH) tumbang dan Muhyiddin jadi Perdana Menteri. Namun prestasi beliau menangani pandemik, memulihkan semula ekonomi dan memastikan keselamatan membuatkan mereka mula beri perhatian kepadanya. Termasuk kawasan pengundi Cina yang tegar menyokong pembangkang.

DUA KALI SHAFIE MINTA BERUNDING

Isu keselamatan Sabah jadi modal untuk kempen pilihan raya termasuk tuntutan Filipina dan kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI). Boleh Datuk ulas?
Perkara ini memang serius. Cuma saya nampak media arus perdana belum memberikan liputan yang sepatutnya. Sebenarnya tuntutan Filipina kepada Sabah ini serius. Pada 2013, berlaku peristiwa di Tanduo.

Meskipun pencerobohan itu bukan atas nama kerajaan republik Filipina tetapi kita tidak nampak tindakan tegas yang diambil mereka terhadap pengganas yang melakukan serangan. Sudah serang Malaysia, mereka balik ke Filipina. Ada yang tinggal di Manila, ada yang tinggal di Selatan Filipina.

Media arus perdana jarang bawa isu ini kerana saya tahu dasar mereka bagus supaya tidak mahu menunjukkan tuntutan Filipina ada asas-asas tertentu. Ini dasar rasmi Malaysia. Wisma Putra tidak mahu runding kerana kalau ada perbincangan, maka kita mengiktiraf tuntutan itu sebagai berasas.

Ini kesilapan besar Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. Dia suruh Kuala Lumpur buat rundingan. Jangan cerita sebab tidak ada dalam agenda. Dalam masa sama Filipina, tidak berhenti lakukan provokasi. Sekarang mereka sudah mewujudkan satu biro khas untuk tujuan itu.

Sebenarnya dua kali Mohd. Shafie meminta Malaysia berunding. Kali pertama di Dewan Rakyat pada April 2016. Dia selaku Ahli Parlimen Semporna mencadangkan di Parlimen supaya kes tuntutan Filipina di bawa ke mahkamah antarabangsa. Dalam Parlimen ada hansard.

Saya tidak tuduh Mohd. Shafie, tetapi mesej yang disampaikan melalui tindakannya menunjukkan kerajaan yang ada di Sabah mahu buat rundingan. Sama ada Sabah patut berada dalam Malaysia ataupun Filipina. Ini memberikan negara jiran itu banyak galakan.

MANILA TOLAK KONSULAT

Beralih kepada lambakan PATI. Memang isu ini sejak dahulu atau baru-baru ini sahaja yang hangat diperkatakan?
Isu ini dari 1970-an lagi. Sebenarnya ia bermula sebagai pelarian perang saudara di Filipina. Itu pelarian rasmi dan jumlahnya lebih kurang 66,000 orang. Kita pun terima atas nama pelarian.

Yang kemudiannya tidak lagi pelarian sebaliknya PATI. Ini disebabkan oleh dua masalah. Negara asal masih berperang tetapi bukan lagi perang di antara kerajaan dengan bangsa Moro tetapi perang melibatkan geng-geng kongsi gelap masih berlaku.

Sabah juga ada PATI dari Indonesia. Tetapi itu bukan masalah kerana Indonesia ada konsulat di Kota Kinabalu dan di Tawau. Kerana ada pejabat konsulat di sini bermaknanya Indonesia tidak ada masalah dengan kita. Filipina tidak mahu ada konsulat di Sabah. Walaupun ada beratus ribu orangnya di sini bekerja dan sebagainya. Ini kerana mereka berfikiran, kenapa perlu pejabat konsulat di tanah sendiri? Sabah ini Filipina punya. Mereka dakwa.

MOTIF UNITY WARISAN

Warisan memasang poster Mohd. Shafie dengan perkataan Unity. Bertepatan atau tidak dengan sikap mereka yang anti-Malaya dan sebagainya?
Ini sentimen yang bahaya. Unity bermaksud satu padu di antara rakyat berbilang kaum dan agama. Sabah tidak ada isu perkauman. Sarawak pun tidak ada isu. Semenanjung pun saya rasa tidak ada isu. Sebelum saya cadangkan SAPP menyertai PN, saya ada tanya penyokong DAP di Semenanjung, masyarakat Cina cakap di bawah kepimpinan Muhyiddin mereka rasa tenang.

Tidak ada lagi kedengaran Cina balik China, komunis dan sebagainya. Hubungan antara kaum kembali pulih dan okey. Macam zaman dulu era 1980-an dan 1990-an. Di Semenanjung keadaan mula bertambah baik.

DAP punya cara memang kuat dengan provokasi. Manusia, bila diprovok memang akan ada reaksi. Itu yang timbul kenyataan Cina komunis, Cina balik China, Cina mahu kawal negara dan sebagainya. Tapi di Sabah, ini semua tidak berlaku. Kerana dalam satu keluarga pun ada yang berbeza agama dan sebagainya. Macam saya sendiri, saya ada pakcik beragama Kristian, ada yang Islam dan saya sendiri Buddha.

Jadi unity yang dibawa Warisan ini seolah-olah ada tujuan lain. Kerana tidak ada masalah perpaduan di sini, bahkan di Sarawak dan Semenanjung pun tidak ada. Apa maksudnya? Maksudnya adalah Warisan hendak menyatakan Sabah boleh bersendirian tanpa Kerajaan Persekutuan. Tetapi rakyat Sabah ingin kita sentiasa bersatu-padu dalam Malaysia.

Ketika SAPP keluar daripada BN pada 2010, kita pun mahu autonomi. Autonomi dari segi pelbagai aspek terutamanya pentadbiran. Kalau perkara-perkara kecil pun perlu kelulusan Putrajaya, ia akan ambil masa yang panjang. Kadang-kadang pegawai di Putrajaya tidak begitu faham dengan keadaan di sini.

Senang sahaja, kita minta lebih kuasa diturunkan kepada Pengarah Pendidikan, Pengarah Kesihatan dan pegawai-pegawai pembangunan. Janganlah sikit-sikit apabila buka tender mesti di Kuala Lumpur. Enam bulan pun masih belum ada jawapan.

Ini semua masih dalam konteks Persekutuan Malaysia. Saya masih berpegang kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), cuma minta sedikit lebihan kuasa kepada Sabah dan Sarawak. Dari segi praktikal, tidak mustahil semuanya perlu dirujuk ke Putrajaya.

PRN kali ini banyak pemimpin lama, contoh, Tan Sri Pandikar Amin Mulia (USNO) dan Tan Sri Chong Kah Kiat (LDP) kembali bertanding. Tapi Datuk tidak bertanding. Kenapa?
Sebenarnya PRU-14 pun saya tidak bertanding DUN. 2018 saya bertanding kerusi Parlimen. Kalah dengan DAP di Kota Kinabalu. Saya punya fokus adalah Persekutuan untuk bawah isu Sabah ke Dewan Rakyat. Kali ini kalaulah diperuntukkan lebih banyak kerusi, berkemungkinan saya akan bertanding di DUN. Disebabkan hanya dua sahaja kerusi yang kita dapat, maka saya ambil keputusan biarlah orang muda yang jadi calon SAPP di Luyang dan Tanjung Papat. Saya tunggu pilihan raya umum akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN