Buku teks sekolah vernakular antinasional? - Utusan Malaysia

Buku teks sekolah vernakular antinasional?

Benarkah buku teks sedia ada yang ditulis dalam bahasa Mandarin dan Tamil tidak selari dengan ideologi negara seperti yang mahu dianjurkan Rukun Negara? – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam mempertahan pendidikan vernakular di negara ini, seorang aktivis pendidikan aliran bahasa Cina menyarankan buku teks dalam bahasa ibunda Mandarin dan Tamil dikaji semula agar ditulis selari dengan kesemua prinsip Rukun Negara. Saranan ini dibuat untuk mewujudkan perpaduan yang lebih baik dalam kalangan anak bangsa kita, melalui buku teks yang dapat memainkan peranan aktif dalam mempertingkat kesedaran pelajar tentang identiti nasional.

Beliau berpendapat, dengan adanya peranan sebegini daripada buku teks baharu ini, generasi baharu Cina yang boleh berbahasa Melayu dengan baik akan muncul dalam waktu terdekat. Ini dilihatnya sebagai amat penting untuk tujuan komunikasi lancar selain pergaulan mesra antara pelajar Cina dengan pelajar kaum lain.

Persoalan utama di sini ialah sejauh manakah kebenarannya buku teks sedia ada yang ditulis dalam bahasa Mandarin dan Tamil tidak selari dengan ideologi negara seperti yang mahu dianjurkan Rukun Negara? Ini merupakan satu isu yang amat serius kerana fahamannya ialah selama ini sekolah vernakular memberi asuhan yang salah sehingga lepasannya rata-rata didapati tiada identiti nasional.

Dengan kata lain, lepasan sekolah vernakular tidak nasional kerana hanya mendukung nasionalisme etnik masing-masing, akibat kandungan buku teks yang tidak mendukung nasionalisme Malaysia. Perkara ini perlu disiasat untuk membuktikannya kerana ia bukan tuduhan liar lagi setelah sengaja ditulis untuk disiarkan dalam akhbar berbahasa Cina oleh aktivis pendidikan aliran bahasa Cina pula. Beliau yang menganjurkan persekolahan pelbagai aliran bahasa bagi menentang gagasan persekolahan aliran satu bahasa yang diperjuang beberapa watak tertentu yang disebut nama mereka, kelihatan yakin sekali dengan segala apa yang ditulisnya itu.

Selama ini apabila ada pihak mendakwa lepasan sekolah vernakular tiada identiti nasional, kaum Cina melalui sebilangan pertubuhan bukan kerajaan mereka yang memperjuang pendidikan vernakular Cina bukan sahaja cepat-cepat, tetapi juga mati-matian menafikannya. Kini dengan adanya pendedahan ini oleh kalangan mereka sendiri, ia bukan sahaja perlu disiasat untuk mengetahui modus operandinya. Ia juga hendaklah didedahkan cara yang digunakan dalam buku teks lama itu yang didakwa bertentangan dengan lima prinsip Rukun Negara yang bertujuan merealisasikan lima hasrat negara.

UTUH

Lima hasrat itu ialah mencapai perpaduan lebih utuh, meneruskan sistem demokrasi yang diamalkan, mewujudkan keadilan yang saksama dalam masyarakat, mempunyai pemikiran terbuka terhadap pelbagai warisan tradisi rakyat, dan membina masyarakat progresif atas landasan sains dan teknologi.

Sesungguhnya pendedahan ini amat mengejutkan kerana sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil yang tertakluk di bawah Akta Pendidikan 1996, perlu akur kepada Seksyen 18, iaitu menggunakan kurikulum kebangsaan yang diwajibkan kepada semua sekolah dalam sistem pendidikan negara. Ini bermakna sebilangan mata pelajaran yang ditawarkan dengan satu set judul tertentu yang dibenarkan diajar dan dipelajari pada sesuatu mata pelajaran itu, dikawal sepenuhnya oleh kerajaan melalui Kementerian Pendidikan.

Dalam keadaan begini, agak mustahil untuk SJK Cina dan Tamil menghasilkan buku teks yang boleh dianggap antinasional kerana bertentangan dengan ideologi negara, iaitu satu set kepercayaan untuk diamalkan setiap warganegara dalam kehidupan nasional.

Akan tetapi pendedahan ini tidak pun dilakukan oleh pihak yang tidak senang dengan kewujudan sekolah vernakular. Ia datang sendiri daripada seorang aktivitis yang bukan sahaja amat mencintai tetapi habis-habisan melindungi SJK Cina. Justeru, ia hendaklah tidak dipandang enteng!

SUBVERSIF

Barangkali pendedahan ini disasarkan kepada sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) yang tidak perlu pun menggunakan kurikulum kebangsaan kerana tidak perlu akur kepada Seksyen 18 Akta Pendidikan 1996. Sehubungan ini, SMPC bebas menggubal kurikulum dan sukatan pelajarannya sendiri yang sering didakwa sesetengah pihak sebagai tidak selari dengan aspirasi nasional.

Sekiranya isu buku teks yang didakwa boleh menyekat pemupukan identiti nasional betul wujud di SMPC, ini sesuatu yang amat berbahaya kerana mendidik anak bangsa tentang perkara yang bertentangan dengan ideologi pada Rukun Negara. Lebih mudarat lagi ialah akibatnya ikut terkesan sehingga lepasannya tidak dapat mempamerkan identiti nasional yang jelas, sesuai dengan status sebagai warganegara Malaysia.

Apa-apa juga tentang pendedahan ini, beberapa pihak berwajib perlu menyiasatnya sehingga ke akar umbi untuk mengetahui motifnya. Ini sangat perlu dilakukan segera kerana perkara sebegini bersifat subversif, iaitu percubaan atau usaha untuk merosak selain menghancurkan sistem negara sedia ada, khususnya bidang pendidikan.

Sebenarnya perkara sedemikian tidak patut berlaku. Namun, ia berlaku seperti yang didedahkan. Dalam hal ini, satu persoalan lebih besar ialah di manakah semangat kebangsaan dan sayangkan negara dalam kalangan mereka yang terbabit? Sebagai warganegara tulen, kita sepatutnya menyokong negara tercinta ini untuk menjayakannya sebagai ibu pertiwi kita, dan bukan sebaliknya, iaitu untuk menggagalkannya dengan sabotaj begini.

PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN