SEKIRANYA pilihan raya umum diadakan esok, Negeri Sembilan mungkin tidak punya banyak calon ‘heavyweight’ yang boleh diberi keutamaan oleh media. Yang sedia ada jika boleh disebut ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Port Dickson) dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau.
Namun, ada satu nama lagi yang tidak boleh ditinggalkan. Beliau ialah bekas Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA dan jurugambar, MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE, Setiausaha Organisasi DAP itu berkongsi pandangan dalam beberapa perkara termasuk politik semasa.
Ikuti temu bual tersebut yang diadakan di pejabatnya di Seremban, baru-baru ini:
SEREMBAN SEBAGAI BANDAR RAYA
UTUSAN: Seremban kini mencapai taraf bandar raya sejak Januari lalu. Sebagai wakil rakyat kawasan itu, bagaimana Yang Berhormat (YB) melihat keadaan semasa termasuk aspek pembangunan?
Seremban jika dilihat lokasinya sangat berpotensi untuk jadi bandar raya sekunder kepada Lembah Klang kerana kedudukan geografi yang dekat dengan ibu negara. Kelebihan ini membolehkan Seremban mendapat tempias dan menjadi pilihan kepada warga kota untuk berpindah dan tinggal di sini. Konsep ini memang telah lama diperkatakan dan sebenarnya jika dilihat di bandar raya utama di seluruh dunia, ini perkara biasa.
Apabila sesebuah bandar raya maju dan menjadi besar, kosnya tinggi. Ramai yang bekerja di tengah-tengah ibu kota tetapi mereka duduk di luar. Jadi, Seremban dari segi jarak dan masa untuk pulang tidak jauh berbeza dengan Subang Jaya, Shah Alam atau Klang. Justeru, Seremban menjadi pilihan kepada warga kota untuk beli rumah dan duduk di sini. Anak-anak mereka juga boleh belajar di sekolah-sekolah di sini.
Kelebihan utama adalah kos kehidupan lebih rendah. Kedua, Seremban kurang sesak, bukan sahaja dari segi jalan raya tetapi untuk anak-anak mendaftar sekolah ataupun mendapatkan khidmat kesihatan, semuanya tidak sesak seperti di Kuala Lumpur. Jadi, bagi saya ini potensi yang Seremban perlu gunakan sebaik-baiknya.
Status bandar raya membolehkan Seremban mempunyai pelbagai kemudahan, malah tidak kurangnya dengan apa yang ada di Kuala Lumpur. Tetapi Seremban perlu memperbanyakkan tempat rekreasi, kemudahan bersukan supaya dapat mencetuskan keseimbangan antara bekerja dan kehidupan.
Paling penting, Seremban kurang sesak kerana penduduk tidak sepadat Kuala Lumpur. Jadi, bagi saya ini kelebihan yang perlu kita maksimumkan. Apabila lebih ramai orang berpindah dan memilih untuk duduk di Seremban, maka kita ada permintaan yang tinggi terhadap sektor perumahan dan perkhidmatan. Kalau lebih ramai orang beli rumah di Seremban, maka ia menjana pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan dengan pertumbuhan sektor-sektor sampingan yang turut mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
PH DI NEGERI SEMBILAN
Situasi politik semasa negara ketika ini sukar diramal dan tidak menentu, bagaimana kedudukan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan termasuk DAP?
Kedudukan PH di Negeri Sembilan masih kukuh. Saya yakin ia stabil kerana pertama, yang membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya umum lalu hanya tiga parti, iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah). Lagipun individu-individu berada dalam ketiga-tiga parti ini sudah lama bekerjasama, iaitu sejak 2008 lagi.
Oleh itu, kami tiada banyak masalah untuk meneruskan kesinambungan kepemimpinan. Di Negeri Sembilan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak memainkan peranan yang besar.
Mereka tidak menang satu kerusi pun. Jadi, apabila kami membentuk kerajaan negeri, Bersatu tiada wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi kita masih mempunyai semangat persahabatan kerana di peringkat kerajaan tempatan, ahli-ahli majlis diberikan kuota kepada Bersatu juga. Cuma apabila meninggalkan PH, mereka telah tinggalkan jawatan tersebut.
Di peringkat kerajaan negeri, ADUN-ADUN kekal, tiada masalah dan saya yakin kami boleh terus memainkan peranan dan mempertahankan mandat rakyat sehingga akhir tempoh penggal.
DAP di Negeri Sembilan juga tiada masalah kerana kami juga menyokong kepemimpinan kerajaan negeri, malah kami juga sudah tentu ada tanggungjawab untuk mempertahankan mandat yang diperoleh kerajaan negeri. Tetapi dalam mana-mana parti politik pun, kadang-kadang akan ada isu-isu dalaman yang timbul dari semasa ke semasa tetapi itu perkara biasalah. Kami selesaikan isu ini dengan baik secara dalaman dan kami teruskan kerja.
PH Negeri Sembilan juga sudah nyatakan pendirian, jika ada pilihan raya umum mengejut, Negeri Sembilan tidak akan bubarkan DUN. Kami rasa mandat yang diterima adalah lima tahun, tiada alasan untuk membubarkan DUN pada ketika tidak sampai tiga tahun. Negeri Sembilan juga tiada isu tentang ada ADUN yang mahu melompat ke pihak lawan. Kami teruskan kerja dan biarlah rakyat menilai sehingga sampai masanya.
CALON PILIHAN RAYA
Adakah DAP Negeri Sembilan sudah membincangkan mengenai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?
Soal calon itu tunggulah pilihan raya, belum ada dalam perbincangan. Seperti yang saya kata, fokus kami ialah bekerja untuk rakyat. Soal calon itu tunggu masanya, selepas Parlimen atau DUN dibubarkan, itu masanya kita bincang soal calon. Kalau sekarang, semua akan sibuk pasal calon sahaja, takkan fokus pasal kerja. Jadi, pendekatan saya tidak akan bincang pasal calon sehinggalah pilihan raya dipanggil.
SOKONGAN MELAYU TERHADAP DAP
DAP dilihat masih sukar menawan hati orang Melayu, komen YB?
Kami faham, pihak lawan terutamanya UMNO dan Pas mahu menjadikan DAP sebagai musuh. Bukan kami mahu menjadi musuh kepada orang Melayu tetapi kedua-dua parti itu yang mahu jadikan DAP sebagai musuh orang Melayu supaya mereka ada punching bag (sasaran). Apa sahaja kelemahan mereka, DAP boleh dijadikan alasan untuk disalahkan.
DAP telah dilabelkan dan dijadikan sasaran oleh parti politik dalam Barisan Nasional ataupun Perikatan Nasional sebagai musuh. Ini persepsi negatif yang cuba ditimbulkan terhadap DAP dan memang propaganda mereka itu amat berkesan dalam kalangan orang Melayu terutama di luar bandar.
Amat berkesan kerana kami tidak mempunyai ahli-ahli akar umbi yang ramai di kawasan-kawasan luar bandar untuk menangkis persepsi tersebut. Jadi, lama kelamaan, persepsi itu sudah menjadi pandangan orang Melayu terhadap DAP. Nak mengubah pandangan itu bukannya mudah. Ini menjadi masalah kepada kami, bagaimana nak mengubah pandangan tersebut secara umumnya kepada DAP.
Tetapi kami akan terus cuba untuk membuktikan kami bukannya sebuah parti rasis, bukan parti yang memusuhi orang Melayu. Malah kami parti yang cuba mendekati masyarakat Melayu seperti mana kami mendekati mana-mana masyarakat lain. Itu ideologi DAP yang mahu mewakili semua rakyat.
KEHADIRAN PARTI BAHARU
Komen YB mengenai kehadiran parti-parti baharu seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan kesannya terhadap PH?
Saya rasa, kami boleh bincang, tiada masalah dan bukan mahu mengatakan semua parti mesti bertanding di semua kerusi. Kami tidak mengambil pendirian seperti itu. Kami banyak kali masuk pilihan raya dan banyak kali sudah berbincang mencari persefahaman dan saya yakin perkara seperti itu boleh dibincangkan, boleh dirundingkan.
Umpamanya parti Muda, sudah tentu kami boleh bincang dengan mereka. Kalau mereka ada tokoh dan calon sesuai, sudah tentu boleh berbincang. Kami tidak melihat mereka adalah pesaing kepada PH tetapi lebih kepada sekutu kepada kami.
PROJEK ECRL
Pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah antara projek utama yang diberikan perhatian oleh kerajaan PH sebelum ini, malah YB sendiri merupakan Menteri Pengangkutan pada waktu itu. Pandangan YB mengenai keadaan semasa projek berkenaan termasuk jajarannya?
Saya tak pasti apa keputusan mereka (kerajaan) tetapi sudah tentu mereka ada kuasa untuk memutuskan apa jajaran yang mahu dilaksanakan. Tapi apa yang saya mahu katakan, apa yang telah kami rancang dan bincang itu adalah hasil rundingan yang amat lama bagi meringankan kos bebanan kerajaan dan membawa faedah yang lebih strategik kepada negara.
Kita jangan lihat satu, dua tempat sahaja. Kita kena lihat kepentingan strategik negara di mana jajaran yang telah kami cadangkan boleh memberi kelebihan strategik kepada negara dalam jangka masa panjang. Itu yang saya mahu katakan dan saya harap keputusan terbaik dapat dibuat.
GENCATAN POLITIK
Sebelum ini YB ada mencadangkan semua parti melakukan ‘gencatan politik’ dan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi negara yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19, mungkin YB boleh jelaskan lagi?
Memang saya ada berikan cadangan tersebut. Pertamanya, ia berlandaskan kepada situasi hari ini. Cabaran terbesar kita adalah Covid-19 dan masalah ekonomi negara. Sepatutnya kita perlu mencari jalan bagaimana untuk mengenepikan perbezaan politik seketika supaya seluruh negara boleh fokus kepada pemulihan ekonomi dan bagaimana kita boleh memerangi Covid-19. Itu memerlukan keinginan dan kepemimpinan daripada kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.
Saya berharap selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, pihak yang kalah perlu menghormati keputusan sebab itu adalah pilihan rakyat. Kita sepatutnya lihat bagaimana boleh cari titik persamaan supaya boleh mengelakkan pilihan raya mengejut dalam masa terdekat.
Jika sekarang diadakan pilihan raya mengejut, ia akan timbulkan pelbagai masalah. Pertama, perbelanjaan yang sangat besar oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kedua, risiko penularan Covid-19 mungkin berlaku. Sekarang pelbagai prosedur operasi standard (SOP) dikenakan tetapi apabila ada kempen pilihan raya, suka atau tidak, ia tidak boleh mengelak daripada orang berhimpun walaupun SOP ada. Namun, kadang-kadang sukar untuk kawal. Ada perhimpunan, ada kempen dan aktiviti. Apabila orang bergerak dari satu tempat ke tempat lain, ia sudah tentu akan menyebabkan banyak interaksi manusia dan boleh jadi satu faktor wabak disebarkan.
Itu sebabnya saya katakan bahawa bukannya kita tidak ada ruang untuk bertanding, sudah tentu pilihan raya perlu diadakan apabila sampai masanya. Ia tidak boleh melebihi lima tahun tapi sekarang masih ada lagi tempoh dua tahun lebih. Jadi, boleh bincang bagaimana kita boleh duduk bersama-sama untuk mencari formula atau satu titik persamaan supaya pilihan raya mengejut dikemudiankan dan tidak perlu diadakan pada ketika ini.
TOK MAT
Baru-baru ini YB ada memuat naik status dan gambar di Facebook mengenai bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat). YB mengakui amat menghormati beliau sebagai Menteri Besar, juga kerana imej dan pendekatannya yang serius dan no-nonsense. Ia mendapat respons banyak pengguna media sosial, apa komen YB?
Memang saya katakan Tok Mat ada sifat-sifat kepemimpinan positif yang saya hormati. Walaupun ada pandangan berbeza dalam politik tetapi tidak semestinya kita memusuhi seseorang.
Bagi saya, Tok Mat adalah seorang pemimpin UMNO yang dilihat pada hari ini memiliki kredibiliti. Tak ramai pemimpin UMNO pada hari ini yang dilihat sebegitu. Tok Mat adalah seorang pemimpin UMNO yang sangat tidak kontroversi atau bebas daripada skandal. Itu saya rasa adalah satu kelebihan untuk Tok Mat.










