Basikal: Takkan kena ada lesen? - Utusan Malaysia

Basikal: Takkan kena ada lesen?

Sekumpulan penunggang basikal berkayuh di Jalan Tunku Putra, Kuala Lumpur pada cuti umum Hari Malaysia, kelmarin. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU basikal kembali lagi. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikatakan akan mengkaji undang-undang berkaitan aktiviti berbasikal di jalan raya. Difahamkan, kajian ini membabitkan pelbagai agensi untuk menilai bentuk tindakan terhadap aktiviti berkenaan termasuk basikal lajak.

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) pula mencadangkan basikal perlu lesen dan nombor plat. Tujuannya, meningkatkan kesedaran dan mengurangkan kemalangan maut.

Sekitar hujung tahun lepas, isu ini diperdebatkan kerana pada masa itu aktiviti basikal lajak menjadi kegilaan kanak-kanak dan remaja. Maka pelbagai tindakan dilakukan oleh polis termasuk menyaman ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka bebas bermain basikal lajak di tempat-tempat tidak sepatutnya.

Ini antara kes-kes berkaitan basikal lajak yang masih dianggap panas. Itu belum lagi kes lapan remaja berbasikal yang maut di Johor selepas dilanggar sebuah kereta pada 2017. Kejadian itu berlaku pada pukul 3 pagi, ketika ramai sedang tidur tetapi anak-anak remaja ghairah berbasikal sampai memenuhi jalan.

Basikal mempunyai banyak persepsinya. Ia aktiviti riadah. Ramai menyuarakan pendapat mengenai kebaikan berbasikal. Ada tulisan yang mengupas pelbagai kebaikan berbasikal, bukan hanya dari segi kesihatan malah menjangkau kesan positifnya dari aspek hubungan keluarga dan sosial.

Malah ada dalam kalangan ahli Parlimen yang pernah mengambil contoh penggunaan basikal oleh rakyat di beberapa negara luar. Mereka menggunakan basikal ke tempat-tempat kerja demi keselamatan, kesihatan dan mesra alam sekitar.

Namun, kita sedang memikirkan dan berusaha mencadangkan undang-undang pula mengenai basikal. Bukannya apa, di negara kita banyak benda yang sebenarnya tidak salah tetapi disalahgunakan.

MOTOSIKAL

Motosikal pun dijadikan alat berlumba dan menunjuk pelbagai aksi. Basikal juga mengalami nasib sama sehingga kepentingan berbasikal itu tenggelam dengan sendirinya.

Bagi golongan dewasa yang meminati basikal dan menjadikannya sebagai aktiviti berkonvoi ke sana sini, mereka juga sentiasa terdedah kepada bahaya kerana menggunakan laluan-laluan berisiko kemalangan.

Apa yang menjadi isu, cara anak-anak muda sekarang berbasikal lain daripada apa yang dilakukan oleh tua-tua yang mahu mengendurkan otot atau mencari sedikit peluh. Orang tua sudah tidak boleh bersukan seperti anak-anak muda yang mampu bermain bola sepak dan badminton.

Anak-anak muda lain kaedahnya. Mereka berkumpulan, menunjuk pelbagai aksi malah ada yang mengangkat roda depan, meniarap dan membiarkan basikal laju ke depan tanpa memikirkan risikonya. Maka ia bukan lagi riadah, tetapi boleh membawa padah.

Justeru, tidak hairanlah JPJ dan mana-mana pihak pun lebih suka kalau aktiviti berbasikal ini dikawal dan undang-undang mengenainya dikaji. Walaupun tidak berenjin dan tidak dikenakan cukai jalan, tetapi apabila aktiviti berbasikal dilakukan bersama-sama di laluan kenderaan yang berenjin, maka pemantauan dan tindakan mesti dilakukan supaya sebarang insiden tidak diingini membabitkan penunggang basikal tidak berlaku.

Kita percaya, apa-apa keputusan pun yang diambil oleh pihak berkuasa mengenai aktiviti berbasikal adalah demi kebaikan bersama. Tetapi, cubalah supaya jangan sampai basikal perlu didaftarkan, dikenakan lesen dan sebagainya kerana masih ada cara lain menangani isu ini.

PENULIS ialah penganalisis sosial dan bekas guru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN