Baby bump bikin lelaki terangsang? - Utusan Malaysia

Baby bump bikin lelaki terangsang?

Pelakon terkenal Hollywood, Angelina Jolie ketika sarat mengandung pada 2008. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DETIK kehamilan sememangnya satu pengalaman terindah bagi setiap wanita. Apatah lagi ia dinanti-nantikan bagi pasangan yang telah lama berkahwin, menunggu kehadiran cahaya mata pelengkap kehidupan berumah tangga. Dan berita kehamilan itu seboleh-bolehnya mahu diuar-uarkan ke seluruh dunia. Episod-episod indah melalui perjalanan kehamilan itu pastinya mahu dikongsi bersama kenalan melalui platform media sosial.

Sekadar mahu merakamkan kenangan, gambar-gambar yang menampakkan perut atau baby bump di muat naik di media sosial dengan mewujudkan pelbagai tanda hashtag bagi memudahkan pencarian.

Namun sedarkah anda, ada mata jahat yang sedang memerhati gambar-gambar itu atas tujuan fantasi seks mereka? Mengejutkan bukan?

Ya, mereka merupakan sekelompok lelaki yang mempunyai keghairahan dan nafsu aneh apabila melihat badan wanita hamil. Menurut kajian psikologi, golongan ini mempunyai penyakit mental dikenali maiesiophilia.

Tanpa sedar, mereka sedang berlegar-legar di alam maya dengan mengumpulkan gambar-gambar wanita hamil dan dimuat naik di laman web lucah atau saluran khas di media sosial untuk tatapan lelaki-lelaki hidung belang.

Mengulas mengenai kebimbangan ini, Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, kes penyakit mental seumpama itu masih baharu dalam masyakarat negara ini kerana tidak ada kesedaran secara serius dibangkitkan oleh mana-mana pihak.

Namun katanya, ia tidak boleh dipandang ringan kerana boleh merisikokan wanita hamil terbabit dan anak yang dikandungnya jika berlaku kegiatan jenayah. Setidak-tidaknya ia boleh mengganggu emosi wanita hamil terbabit jika mendapati gambar mereka dimanipulasi.

“Kehamilan wanita menimbulkan satu fenomena erotik atau tarikan kelainan seksual kepada golongan lelaki berpenyakit itu.

“Mereka akan cepat rasa bernafsu dan terangsang kalau melihat baby bump. Ia memberikan satu rangsangan baharu kepada lelaki gila seks ini kerana dia mahukan kelainan.

“Seperti ada sesetengah jenis kumpulan lelaki yang melihat seluar dalam wanita pun boleh terangsang,” katanya kepada Cekmek Molek, baru-baru ini.

 

PORNOGRAFI
Di peringkat global, kes maiesiophilia bukanlah perkara baharu dan tenyata wujud. Dalam satu kajian menerusi laman web Fatherly mendedahkan, pencarian kandungan pornografi secara dalam talian melibatkan wanita hamil meningkat sebanyak 20 peratus sejak 2014. Pencarian perkataan pregnant pula berada di kedudukan 107 paling popular di Amerika Syarikat (AS).

Menurut ahli terapi ketagihan seks, Michael Aaaron, kemunculan penyakit mental ini berkemungkinan boleh dikaitkan dengan kejadian-kejadian tertentu yang berlaku ketika kecil sehingga mencetuskan rasa ghairah kepada wanita hamil.

Penulis buku Modern Sexuality itu turut menyatakan bahawa hormon testosteron didapati mempengaruhi naluri berahi terhadap wanita hamil. Mereka amat meminati dan sentiasa memerhati perubahan-perubahan fizikal pada wanita hamil yang menyifatkan mereka lebih cantik daripada wanita biasa.

Kajian yang diterbitkan oleh Journal of Sexual Medicine pada 2010 pula menyokong pandangan ahli terapi itu yang menyatakan, anak yang melihat proses kehamilan ibunya lebih cenderung untuk mendapat maiesiophilia.

Mengakui perkara itu, Fauziah berkata, kesedaran kepada masyarakat berhubung maiesiophilia perlu dimulakan dari sekarang kerana ia boleh menimbulkan bahaya jika berleluasa.

Faktor genetik berkemungkinan boleh mempengaruhi seseorang untuk berpenyakit ini selain faktor persekitaran dalam kalangan kawan-kawan turut mengheret mereka untuk menjadi ‘ketagih’.

Paling ditakuti, maiesiophlilia sukar dikesan dan tiada sesiapa pun tahu mereka berada di mana. Oleh itu, amat penting agar kita semua berwaspada dan saling mengingati dalam kalangan ahli keluarga supaya tidak berkongsi sesuatu yang tidak sesuai di media sosial.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN