fbpx

2 Disember 2020, 1:42 am

  TERKINI

Radio, TV kurang minat siar lagu nasyid?

Kumpulan Ana Muslim membuat persembahan dalam acara Anugerah Nasyid anjuran IKIM suatu ketika dahulu. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Muhammed Yusuf

Pada Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah memberi harapan baharu kepada para penggiat industri nasyid tanah air. Beliau ingin melihat industri itu kembali gemilang seperti penghujung 1990-an serta mahukan pengiktirafan berprestij kembali diadakan.

Saya berpendapat, dalam mencapai hasrat murni ini, ada beberapa aspek lain yang perlu diteliti dan diberi perhatian sewajarnya terutama kepada pihak-pihak yang terlibat. Antaranya, penggiat lagu nasyid harus lebih kreatif dalam menghasilkan karya mereka sama ada berkaitan lirik berkualiti dan irama serta rentak bersesuaian dengan peredaran masa. Ini termasuk mengambil kira faktor minat semasa para pendengar nasyid dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang. Hal ini kerana para pendengar adalah penentu utama kepada penerimaan lagu-lagu sedemikian. Jika lagu nasyid diterima baik oleh masyarakat, maka sudah tentu popularitinya juga meningkat dan bertambah.

Bagaimanapun, dalam keghairahan untuk memperkasakan nasyid, aspek identiti lagu jangan pula diabaikan. Ia sering diperkatakan terutama dengan kemunculan lagu-lagu nasyid kontemporari yang membawa lirik dan irama yang jauh bezanya dengan lagu nasyid sebelumnya. Tambahan pula lambakan lagu-lagu ketuhanan juga menambahkan lagi kekeliruan sedia ada sehinggakan pendengar sukar untuk membezakan antara lagu nasyid dan bukan nasyid.

Ada berpandangan, nasyid pada hari ini mengalami kekeliruan identiti dan sudah hilang nilai jati diri. Untuk menjawab isu ini, kita hendaklah memahami nasyid dalam konteks identiti yang mampu membezakannya dengan lagu-lagu lain. Nasyid boleh difahami bukan sekadar lagu, bahkan menggabungkan elemen seni kata muzik dan gaya penampilan individu atau kumpulan. Ia bukan sekadar menghiburkan tetapi memberi mesej yang berunsurkan pengajaran.

Dapatlah difahami nilai sebenar identiti lagu nasyid bukan hanya dinilai pada keelokan liriknya semata-mata, malah jauh daripada itu dengan mengambil kira siapa penyampainya. Hal ini kerana dakwah yang disampaikan melalui seni muzik akan lebih berkesan jika dinyanyikan oleh orang yang mempunyai akhlak dan penampilan imej yang baik.

Selain itu, pengamal media juga harus memberi sokongan penuh kepada perkembangan industri nasyid tanah air. Berdasarkan kajian, antara media penyiaran khususnya stesen radio yang serius memperjuangkan artis dan lagu nasyid adalah Radio IKIM. Ini terbukti sejak penubuhannya pada 6 Julai 2001, banyak lagu nasyid telah ke udara sepanjang siarannya pada setiap hari. Dalam Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) terdapat satu rancangan khas iaitu Carta Nasyid IKIM yang mula diperkenalkan pada Oktober 2002 sehingga kini. Ia menjadi medium utama kepada industri nasyid tanah air khususnya dalam memberi pendedahan kepada para pendengar mengenai artis nasyid dan secara tidak langsung bertindak sebagai medan promosi.
Peranan lain yang boleh dimainkan oleh para pengamal media ialah mengulang siar lagu-lagu nasyid terutama melalui media elektronik iaitu radio dan televisyen. Kaedah pengulangan ini bukan sahaja menjadikan lagu nasyid lebih diminati malah boleh mempengaruhi minda serta perwatakan seseorang.

Selain itu, kreativiti yang tinggi juga dituntut dalam kalangan pengamal media. Sebagai contoh, rancangan yang berorientasikan artis dan lagu nasyid perlu divariasikan. Dengan kepelbagaian rancangan nasyid di radio, televisyen serta sentiasa mendapat liputan perkembangan industri nasyid semasa daripada media cetak, diharap dapat merancakkan lagi usaha murni ini.
Oleh itu, kerjasama semua pihak yang terlibat dalam membangunkan semula industri nasyid tanah air amat diharapkan terutama kepada pengamal-pengamal media. Mereka seharusnya bertindak sebagai medan untuk mempromosikan lagu nasyid untuk lebih maju jauh ke hadapan dan menjadikannya popular serta mampu bersaing dengan pelbagai bentuk genre muzik semasa.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan dan Penyelidik di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

BERITA BERKAITAN