Perpaduan tulang belakang negara - Utusan Malaysia

Perpaduan tulang belakang negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Lim Kok Wing

SEMPENA Hari Kebangsaan yang disambut 31 Ogos setiap tahun, ia menandakan Malaysia bebas daripada belenggu penjajahan sehingga mencapai kemerdekaan pada 1957.
Saya dilahirkan sebelum era kemerdekaan. Pembebasan daripada penjajahan menandakan kebebasan rakyat sekali gus bersyukur dengan nilai-nilai kebersamaan dan perpaduan pelbagai kaum yang dipupuk sejak sekian lama.

Perpaduan hari ini melambangkan keharmonian kaum dan merupakan isu penting yang mesti diperjuangkan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kedudukan, bangsa dan agama walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dari dalam dan luar negara.

Hari ini, rakyat perlu bersyukur kerana dasar kerajaan yang berusaha meningkatkan nilai-nilai perpaduan, mewujudkan masyarakat yang bersatu dan bertolak ansur serta menghormati pegangan agama dan adat resam semua kaum. Ia merupakan intipati merintis ke arah perpaduan kaum yang menjadi tulang belakang negara selama ini.
Pemimpin Malaysia yang berinpirasi dan prihatin perlu sentiasa berpandangan jauh serta merangka program yang boleh menyatupadukan rakyat pelbagai kaum, bangsa dan agama dengan harapan perpaduan dan sikap toleransi sentiasa subur.

DASAR-DASAR PEMBANGUNAN KERAJAAN

Hari ini, hasil daripada dasar-dasar pembangunan kerajaan yang berusaha untuk mengekalkan perpaduan kebangsaan, rakyat bebas ke mana-mana tanpa ada rasa bimbang antara satu sama lain.
Keunikan inilah yang tiada di negara lain dan perlu dikekalkan untuk generasi masa depan.

SEMANGAT PATRIOTISME

Sebagai rakyat, rasa kesetiaan, kecintaan dan bersyukur dengan apa yang dinikmati bukan satu kerugian, sebaliknya manifestasi kepada wajah dan keperibadian terhadap negara. Semangat patriotisme seharusnya dipupuk sejak tadika hingga ke universiti. Sebagai rakyat berketurunan Cina, saya bangga dilahirkan di Malaysia. Kepelbagaian budaya dan keturunan di negara ini mewarnai perpaduan dan semarak patriotisme. Perbezaan harus diraikan, bukan menjadi titik kepada perselisihan yang sering membayangi pemikiran rakyat negara ini, namun dalam kebanyakan hal kehidupan, sebagai rakyat Malaysia masih menerima kebersamaan untuk hidup saling menghormati.

Walaupun apa bangsa dan keturunan sekalipun, kesetiaan kepada raja dan negara adalah benteng pegangan teguh rakyat kepada prinsip Rukun Negara, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada raja dan negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan undang-undang serta Kesopanan dan kesusilaan. Setiap rakyat tidak kiralah Melayu, Cina, India dan etnik-etnik lain perlu saling hormat-menghormati di antara satu sama lain. Ibarat pepatah, lautan mana tidak bergelora, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Malaysia ibarat sebuah lukisan dan rakyat itu seniman yang melukiskannya. Sayangilah negara kita.

GAGASAN PERPADUAN NASIONAL

Ditinjau dari segi sejarah, bangsa Malaysia adalah satu konsep baharu bagi rakyat berbilang bangsa di negara ini. Apabila Malaya diisytiharkan merdeka pada 31 Ogos 1957, yang dilahirkan ialah sebuah negara Malaysia, bukan bangsa. Begitu juga, apabila Malaysia terbentuk pada 1963, yang dimiliki hanyalah negara sedangkan bangsa yang utuh dan bersatu padu masih jauh daripada terwujud.

Kejayaan Malaysia dibina atas usaha bersama dan dibangunkan secara bersama dalam semangat yang tidak membenarkan berlakunya tafsiran sempit dari segi identiti warga, tidak membenarkan berlakunya amalan ekstremisme agama, tidak mengizinkan berlaku ketidakadilan dalam kalangan warga dan tidak mengizinkan tercetusnya sebarang kebimbangan terhadap jaminan masa hadapan mana-mana warga.

PEMBENTUKAN BINA BANGSA

Pembentukan bangsa atau nation building perlu diterapkan. Ia melibatkan proses yang lama dan tidak boleh dicapai dalam jangka waktu 20 atau 30 tahun sahaja.
Perpaduan masyarakat berbilang bangsa yang wujud sekarang perlu dipertingkatkan ke tahap yang lebih mantap dan kukuh supaya mampu menghadapi pelbagai tekanan dan cabaran tanpa mudah tergugat dengan agenda memecah-belahkan kaum.

Oleh itu, pendidikan Malaysia perlu ditekankan dan adalah asas pembinaan bangsa melalui proses-proses membentuk kesinambungan, perpaduan, negara bangsa, mengorak perubahan sosial, ekonomi bangsa dan negara serta sumber inspirasi. Proses kesinambungan ini dapat diperoleh melalui sejarah serta membolehkan pembinaan negara bangsa dicapai hasil penelitian terhadap kewujudan atau pembentukan masyarakat.

Pendidikan sejarah berperanan sebagai alat penting bagi memupuk perpaduan pelbagai kaum dan membina masyarakat merdeka yang bersatu padu. Negara bangsa Malaysia merupakan usaha menjadikan diri sebagai rakyat yang berkongsi negara dan impian yang sama dalam mendukung agenda perpaduan dan membolehkan masyarakat berbilang bangsa dan agama hidup bersama-sama dalam suasana harmoni di samping mengekalkan identiti dan ciri bangsa masing-masing.

Usaha ini bagi merealisasikan hasrat rakyat yang komited memahami falsafah kesederhanaan dan penerimaan dalam masyarakat berbilang bangsa. Rakyat perlu menghormati perbezaan kepelbagaian agama. Sikap perkauman dan ketaksuban agama, sama sekali tidak boleh diterima dalam negara berbilang bangsa. Kerajaan perlu melakukan lebih banyak usaha untuk membendung isu perkauman daripada tidak dapat dikawal pada masa depan dengan memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional atau Akta Perhubungan Kaum.

ANAK MERDEKA

Sebagai anak merdeka, saya telah melakar kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Itu tandanya kasih sayang saya kepada Malaysia. Nama Malaysia begitu sinonim di seluruh dunia termasuk di Afrika atas kejayaan dan peranan Universiti Limkokwing.
Universiti Limkokwing ialah lambang negara dan Malaysia pula adalah Limkokwing. Pelbagai anugerah telah diterima oleh Universiti Limkokwing baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Selamat menyambut Hari Kebangsaan.

TAN Sri Profesor Emeritus Dr. Lim Kok Wing ialah Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya