Memperjuang projek rumah rakyat - Utusan Malaysia

Memperjuang projek rumah rakyat

Annuar Musa ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, Maisarah Sheikh Rahim di Parlimen, Kuala Lumpur, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa seolah-olah tidak boleh duduk diam demi mencari penyelesaian warga kota terutama dalam isu perumahan. Lebih-lebih lagi melihat semakin ramai golongan miskin tegar bandar yang sedang mencari kehidupan berkualiti. Begitu juga sikap peka beliau menjadi perbualan ramai dalam membantu golongan peniaga dan penjaja kecil-kecilan yang mencari sesuap nasi di ibu kota.

“Saya baru balik membuat tinjauan di Desa Pandan kerana ada kebakaran melibatkan 11 tapak gerai penjaja. Kami cuba bantu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan adakan tapak sementara berhampiran supaya pendapatan mereka tidak terjejas begitu lama,” katanya sejurus wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM bersama jurugambar, Fauzi Baharuddin memasuki bilik Ahli Parlimen Ketereh itu di Parlimen, Kuala Lumpur, kelmarin.

Sesi temu bual itu hanya berlangsung sekitar 30 minit kerana Annuar perlu memenuhi jadualnya yang padat. Namun komitmen beliau sangat jelas untuk membantu lebih ramai rakyat berpendapatan rendah dan golongan muda memiliki kediaman sendiri.

 

PERGIAT BINA RUMAH MURAH

MASALAH perumahan menjadi masalah utama bagi semua bandar di dunia. Jadi dalam konteks ini, soal perumahan tidak boleh dibuat secara adhoc tetapi perlu kepada perancangan dengan dasar-dasar jelas. Namun saya dapati itu tidak wujud secara teratur. Sebab itu saya minta DBKL gubal satu perancangan dan dasar perumahan yang jelas. Buat masa ini, satu masalah besar ialah soal kemampuan rakyat golongan bawah (B40). Keprihatinan kita turut meliputi kumpulan rakyat yang lebih bawah lagi iaitu golongan miskin tegar bandar. Jadi, sekarang kerajaan sudah agak lama tidak membina rumah yang dahulu diistilahkan sebagai rumah murah. Sudah lama tidak ada. Kemudiannya rumah mampu milik pula di satu peringkat kerajaan agak agresif menyasarkan membina 80,000 unit dan ia sebahagian projek 1 Juta Rumah Mampu Milik yang pernah dilancarkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

Tetapi apabila sampai peringkat pelaksanaan, kita ada beberapa masalah iaitu pertama, daripada sasaran 80,000 unit kerajaan hanya berjaya menyiapkan 15,000 sahaja sementara 25,000 lagi masih di peringkat pelaksanaan. Lebih separuh daripada perancangan pula tergendala atas beberapa sebab termasuk projek-projek yang telah dibatalkan oleh kerajaan terdahulu menyebabkan beberapa projek perumahan terencat. Ini menyebabkan berlaku backlog sehingga keperluan makin bertambah.

COUNCIL HOMES

Selain itu, kita menghadapi masalah yang mana walaupun rumah mampu milik berharga RM30,000 ke bawah sudah siap, masih lagi tidak dimampu dimiliki rakyat. Kira-kira separuh daripada pemohon gagal mendapat pinjaman daripada bank kerana jumlah pendapatan tidak mencukupi untuk membeli rumah berkenaan. Kumpulan miskin tegar bandar ini tidak mampu dan rumah murah sudah tidak ada, mereka hanya mampu menyewa. Pada masa ini sudah ada 63,000 unit rumah sewa bandar raya tetapi masih lagi ada lebih 30,000 orang yang menunggu bertahun-tahun nak sewa rumah bandar raya itu sehingga mewujudkan satu lagi backlog yang besar. Ini memerlukan satu penyelesaian.

Oleh itu, kita bercadang mewujudkan Council Homes yang murah untuk disewa sebagai tambahan kepada unit sedia ada. Kadar sewa pula akan ditetapkan pada kadar yang dimampui oleh golongan berpendapatan rendah. Biasanya mereka hanya mampu menyewa tidak lebih RM300 sebulan. Council Homes ini saya rancang dan kenal pasti tapak supaya dapat membina sekitar 20,000 unit. Kita sudah siapkan 1,200 unit. Bagaimanapun, unit-unit yang sudah disiapkan, sewanya agak tinggi sekitar RM800 kerana saiz rumah lebih besar dengan tiga bilik tidur.
Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak rumah sewa yang lebih murah walaupun dari segi saiz tidak besar tetapi kadar sewa boleh ditetapkan sekitar RM300. Ini perkara baharu yang belum ada tapi kita mahu memasukkan dalam dasar perumahan DBKL untuk membina Council Homes mengikut kategori satu bilik, dua bilik atau tiga bilik untuk kumpulan rakyat yang berbeza.
Saya menjangkakan sewa antara RM300 ke RM850 bergantung kepada saiz.

RUMAH PRIHATIN

Kemudian kita hendak menggalakkan pemilikan rumah terutama dalam kalangan golongan muda, sebelum berusia 35 tahun mereka mampu beli rumah pertama di ibu kota. Sasaran harga rumah ini adalah RM200,000 ke bawah. Ini projek dasar baharu kedua iaitu membina Rumah Prihatin untuk pembeli muda. Mungkin saiz rumah tidak besar tetapi mampu dimiliki dengan bayaran ansuran kepada bank tidak lebih RM1,000. Rumah Prihatin ini kita cadang lima tahun pertama nak bina 5,000 unit sekurang-kurangnya. Jika kita dapat bekerjasama dengan pihak swasta, mungkin kita boleh buat lebih lagi selain pembinaan rumah mampu milik kategori RM300,000 yang akan diteruskan.

RUMAH SASAR

Selain itu, kita mahu memberi fokus pemilikan rumah kepada beberapa kelompok sasaran tertentu iaitu anggota keselamatan seperti tentera dan polis. Di Kuala Lumpur, ada 20,000 keluarga tentera, kita nak galakkan anggota tentera supaya tidak tunggu pencen baru nak beli rumah. Kita nak mereka beli rumah seawal yang boleh. Begitu juga dengan anggota polis muda. Kita juga mahu menggalakkan pegawai-pegawai kerajaan membeli rumah pada usia muda. Sebelum ini, kita telah mewujudkan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) tetapi projek ini pun tidak diteruskan kerajaan terdahulu. Jadi, kita telah pun mengambil beberapa projek PPA1M yang tergendala untuk diteruskan. Perkara ini kita telah bincang dengan Ketua Setiausaha Negara.

Ini sebahagian yang harus ada dalam dasar perumahan bandar raya. Kena tahu berapa banyak rumah sewa diperlukan, berapa banyak rumah untuk miskin tegar bandar, rumah untuk golongan muda dan B40. Dan ini perlu dipadankan dengan kekosongan tanah untuk dibangunkan. Dulu DBKL menjual tanah, mungkin kali ini DBKL perlu membeli tanah. Jadi, kita nak tengok balik kalau ada tanah-tanah sesuai dengan harga sesuai jika perlu membeli tanah untuk pembinaan rumah ini.

PEMBANGUNAN SEMULA RUMAH DAIF

Rumah kos rendah yang lama dibina sudah uzur dan daif, kita sedang melaksanakan projek urban renewal, iaitu rumah lama berusia lebih 30 tahun dicadangkan untuk dirobohkan dan digantikan dengan program urban renewal. Kita sudah pun kenal pasti kawasan di Sentul dan Cheras. Pemilik-pemilik rumah ini akan digantikan satu unit rumah baharu yang lebih besar. Mereka dijangka berpindah dalam masa dua atau tiga bulan lagi. Projek pertama akan dilancarkan ialah Residensi Razakmas 2, yang mana pemilik rumah akan berpindah ke rumah baharu manakala rumah lama akan dirobohkan untuk pembinaan semula.

RUMAH SETINGGAN

Saya fikir tidak berapa banyak rumah setinggan yang ada. Kalau ada pun, banyak pendatang asing duduk di setinggan ini kerana kita telah banyak menyelesaikan masalah perumahan setinggan seperti projek di Jalan Abdullah Hukum, Lembah Pantai dan Cheras. Kalau kita tengok, penduduk setinggan sekarang mungkin pendatang asing. Jadi, kena buat penguatkuasaan kalau pendatang asing.

TUTUP SEBELAH MATA PENIAGA WARGA ASING?

Perkara ini juga kena ada ketegasan. Ini bukan soal tidak ada perikemanusiaan tetapi undang-undang mesti ditegakkan. Dalam undang-undang, lesen peniaga kecil, penjaja, pasar borong adalah hak warganegara. Kebanyakan bukan warganegara sudah tinggal lebih tempoh yang kemudiannya mula cari makan. Jadi, dia buka kedai atau warung tetapi kita hanya tutup sebelah mata sedangkan itu menyalahi peraturan. Bila berlaku keadaan sebegini, ia mengambil peluang rakyat tempatan. Tidak ada kompromi bagi pendatang asing yang melanggar peraturan terutama mereka yang menjadi peniaga dan penjaja.

Peniaga warga asing bertapak lama di satu-satu tempat disebabkan kita biarkan sahaja, ini semua salah kita. Bila kita biarkan, mereka membiak kerana mereka tahu boleh langgar undang-undang. Undang-undang negara ini longgar. Mereka juga berani panggil saudara-mara datang.

Tengok sahaja di Sabah sekarang, ramai orang asing daripada orang tempatan. Kemudian kita menyatakan kebimbangan soal keselamatan dan jenayah sedangkan yang berlaku salah kita kerana tidak kawal dengan baik di sempadan dan tidak ada penguat­kuasaan undang-undang sehingga orang asing boleh mengatasi undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya