Dari Bukit Melaka ke Bukit St. Paul - Utusan Malaysia

Dari Bukit Melaka ke Bukit St. Paul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERCUTI kat Melaka kalau tak singgah Banda Hilir, umpama makan ikan bakau tanpa nasi lemak. Tak lengkap rasanya walau hanya lalu sekejap di sekitar kawasan bersejarah itu.
Bagi yang masih ada waktu terluang, pasti singgah membeli buah tangan atau yang mahu keluarkan sedikit peluh, memanjat Bukit Melaka iaitu bukit paling tinggi di Banda Hilir.
Bukit Melaka? Di mana pula sedangkan kawasan semula jadi paling tinggi adalah Bukit St. Paul yang menempatkan sebuah patung lelaki tanpa pergelangan tangan kanan dan struktur binaan bangunan lama?

Sebenarnya, di situlah kawasan pentadbiran dan tapak asal Istana Kesultanan Melayu Melaka yang dinamakan Bukit Melaka sebelum era penjajahan bermula dan nama-namanya ikut berubah sejak 1511 apabila ditawan Portugis, Belanda dan British. Mengikut catatan sejarah lama, ketika dijajah Portugis, bukit tersebut dinamakan Bukit Ali Maria atau Monti Ali Maria dan bertukar kepada Bukit St. Paulo atau Boquit St. Paulo pada zaman Belanda bermula 1641.

Semasa British menjajah sejak 1825, mereka gunakan pula nama Bukit Bendera berikutan ada sebatang tiang tinggi yang mengibarkan bendera Union Jack. Namun, nama itu pun tidak bertahan lama dan bertukar menjadi Bukit St. Paul sehingga hari ini. Jika dihitung kali terakhir nama Bukit Melaka terpahat adalah kira-kira 509 tahun lalu, tetapi bagi yang mengetahui sejarahnya, mereka kekal ‘mengiktiraf’ nama asalnya sebagai Bukit Melaka.

Bahkan penerangan bertajuk Bukit St. Paul di situ pun ada menyebut bukit yang sederhana tinggi itu merupakan Bukit Melaka yang dinamakan ketika Sultan Iskandar Shah (Parameswara) menjadikannya sebagai kawasan pemerintahan Melaka.  Kalau hendak tengok pemandangan bandar Melaka dari tempat lebih tinggi, bukit inilah lokasinya, walaupun ada lagi bangunan-bangunan tinggi lain di sekitarnya. Tetapi yang menariknya, di situ redup dan angin sepoi-sepoi bahasa sentiasa menyapa pipi. Apatah lagi kalau mahu bergambar berlatar belakangkan Selat Melaka yang terbentang luas. Pemandangan semula jadi di situ memang menenangkan sambil sekali sekala melihat hasil lukisan yang dijual di puncak bukit itu.
Kebelakangan ini, nama bukit tersebut kembali menjadi sebutan apabila terdapat cadangan daripada Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) supaya nama sekarang dikembalikan kepada Bukit Melaka.

Hujahnya kerana mahu mengembalikan nilai sejarah bukit berkenaan yang menjadi milik kerajaan Kesultanan Melayu Melaka selain tidak perlu lagi mempromosi nama gereja yang dibina penjajah. Sudah lumrah, setiap cadangan pasti ada yang kurang bersetuju kerana bagi mereka, mengapa perlu ditukar nama Bukit St. Paul yang telah digunakan sejak dahulu lagi dan cukup terkenal dalam kalangan pelancong asing? Maka sudah tentu dalam hal begini, keputusan yang tepat perlu dibuat oleh pihak bertanggungjawab sebelum sebarang jawapan dikemukakan. Berfikirlah sebaik-baiknya tanpa meminggirkan pendapat semua pihak.

Ambuat tu? Jom ler panjat Bukit Melaka, eh Bukit St. Paul!

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Melaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya