Ajar anak hargai 10 sen - Utusan Malaysia

Ajar anak hargai 10 sen

PASTIKAN anak-anak menghargai nilai wang walaupun 10 sen. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Banyak rakyat Malaysia hilang sumber pendapatan ekoran pandemik Covid-19. Justeru, simpanan atau pelaburan sedia ada mampu mengatasi masalah pada waktu kecemasan sebegini.
Perancangan kewangan merupakan satu pelan atau tindakan dalam menguruskan sumber pendapatan dan perbelanjaan. Jika diuruskan dengan baik, ia boleh menjamin pendapatan jangka masa panjang melalui pulangan daripada simpanan mahupun pelaburan. Kaedah ini selalu dipratikkan dalam kalangan orang dewasa yang sudah bekerja dan mempunyai pendapatan tetap. Sebenarnya anak-anak pun boleh dididik dengan ilmu perancangan kewangan seawal usia yang mungkin bergantung kepada kefahaman mereka tentang nilai duit.
Apabila anak-anak sudah faham makna duit dan kegunaannya selain sudah mula rasa seronok apabila mendapat duit, maka pada waktu ini mereka boleh dididik dengan ilmu pengurusan kewangan. Pada umur anak tujuh tahun dan sudah mula bersekolah adalah waktu yang agak sesuai.

Antara langkah-langkah awal yang boleh diajar kepada anak-anak ialah memulakan tabiat menabung meskipun jumlahnya kecil.

Pertama, ibu bapa boleh meminta anak-anak menabung duit lebihan belanja sekolah walaupun syiling sahaja. Anak-anak boleh diajar dengan nilai 10 sen mampu menukar 90 sen menjadi RM1. Apabila cukup nilai syiling menjadi RM1, ibu bapa boleh tukarkan nilai syiling kepada wang kertas. Pasti anak-anak teruja yang mana syiling juga boleh ditukar menjadi wang kertas. Pastikan anak-anak menghargai nilai wang walaupun 10 sen.

Kedua, didik anak-anak berbelanja menggunakan duit simpanan (duit tabung mereka). Jika anak-anak hendak membeli barang-barang yang mereka suka, tentukan perbelanjaan maksimum yang boleh mereka berbelanja. Sebagai contoh, mereka boleh guna RM10 untuk membeli barang yang mereka suka. Dari situ kita akan lihat anak-anak akan membanding harga barang-barang yang mereka hendak beli. Naluri anak-anak, kalau boleh nak beli semua yang mereka suka. Dari sini mereka belajar, beli ikut kemampuan dan jika nak beli yang lebih mahal, mereka kena menyimpan lagi. Budaya ini akan menyebabkan anak-anak bermotivasi untuk menabung bagi membeli barang keinginan mereka.

Kedua-dua langkah awal ini boleh dilaksanakan ibu bapa dalam mendidik anak-anak dengan ilmu pengurusan kewangan. Semakin mereka besar, ibu bapa boleh menerangkan dengan lebih banyak ilmu pengurusan kewangan kepada anak-anak agar mereka faham dan lebih bersedia untuk menguruskan kewangan pada usia muda.

SYAMSYUL SAMSUDIN
Pensyarah Kanan
Universiti Teknologi Mara, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya