‘Jawi khazanah kebangsaan’ - Utusan Malaysia

‘Jawi khazanah kebangsaan’

LAU Weng San (tiga dari kanan) melihat demonstrasi tulisan khat Jawi semasa Pertandingan Seni Khat Jawi dan Kaligrafi Cina pada 1 Disember 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik tentangan segelintir pihak tertentu yang tidak senang dengan pemartabatan tulisan Jawi, beberapa wakil rakyat DAP menyokong usaha itu melalui pertandingan seni kaligrafi Jawi yang dianjurkan di Kuala Kubu Bharu, Selangor tahun lalu. Pertandingan Seni Khat Jawi dan Kaligrafi Cina Terbuka 2019 bertemakan Bersatu Dalam Kepelbagaian itu berjaya menarik penyertaan kira-kira 100 orang termasuk dari Johor, Melaka, Kelantan dan Perak. Program yang turut mempertandingkan seni kaligrafi tulisan Cina hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong tersebut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Mengulas usaha tersebut, Kee Hiong yakin banyak pihak menghargai budaya kepelbagaian kaum di negara ini. Masyarakat, kata beliau tidak seharusnya bersengketa hanya kerana perbezaan tulisan iaitu orang Melayu hanya buat seni kemelayuan, Cina dengan tulisan Cina manakala India dengan tulisan Tamil sahaja.

“Saya rasa ramai rakyat Malaysia menghargai budaya yang ada dalam pelbagai kaum. Kita tidak boleh berpecah-belah. Tidak ada penyatuan. Jadi pertandingan ini saya integrasikan sebagai satu langkah permulaan untuk rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia, kelmarin.

Beliau yang bercadang menganjurkan lagi pertandingan seumpama itu pada masa hadapan percaya tulisan Jawi adalah bahasa Melayu lama yang merupakan khazanah kebangsaan.

Menurutnya, ia tiada kaitan dengan agama Islam. Al-Quran yang menggunakan bahasa Arab sekali pun telah diterjemahkan dalam banyak bahasa termasuk bahasa Cina.

“Maka saya tidak melihat belajar tulisan (Jawi) ada kaitan dengan agama Islam.

“Kaligrafi Cina pula adalah seni yang paling tinggi diberi penghormatan dalam tamadun Cina. Umat Islam di China yang berkali ganda daripada penduduk Malaysia juga tahu kaligrafi Cina, tetapi mereka tetap umat Islam. Maka kaligrafi Cina juga tidak ada kaitan dengan agama,” katanya.

 

MENDAPAT SOKONGAN

Pertandingan tersebut turut mendapat sokongan ADUN Banting, Lau Weng San. Beliau hadir dan berucap dalam majlis penutup menggantikan Kee Hiong yang kurang sihat.
Weng San turut melahirkan hasrat untuk memperkenalkan Kuala Kubu Bharu sebagai Pekan Seni iaitu tempat tarikan pelancongan dengan mengetengahkan kepelbagaian tulisan kaum masing-masing.

Sementara itu, jurucakap DBP yang dipertanggungjawabkan sebagai hakim dalam pertandingan tersebut berkata, majlis seumpama itu membuktikan semua rakyat tanpa mengira kaum boleh disatukan melalui seni tulisan. Jurucakap DBP itu menambah, pertandingan tersebut merupakan inisiatif Kee Hiong yang kebetulan datang melawat DBP. Pada masa itu, beliau mahu mengadakan pertandingan kaligrafi Cina sahaja sebab senang untuk diuruskan namun mendapat idea untuk membuat tulisan Jawi juga.

Bagaimanapun, pertandingan kaligrafi Tamil pada masa itu tidak dapat diadakan bersama memandangkan pihak penganjur tidak bertemu ramai pakar dalam seni tulisan berkenaan. Namun dalam acara berkenaan, demonstrasi seni tulisan Tamil dipertontonkan oleh pakar kaligrafi Tamil, Dr. Velu Perumal yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sememangnya usaha yang ditunjukkan oleh dua wakil rakyat DAP itu harus dipuji kerana menghargai seni tulisan tradisi tanpa dikaitkan dengan amalan mana-mana anutan agama. Ia sekali gus merupakan satu usaha mengekal serta memperkasakan sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya