Jangan cari salah ibu bapa, guru tapi baiki sistem keselamatan sekolah

Jangan cari salah ibu bapa, guru tapi baiki sistem keselamatan sekolah

KESELAMATAN murid ialah tanggungjawab bersama, namun, kelemahan sistem perlu diperbaiki sebelum tragedi berlaku, bukan selepas kehilangan nyawa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELMARIN, Perdana Menteri, ketika sesi di Dewan Rakyat menyebut tanggungjawab menangani kes buli tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu guru dan pihak sekolah, sebaliknya memerlukan penglibatan lebih aktif semua pihak termasuk ibu bapa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu penting kerana sebahagian besar kehidupan pelajar dihabiskan di rumah, sekali gus menjadikan ibu bapa turut memainkan peranan dalam membentuk akhlak, adab dan tingkah laku anak-anak.

Tidak dinafikan, pendidikan di rumah penting dalam membentuk sahsiah. Anak perlu diajar menghormati orang lain, menjauhi keganasan, tidak membuli dan berani melaporkan perkara yang salah.

Namun, pada masa sama, kita perlu melihat satu perkara yang lebih asas. Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk murid menimba ilmu, membina masa depan dan bergaul dalam persekitaran yang terkawal.

Selepas kematian demi kematian pelajar, sukar untuk kita menganggap persoalan keselamatan sekolah sebagai perkara kecil. Lebih membimbangkan, kejadian seumpama ini bukan berlaku buat kali pertama.

Mengapa insiden serius boleh berulang dalam kawasan sekolah? Sejauh mana sistem persekolahan benar-benar mampu mengenal pasti risiko, mengawal persekitaran dan melindungi murid ketika berada dalam kawasan sekolah?

Mengimbas kembali kes kematian Zara Qairina Mahathir pada Julai 2025, tiada penjelasan diberikan dalam tempoh beberapa minggu selepas kejadian itu.

Susulan kelemahan yang berlaku, perdana menteri mengakui terdapat kelemahan dalam pengurusan awal isu buli dan keselamatan di sekolah. Katanya, walaupun pelbagai langkah dilaksanakan bagi menangani isu berkenaan, namun terdapat perkara yang mungkin tidak dijelaskan dengan baik kepada umum dan kelemahan terbabit perlu diperbaiki.

Sepatutnya kelemahan itu dikenal pasti dan diatasi segera supaya kejadian sama tidak berulang. Malah, beberapa cadangan pernah dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan (KPM), namun tiada respons sehingga berlaku kematian seterusnya di sekolah.

Terbaharu, kes Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, pelajar Tingkatan Empat yang ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, sekali lagi mengundang persoalan besar mengenai tahap keselamatan di institusi pendidikan.

Perlu diingat, anak-anak dihantar ke sekolah oleh keluarga dengan satu kepercayaan paling asas iaitu mereka akan belajar, dijaga dan pulang semula ke rumah.

Apabila seorang anak tidak pulang, persoalan itu tidak boleh hanya ditujukan kepada ibu bapa.

Lebih membimbangkan, isu ini bukan sesuatu yang hanya disedari selepas berlaku kematian.

Baru-baru ini, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim meluahkan kekecewaan di laman Facebooknya apabila beberapa cadangan dan usaha untuk membantu menangani isu buli di sekolah yang pernah dikemukakannya kepada KPM dan menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek tidak mendapat maklum balas.

Ini menunjukkan terdapat pihak yang sudah lama mengambil berat mengenai keadaan di sekolah dan berusaha mencari jalan penyelesaian supaya perkara sama tidak berulang.

JANGAN TUNGGU TRAGEDI

Benar, ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar dalam mendidik anak. Mereka perlu peka terhadap pergaulan anak, mengetahui masalah yang dihadapi, memantau tingkah laku serta memastikan mereka mempunyai sahsiah dan disiplin yang baik.

Namun, wajarkah ibu bapa dipersalahkan apabila berlaku kematian di sekolah? Lebih penting, adakah setiap tragedi dalam kawasan sekolah boleh dijelaskan dengan mengatakan ibu bapa gagal mendidik anak-anak?

Sekolah mempunyai pentadbiran tersendiri yang dikelolakan oleh pengetua atau guru besar, guru penolong kanan, guru, warden serta disokong dengan sistem kawalan keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV).

Sepanjang tempoh persekolahan, murid berada di bawah pengawasan institusi berkenaan. Pihak sekolah juga bertanggungjawab memastikan mereka keluar dari kawasan sekolah dengan selamat sebelum penjagaan itu kembali kepada ibu bapa.

Jadi, ketika anak berada di sekolah, siapakah yang memastikan mereka selamat? Siapa yang memantau kawasan sekolah, mengenal pasti lokasi berisiko dan memastikan aduan pelajar tidak dipandang ringan?

Persoalan itu tidak mungkin dijawab dengan meletakkan tanggungjawab kepada ibu bapa semata-mata.

Jika berlaku kematian, tanggungjawab juga perlu dilihat pada sekolah, guru, warden, pentadbir, pihak berkuasa pendidikan dan kerajaan yang mempunyai amanah memastikan institusi pendidikan benar-benar selamat untuk anak-anak.

Sebab itu kes Zara Qairina menjadi contoh mengapa isu keselamatan sekolah tidak boleh dilihat daripada satu sudut sahaja. Pengakuan perdana menteri mengenai kelemahan awal dalam menangani kes berkenaan menunjukkan masih terdapat kelompongan yang perlu diperbaiki.

Apabila tragedi seterusnya berlaku, tumpuan seharusnya diberikan kepada bagaimana sistem boleh gagal mengesan risiko lebih awal, bukan sekadar mencari kelemahan dalam didikan keluarga.

Keselamatan sekolah bukan hanya berkaitan disiplin murid tetapi berkaitan persoalan sistem, pengawasan dan keupayaan bertindak sebelum sesuatu kejadian berlaku.

Justeru, bagi menambah baik sistem, Anwar berkata antara usaha yang dilaksanakan kini ialah pemasangan CCTV di sekolah dengan peruntukan RM3 juta dan RM5 juta bagi sekolah berasrama penuh, selain tambahan RM15 juta tahun depan untuk pemasangan CCTV di 1,000 sekolah.

Kerajaan turut menambah 107 jawatan guru bimbingan dan kaunseling, melantik 300 pembantu warden asrama menerusi MySTEP serta memberikan latihan kemahiran dan sokongan psikososial kepada 400 warden.

Langkah itu penting tetapi persoalan lebih besar ialah mengapa perkara asas seperti CCTV, kawalan keluar masuk, rondaan, pengawasan warden, guru kaunseling, garis panduan dan prosedur keselamatan kembali disebut setiap kali berlaku tragedi?

Bukankah semua mekanisme itu sepatutnya sudah berjalan sebelum kejadian berlaku?

Di sinilah kerajaan perlu melihat isu berkenaan secara lebih menyeluruh. Penambahan peruntukan dan pengeluaran garis panduan baharu tidak memadai jika pelaksanaannya lemah atau hanya diperkukuh selepas nyawa melayang.

Yang lebih penting ialah memastikan sistem benar-benar berfungsi di lapangan. Aduan perlu diberi perhatian, kawasan berisiko mesti dikenal pasti, pengawasan perlu konsisten dan setiap kelemahan perlu diperbaiki sebelum membuka ruang kepada kejadian lebih buruk.

Ibu bapa tetap mempunyai peranan besar dalam mendidik anak-anak. Namun, pendidikan itu tidak berakhir apabila mereka melangkah keluar dari pintu rumah.

Begitu juga tanggungjawab menjaga keselamatan mereka tidak sepatutnya terhenti apabila mereka masuk melalui pintu pagar sekolah.

Sekolah ialah institusi yang diberi kepercayaan oleh ibu bapa untuk mendidik dan menjaga anak-anak, manakala kerajaan bertanggungjawab memastikan institusi itu mempunyai sistem keselamatan yang benar-benar berfungsi.

Apabila berlaku kematian, jangan hanya mencari salah ibu bapa dan jangan juga sekadar menyalahkan guru. Perkara yang lebih penting ialah mencari di mana sistem gagal dan mengapa kelemahan itu tidak dikesan lebih awal.

Keselamatan murid tidak sepatutnya hanya menjadi perhatian selepas berlaku tragedi. Kelemahan mesti dikenal pasti dan diperbaiki ketika masih ada peluang untuk mencegah kehilangan seterusnya.

Jangan tunggu satu lagi nama menjadi tajuk berita sebelum kita benar-benar bertindak. –UTUSAN

 

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini