Belanjawan 2027 mesti sampai kepada rakyat

Belanjawan 2027 mesti sampai kepada rakyat

BELANJAWAN 2027 perlu memastikan pertumbuhan ekonomi membawa manfaat yang lebih luas kepada rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELANJAWAN merupakan instrumen penting dalam mengurus ekonomi negara kerana mencerminkan keutamaan kerajaan, arah pembangunan dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan di Parlimen menjadi belanjawan kelima di bawah Kerangka Ekonomi Madani dan yang kedua dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Ia hadir dalam suasana ekonomi yang tidak mudah, ketika ketidaktentuan geopolitik, krisis tenaga serta tekanan kos sara hidup terus memberi kesan kepada negara.

Justeru, belanjawan kali ini perlu lebih daripada sekadar menyusun angka dan mesti memperkukuh daya saing negara sambil memastikan hasil pertumbuhan benar-benar sampai kepada rakyat.

Ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan yang baik walaupun berdepan tekanan luar. Pada suku kedua 2026, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 6 peratus, mengatasi jangkaan penganalisis. Prestasi itu disokong permintaan domestik yang kukuh, pelaburan swasta serta perkembangan sektor pelancongan ketika Malaysia menjadi tumpuan melalui Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Namun, angka pertumbuhan yang memberangsangkan tidak seharusnya membuat kita terlalu selesa. Manfaatnya masih belum dirasai secara sama rata.

Sektor berteknologi tinggi seperti elektronik, elektrik dan pusat data berasaskan kecerdasan buatan (AI) berkembang pesat, sedangkan perniagaan runcit serta perkhidmatan harian masih bergelut dengan kos operasi yang tinggi.

Cabaran utama ialah memastikan pertumbuhan tidak hanya tertumpu kepada sektor tertentu tetapi membuka lebih banyak ruang kepada masyarakat untuk menikmati peluang ekonomi yang tercipta.

 

PELABURAN PERLU BAWA NILAI

Malaysia sudah lama dikenali sebagai hab pembuatan dan perdagangan. Langkah seterusnya ialah bergerak lebih jauh, daripada banyak berdagang kepada negara yang turut menghasilkan teknologi dan nilai tambah sendiri.

Sektor semikonduktor, AI, ekonomi digital, farmaseutikal, logistik dan aeroangkasa perlu terus diberi perhatian. Namun, tumpuan tidak seharusnya berhenti pada jumlah pelaburan yang masuk.

Yang lebih penting ialah apa yang ditinggalkan kepada negara. Pelaburan berkualiti sepatutnya membawa pemindahan teknologi, membina rantaian bekalan tempatan dan menyediakan pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat.

Insentif cukai bagi penyelidikan serta pembangunan juga boleh diperkukuh bagi menarik syarikat multinasional membuka pusat reka bentuk dan pembuatan di Malaysia.

Pada masa sama, syarikat tempatan perlu dibantu supaya mampu berkembang ke peringkat serantau dan global. Negara bukan sekadar mahu lebih banyak produk dibuat di sini tetapi mahu melahirkan produk keluaran tempatan yang mempunyai nilai tambah dan daya saing sendiri.

 

TENAGA JADI KEUTAMAAN

Krisis tenaga pada 2026 memberi satu pengajaran besar. Gangguan bekalan bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian, malah boleh mengganggu kegiatan pembuatan dan perdagangan.

Belanjawan 2027 perlu memberi perhatian lebih serius kepada ketahanan tenaga. Pelan Transisi Tenaga Nasional memerlukan pembiayaan yang mencukupi untuk menambah kapasiti tenaga boleh diperbaharui, membangunkan penyimpanan tenaga bateri dan memperkukuh grid nasional.

Kerjasama serta hubungan tenaga dengan negara ASEAN juga perlu diperluas. Dalam masa sama, usaha meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga tidak boleh diketepikan.

Ekonomi hidrogen pula wajar dipercepatkan. Dengan potensi yang ada, Malaysia mempunyai peluang untuk muncul sebagai antara pembekal hidrogen kepada ekonomi Asia Pasifik pada masa depan.

 

MAKANAN JANGAN DIPANDANG RINGAN

Sekuriti makanan sering tenggelam di sebalik agenda ekonomi yang lebih besar, sedangkan ia berkait rapat dengan keselamatan negara.

Kebergantungan tinggi kepada import makanan boleh menjadi masalah apabila konflik geopolitik atau perubahan iklim mengganggu rantaian bekalan dunia.

Belanjawan akan datang perlu menyediakan ruang lebih besar untuk mengaktifkan tanah pertanian yang tidak produktif, memperluas pertanian pintar dan mekanisasi serta memperbaiki rantaian makanan dari ladang hingga ke pasaran.

Subsidi pertanian juga perlu disusun dengan lebih baik supaya dapat menggalakkan pengeluaran, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan pembaziran, bukan sekadar menampung penggunaan.

 

RAKYAT PERLU BERSEDIA

Pertumbuhan ekonomi tidak banyak ertinya jika rakyat tidak mempunyai kemahiran untuk mengisi pekerjaan baharu.

Program peningkatan dan penyesuaian kemahiran perlu diperluas, khususnya dalam AI, analisis data, teknologi semikonduktor dan ekonomi digital.

Hubungan antara institusi pendidikan tinggi (IPT) dengan industri juga perlu diperkukuh. Kurikulum tidak boleh terlalu jauh daripada keperluan sebenar pasaran kerja.

Pada masa sama, kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah perlu dikurangkan secara berperingkat melalui automasi dan perancangan tenaga kerja yang lebih tersusun.

Ini bukan soal menolak pekerja asing tetapi memastikan pekerjaan bernilai tinggi yang lahir daripada pelaburan baharu dapat diisi rakyat tempatan.

 

JANGAN TINGGALKAN M40

Walaupun bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah dipertingkatkan kepada RM15 bilion, namun kumpulan M40 masih berdepan tekanan kewangan.

Mereka mungkin tidak layak menerima bantuan pada tahap tertinggi tetapi dalam masa sama pendapatan yang ada semakin terhakis oleh kos kehidupan.

Belanjawan 2027 perlu memberi perhatian kepada kumpulan ini melalui pelepasan cukai yang lebih bermakna, akses pembiayaan perumahan dan usaha mengawal harga barangan asas.

Perlindungan sosial juga wajar dilihat secara lebih menyeluruh, terutama bagi persaraan. Kehidupan selepas bekerja tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tanpa sokongan perlindungan yang mencukupi.

 

WANG RAKYAT MESTI DIPANTAU

Sebagus mana pun sesuatu belanjawan dirangka, hasil akhirnya tetap bergantung kepada cara pelaksanaan.

Setiap peruntukan perlu mempunyai sasaran yang jelas dan boleh diukur. Prestasi projek juga wajar dipantau secara terbuka supaya rakyat dapat melihat ke mana wang pembayar cukai disalurkan dan apa hasil yang dicapai.

Papan pemuka prestasi awam boleh diperluas untuk tujuan tersebut. Ketelusan bukan sekadar memberi maklumat tetapi membolehkan rakyat menilai sama ada sesuatu peruntukan benar-benar memberi manfaat.

Usaha membanteras rasuah pula perlu diteruskan dengan tindakan penguatkuasaan yang konsisten. Kebocoran wang awam akhirnya mengurangkan ruang kerajaan untuk membiayai perkara yang lebih penting.

 

PEMBANGUNAN MESTI SEIMBANG

Malaysia sukar mencapai potensi sepenuhnya jika jurang antara negeri terus melebar. Sabah dan Sarawak khususnya masih memerlukan perhatian dari segi infrastruktur, akses digital dan peluang ekonomi.

Belanjawan 2027 perlu melihat keperluan kedua-dua wilayah berdasarkan kekuatan masing-masing, termasuk membangunkan kawasan pedalaman dan mewujudkan pekerjaan yang mampu mengekalkan bakat tempatan.

Sarawak mempunyai potensi besar dalam tenaga, manakala Sabah memiliki kelebihan dalam pelancongan, sumber alam dan pertanian. Kekuatan ini boleh dikembangkan menjadi pemacu ekonomi wilayah, bukan sekadar bergantung kepada peruntukan pembangunan.

Akhirnya, Belanjawan 2027 perlu menjawab dua perkara besar. Bagaimana negara mahu terus berkembang dalam ekonomi dunia yang semakin mencabar dan bagaimana pertumbuhan itu dapat dirasai lebih ramai rakyat.

Jawapannya bukan semata-mata pada jumlah peruntukan. Yang lebih penting ialah ke mana wang dibelanjakan, apa hasilnya dan sejauh mana kehidupan rakyat dapat diperbaiki.

Belanjawan yang baik bukan hanya membantu ekonomi bergerak lebih laju tetapi memastikan manfaatnya sampai lebih jauh. –UTUSAN

 

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×