Bersedia menghadapi negara menua

Bersedia menghadapi negara menua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA sedang memasuki fasa baharu apabila semakin ramai rakyat menikmati jangka hayat yang lebih panjang. 

Menjelang 2035, dianggarkan seorang daripada setiap 10 rakyat Malaysia akan berusia 65 tahun dan ke atas. Ini bukan petanda yang membimbangkan. Sebaliknya, membuktikan kejayaan negara dalam meningkatkan taraf kesihatan, pendidikan dan kualiti hidup rakyat.

Namun, apabila rakyat hidup lebih lama, cabaran baharu turut muncul. Semakin ramai warga emas memerlukan rawatan kesihatan, penjagaan jangka panjang dan sokongan kewangan.

Pada masa sama, ramai anak perlu mengimbangi tanggungjawab menjaga ibu bapa yang semakin berusia sambil membesarkan anak-anak dan meneruskan kerjaya.

Menyedari perubahan ini, Kerajaan mengambil langkah awal bagi memastikan Malaysia lebih bersedia menghadapi masyarakat menua. Antara inisiatif utama ialah penyediaan Kertas Putih Penuaan Negara yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada 2027, diikuti dengan Pelan Tindakan Penuaan Negara 2025–2045 sebagai panduan jangka panjang negara dalam menghadapi peningkatan bilangan warga emas.

Pelan ini bukan sekadar memberi tumpuan kepada kebajikan warga emas. Sebaliknya, merangkumi pelbagai aspek penting seperti ekonomi, peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran, perlindungan sosial, penjagaan kesihatan dan sistem penjagaan jangka panjang.

Pendekatan ini menunjukkan persediaan menghadapi negara menua memerlukan tindakan yang menyeluruh dan melibatkan pelbagai sektor.

Kerajaan turut memperluaskan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh negara.

PAWE bukan sekadar tempat warga emas berkumpul, malah menjadi ruang untuk mereka bersenam, mengikuti aktiviti pembelajaran, berkongsi pengalaman dan terus berinteraksi dengan masyarakat. 

Aktiviti seperti ini membantu warga emas kekal aktif, mengurangkan rasa sunyi dan meningkatkan kesejahteraan fizikal serta mental.

Dalam aspek kesihatan, usaha memperkukuh saringan awal, pencegahan penyakit dan pengurusan penyakit kronik juga wajar dipuji. Langkah ini membantu warga emas menikmati kehidupan yang lebih sihat dan berdikari, di samping mengurangkan beban terhadap sistem kesihatan negara pada masa hadapan. 

Selain itu, usaha memperkukuh perlindungan kewangan bagi kos penjagaan kesihatan juga penting agar warga emas tidak terbeban dengan peningkatan kos rawatan.

Cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Penjagaan Ibu Bapa turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan ibu bapa yang telah banyak berjasa tidak dipinggirkan apabila usia mereka meningkat. 

Pada masa sama, sokongan kepada penjaga warga emas dan perkhidmatan penjagaan berasaskan komuniti juga perlu terus diperkasakan bagi membantu keluarga yang memikul tanggungjawab menjaga ibu bapa yang telah lanjut usia.

Semua inisiatif ini menunjukkan kerajaan bukan sahaja memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi, malah turut mengutamakan kesejahteraan rakyat sepanjang kitaran hidup mereka. 

Persediaan menghadapi negara menua memerlukan dasar yang jelas, pelaksanaan yang berterusan dan kerjasama semua pihak.

Walau bagaimanapun, kejayaan menghadapi cabaran ini tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata. Keluarga perlu terus menghargai dan menjaga ibu bapa, masyarakat perlu lebih prihatin terhadap warga emas di sekeliling mereka, manakala sektor swasta boleh memainkan peranan dengan menyediakan lebih banyak kemudahan dan perkhidmatan yang mesra warga emas.

Hakikatnya, setiap daripada kita sedang menuju ke fasa kehidupan yang sama. Persediaan yang dilakukan hari ini bukan sahaja untuk warga emas masa kini tetapi juga untuk diri kita sendiri pada masa hadapan. 

Langkah yang sedang diambil oleh kerajaan menunjukkan kesungguhan untuk membina sebuah negara yang lebih bersedia menghadapi masyarakat menua. 

Dengan sokongan keluarga, komuniti dan seluruh masyarakat, Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang bukan sahaja maju, malah menghargai setiap warga emas sebagai aset yang terus menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara. –UTUSAN

DR. Nazliatul Aniza Abdul Aziz ialah Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

 

PROFESOR Madya Dr. Norhafiza Nordin ialah Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN