PILIHAN Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bukan sekadar perebutan untuk menentukan gabungan yang bakal menerajui kerajaan negeri.
Namun, lebih daripada itu, PRN ini menjadi medan penting untuk mengukur perubahan landskap politik negara selepas beberapa siri penyusunan kuasa, termasuk kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Johor serta perubahan corak kerjasama antara parti Melayu.
Dengan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan dan 19 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan, pertandingan kali ini bakal menguji kekuatan sebenar tiga blok utama iaitu Pakatan Harapan (PH), BN dan Perikatan Nasional (PN).
Di sebalik persaingan tiga penjuru antara gabungan besar itu, muncul satu pemboleh ubah yang mungkin menentukan arah keputusan akhir dengan kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang turut mempertaruhkan 24 calon termasuk dua daripadanya dari Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
Walaupun parti itu tidak dijangka menjadi peneraju kerajaan negeri, namun kehadirannya berpotensi memberi kesan besar terhadap agihan undi.
Dalam sistem pilihan raya majoriti mudah, sebuah parti tidak perlu memenangi banyak kerusi untuk mempengaruhi keputusan keseluruhan. Kadangkala, jumlah undi yang kecil tetapi berada di kawasan kritikal mampu mengubah peta politik sesebuah negeri.
PRN 2023 memberikan gambaran awal mengenai kekuatan setiap gabungan. Ketika itu, PH memenangi 17 kerusi, BN (14 kerusi), manakala PN meraih lima kerusi. Kerjasama PH-BN selepas pilihan raya membolehkan kerajaan negeri dibentuk dengan penguasaan 31 daripada 36 kerusi.
Bagaimanapun, keadaan kini berubah. BN dan PN memilih pendekatan baharu dengan mengelakkan pertandingan sesama sendiri. BN bertanding di 25 kerusi, manakala PN bertanding di 11 kerusi.
Dari sudut matematik politik, strategi ini memberi kelebihan kepada blok yang mahu menentang PH kerana undi Melayu berpotensi disatukan. Namun, politik tidak bergerak semata-mata berdasarkan angka.
Cabaran terbesar ialah memastikan penyatuan sokongan di peringkat kepimpinan dapat diterjemahkan oleh pengundi di akar umbi.
Penyokong tradisi UMNO tidak semestinya mudah menerima calon PN, begitu juga penyokong tegar PN mungkin masih mempunyai pertimbangan tersendiri terhadap calon BN.
Kemenangan besar BN dalam PRN Johor yang menyaksikan parti itu memperoleh majoriti dua pertiga selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN sememangnya memberikan suntikan keyakinan. Namun, Negeri Sembilan mempunyai dinamik berbeza.
Kekuatan PH, khususnya DAP di kawasan bandar dan separa bandar, masih menjadi benteng utama yang sukar ditembusi. Kerusi seperti Lobak, Mambau, Bukit Kepayang, Seremban Jaya, Lukut, Bahau, Rahang, Repah, Nilai, Sri Tanjung dan Chennah mempunyai asas sokongan yang relatif kukuh berdasarkan corak pilihan raya lalu.
Justeru, PH tidak berdepan ancaman untuk hilang semua kekuatan. Gabungan itu masih mempunyai sokongan asas yang boleh menjamin beberapa kerusi. Cabaran sebenar ialah sama ada PH mampu menambah kerusi sehingga mencapai angka 19 bagi membentuk kerajaan sendiri.
Pertembungan sengit dijangka berlaku di kawasan marginal seperti Ampangan, Klawang, Pilah, Sikamat, Linggi, Lenggeng, Kota, Juasseh dan Sungai Lui. Di kawasan seperti ini, perubahan sokongan dalam jumlah kecil boleh menentukan kemenangan.
Linggi misalnya mempunyai nilai simbolik kerana melibatkan kawasan yang mempunyai pengaruh Melayu kuat serta menjadi ujian terhadap penerimaan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri sebelum ini.

BERSATU KALAH KERUSI, MENANG PENGARUH
Namun, faktor paling sukar dijangka ialah kehadiran Bersatu.
Parti itu mungkin berdepan cabaran besar untuk memenangi kerusi tetapi tidak bermakna kewujudannya tidak memberi kesan. Dalam sistem undi pertama melepasi tiang (first-past-the-post), parti yang kalah masih boleh menjadi penentu kemenangan pihak lain.
Bersatu berpotensi menjadi tempat persinggahan undi protes. Sebahagian pengundi yang tidak berpuas hati dengan PH tetapi belum bersedia menyokong BN mungkin memilih parti itu sebagai tanda penolakan terhadap politik arus perdana.
Pada masa sama, terdapat kemungkinan sebahagian pengundi yang tidak lagi bersama BN tetapi enggan menyokong PH menjadikan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pilihan alternatif.
Di sinilah keunikan peranan parti tersebut. Bersatu mungkin tidak memperoleh banyak kerusi tetapi jumlah undinya boleh menentukan siapa yang berjaya.
Dalam pertandingan tiga penjuru, kemenangan tidak semestinya memerlukan sokongan majoriti mutlak. Jika satu parti memperoleh 40 hingga 45 peratus undi, masih boleh menang sekiranya baki sokongan berpecah antara pesaing lain.
Oleh itu, pengaruh Bersatu dalam menentukan keputusan pilihan raya bergantung kepada kelompok pengundi yang berjaya ditariknya. Jika parti itu menarik lebih banyak undi daripada PH, keadaan itu boleh membantu BN-PN.
Namun, jika sebahagian besar undinya datang daripada penyokong PN atau pengundi Melayu yang menolak BN, kehadiran Bersatu boleh melemahkan blok tersebut.
Atas sebab itu, Bersatu boleh dianggap sebagai kuasa penentu tanpa kuasa memerintah.
Parti itu mungkin tidak membentuk kerajaan tetapi peratusan undi yang diperoleh di beberapa kawasan kritikal mampu menentukan siapa yang menguasai Wisma Negeri.
Secara keseluruhan, BN-PN mempunyai sedikit kelebihan berdasarkan strategi mengelakkan pertembungan sesama sendiri serta momentum politik selepas Johor. Namun, PH masih memiliki kekuatan tersendiri melalui sokongan bandar, jaringan akar umbi dan prestasi wakil rakyat tertentu.
PRN Negeri Sembilan tidak akan ditentukan oleh satu gelombang besar, sebaliknya melalui persaingan sengit kerusi demi kerusi.
Akhirnya, perhatian bukan sahaja tertumpu kepada siapa yang menang tetapi juga kepada siapa yang kehilangan undi dan ke mana undi tersebut beralih.
Dalam politik Negeri Sembilan kali ini, parti yang tidak menang mungkin menjadi pihak yang menentukan kemenangan.
Itulah paradoks terbesar PRN kali ini apabila perlu berdepan kuasa sebenar pada undi yang mampu mengubah keputusan dan tidak semestinya bergantung pada jumlah kerusi semata-mata.-UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati politik










