DESAS-DESUS mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) menjadi topik hangat.
Kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang bersetuju dengan pembubaran DUN awal disusuli pertemuan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) di Kediaman Menteri Besar pada 2 Jun, lalu menimbulkan polemik baharu.
Dalam situasi ini, cadangan pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada PRN wajar dinilai semula secara lebih rasional dan teliti.
Satu perkara asas yang amat kritikal tidak boleh dipandang remeh iaitu selesaikan dahulu segala urusan serta isu berkaitan institusi diraja dan adat sebelum mandat dikembalikan kepada rakyat.
Melangkah ke fasa pembubaran tanpa memuktamadkan urusan dengan pihak istana dan institusi adat bukan sahaja menyalahi tertib pentadbiran, malah berisiko mencetuskan kecatatan mandat serta ketidaktentuan perundangan.
Dalam landskap politik hari ini, kematangan memimpin menuntut agar kestabilan negeri diletakkan jauh mengatasi agenda kelompok atau peribadi.
KONSEP PEMERINTAHAN BERSAMA
Negeri Sembilan mempunyai acuan politik dan pentadbiran yang sangat unik. Negeri ini diserikan dengan struktur adat yang meletakkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin pada kedudukan kukuh dan dijamin Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Konsep pemerintahan beraja secara bersama dilihat sebagai kesinambungan adat yang diamalkan sejak beratus tahun dahulu dengan perundangan moden diamalkan masa kini.
Istilah raja di Negeri Sembilan merujuk Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan berkaitan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bersama-sama Pembesar-Pembesar Memerintah yang terdiri daripada Undang Yang Empat iaitu Datuk Klana Sungei Ujong, Datuk Undang Luak Jelebu, Datuk Undang Luak Johol dan Datuk Undang Luak Rembau serta Tunku Besar Tampin.
Selain daripada itu, kedaulatan serta prerogatif termasuk kuasa dan bidang kuasa institusi beraja di Negeri Sembilan tidak dipegang secara monolitik (monarki tunggal) oleh Yang di-Pertuan Besar tetapi dikongsi setaraf bersama Pembesar-Pembesar Memerintah mengikut sempadan luak masing-masing. Ini dijamin menerusi Perkara 71 dan 181 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam menjalankan pemerintahan bersama ini, kuasa-kuasa diraja akan merujuk kepada istilah ‘raja’ yang dijelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri dalam pelbagai aspek tradisi amalan adat dan undang-undang serta pentadbiran moden.
UUTKNS 1959 menerusi Bahagian I dan Bahagian II menggabung jalin secara harmoni tuntutan adat dan undang-undang moden menerusi pembahagian yang jelas dan mengikat antara satu sama lain.
Dalam urusan tradisi adat, terutamanya dalam perkara-perkara berkaitan pewarisan takhta Yang di-Pertuan Besar, agama Islam, adat istiadat Melayu, kewujudan Dewan Keadilan dan Undang, kuasa-kuasa pemerintahan bersama ini diterangkan dengan jelas dalam Bahagian I.
Manakala dalam aspek pentadbiran moden, perkara-perkara berkaitan pelantikan menteri besar, exco kerajaan negeri dan perkara-perkara pentadbiran yang lain termasuk urusan berkaitan pengesahan enakmen undang-undang dan juga perbelanjaan negeri menggunakan istilah ‘raja’ yang merujuk konsep pemerintahan bersama yang menjadi tiang seri kepada institusi beraja di negeri itu.
ADAKAH SIDANG DUN TERBAHARU SAH?
Sidang pembukaan perasmian DUN Negeri Sembilan ke 15 pada 23 April lalu yang ditangguhkan atas arahan Yang Dipertua Dewan rentetan daripada ketidakhadiran Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mencetuskan ketidaktentuan sama ada perjalanan pembukaan Dewan sah atau tidak.
Konflik ini bertambah lagi apabila Undang Yang Empat mengeluarkan proklamasi penurunan Yang di-Pertuan Besar pada 19 April rentetan daripada ketidaktentuan yang berlaku semasa mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April yang mengesahkan pemecatan Mubarak Dohak daripada jawatan Datuk Klana Sungai Ujong.
Konflik ini bertambah rumit menerusi sabda Undang Yang Empat dan dipersetujui oleh Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungai Ujong pada 29 Mei menekankan sekali lagi penurunan kuasa Yang di-Pertuan Besar menerusi Fasal 10 UUTKNS dan mengisytiharkan DKU adalah kuasa ahli-ahli, bukan terletak hak kepada seorang individu sahaja menurut Fasal 17.
Rentetan daripada ini, sehingga ke saat ini, isu raja dan institusi adat masih menemui jalan buntu tanpa penyelesaian yang tuntas.
Kesemua peristiwa ini mencetuskan konflik antara institusi beraja, pihak adat dan kerajaan negeri sehingga menyebabkan sidang DUN terpaksa ditangguhkan.
Berdasarkan Fasal 56(1) UUTKNS 1959, secara jelas dinyatakan raja mempunyai kuasa untuk memanggil DUN bersidang dari semasa ke semasa, menangguhkan dan membubarkan. Peruntukan ini menetapkan jarak antara persidangan terakhir dengan seterusnya tidak boleh melebihi enam bulan.
Oleh itu, sebarang isu yang menyentuh institusi diraja terutamanya membabitkan sidang DUN memerlukan persetujuan bersama antara Yang di-Pertuan Besar dan Undang Yang Empat.
Kegagalan menyelesaikan isu ini hanya akan menambah kerumitan dalam pentadbiran. Tambahan pula dengan status dan kedudukan Yang di-Pertuan Besar yang diturunkan oleh Undang Yang Empat menerusi proklamasi berasaskan Fasal 10 UUTKNS pada 19 April, lalu juga mengheret negeri ke arah isu legitimasi diraja dan konflik adat yang tidak berkesudahan.
Keengganan menteri besar mematuhi proklamasi tersebut menyebabkan ketidaktentuan dalam pentadbiran negeri sehingga hari ini.
Kerajaan Negeri tidak seharusnya mengetepikan peranan institusi Undang Yang Empat dalam pentadbiran negeri memandangkan kedudukan institusi beraja dan adat menjalankan pemerintahan secara bersama yang menjadi tulang belakang kepada amalan diraja selain ia tradisi negeri sejak zaman berzaman.
Oleh sebab itu, penyelesaian secara proaktif, tertib dan tersusun harus diambil agar pentadbiran kerajaan negeri boleh berjalan lancar semula.
Mengheret negeri ke kancah pilihan raya ketika hubungan pentadbiran istana dan adat belum ‘bersih’ daripada kekusutan dilihat sebagai tindakan membelakangkan peranan istana serta institusi adat sebagai pengimbang kuasa.
Kerajaan negeri seharusnya lebih proaktif dalam isu ini kerana pergolakan institusi beraja serta ketidakstabilan kerajaan negeri akan dilihat sebagai sesuatu yang memalukan dan kegagalan bertindak menyelesaikan konflik secara muafakat yang menjadi asas tradisi adat sejak zaman berzaman.
Dalam keadaan tidak menentu dan bercelaru ini, kerajaan negeri dilihat seolah-olah tidak boleh menjalankan fungsi yang teratur di bawah peruntukan undang-undang. Tambahan pula dengan penarikan sokongan UMNO menerusi 14 ADUN menjejaskan kestabilan kerajaan negeri.
Status kerajaan hari ini menjadi kerajaan minoriti lebih mudah dijatuhkan sekiranya undi tidak percaya terhadap menteri besar dibuat apabila Dewan bersidang.
Sebaik sahaja DUN dibubarkan, status kerajaan negeri bertukar serta-merta menjadi ‘kerajaan sementara’. Dalam fasa-fasa ini, kuasa eksekutif sangat terhad. Kerajaan sementara tidak mempunyai mandat sah untuk membuat keputusan dasar yang besar, meluluskan undang-undang, perbelanjaan negeri apatah lagi menyelesaikan rundingan-rundingan kritikal melibatkan institusi diraja dan pemerintahan adat.
Jika ada isu diraja yang dibiarkan tanpa penyelesaian, negeri bakal berhadapan dengan situasi ‘tergantung’. Situasi ini menjejaskan kelancaran pentadbiran serta imej keharmonian struktur adat dan pentadbiran moden yang sekian lama menjadi kebanggaan rakyat Negeri Sembilan.
Pembubaran DUN bukan sekadar prosedur teknikal atau urusan menekan butang pilihan raya semata-mata. Bagi sebuah negeri yang sarat dengan adat serta adab seperti Negeri Sembilan, proses peralihan kuasa mestilah berjalan dalam suasana yang paling tertib selain mendapat restu penuh pihak istana dan institusi adat.
Prinsip muafakat seharusnya dijadikan pedoman dalam penyelesaian konflik agar setiap pihak mendapat manfaat dan konflik dapat diselesaikan dengan lebih tertib.
Pemimpin politik merentas parti perlu berlapang dada dan tidak terburu-buru mengejar pusingan garis masa politik mereka sendiri. Hormatilah institusi beraja, institusi adat, selesaikan apa masalah yang terbuku, dan kemudian masuklah ke gelanggang pilihan raya dengan asas pentadbiran yang bersih dan stabil.
Kesetiaan kepada raja dan negara tidak seharusnya sekadar menjadi slogan retorik tetapi mesti dizahirkan melalui tertibnya tindakan dalam berkerajaan.
IKMAL Hisham Md. Tah ialah Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
MOHD. Khairil Hisham Ashaari ialah Kurator di Galeri Tuanku Jaafar Seremban Negeri Sembilan.










