FORUM Bandar Sedunia Ke-13 (WUF13) anjuran Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) di Baku, Azerbaijan baru-baru ini, membawa mesej penting bahawa pembangunan moden wajib berteraskan kesejahteraan rakyat, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Aspirasi global ini amat relevan ketika Malaysia sedang merangka unjuran strategik bagi pelaksanaan Terminal Ketiga Pelabuhan Pulau Carey di Selangor.
Projek mega ini berpotensi menjadi penanda aras baharu pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar yang seimbang, sekali gus menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tesis utamanya jelas iaitu Pelabuhan Pulau Carey hanya wajar menjadi projek nasional yang berjaya jika kemajuan maritim, perlindungan komuniti, kepastian undang-undang dan kelestarian alam sekitar berjalan secara seimbang.
Untuk itu, perbincangan perlu dilihat melalui lima teras utama iaitu daya saing maritim, keadilan sosial, tadbir urus undang-undang, teknologi pelabuhan pintar dan kelestarian alam sekitar.
Sebagai hab perdagangan masa hadapan, Pelabuhan Pulau Carey direka untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai paksi logistik maritim di Selat Melaka.
Projek ini didorong oleh pertumbuhan pesat Pelabuhan Klang yang kini mengendalikan lebih daripada 15 juta Unit Setara Dua Puluh Kaki (TEU) setahun. Pelabuhan ketiga ini bukan sahaja bakal menyaingi pelabuhan serantau dan menidakkan potensi jambatan darat selatan Thailand, malah bertindak sebagai zon pelonggaran kesesakan yang strategik.
Keperluan penubuhannya dibuktikan secara empirikal melalui data Lembaga Pelabuhan Klang yang merekodkan lonjakan kargo pukal kering sebanyak 6.1 peratus kepada 8.2 juta tan muatan (FWT) serta pertumbuhan kargo am sebanyak 6.9 peratus kepada 4.82 juta FWT.
Namun, cabaran utama negara ialah memastikan limpahan ekonomi projek ini dirasai secara inklusif oleh komuniti setempat, khususnya penduduk Kuala Langat dan masyarakat Orang Asli etnik Mah Meri.
Selaras dengan SDG 8 (Pekerjaan yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi), projek ini memerlukan pelaburan bersasar dalam pendidikan teknikal tinggi dan latihan maritim moden.
Kerjasama erat antara Majlis TVET Negara dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) melalui penubuhan akademil ogistik maritim bersepadu amat kritikal. Langkah proaktif ini membolehkan modal insan muda tempatan mengemudi ekonomi pelabuhan pintar dan mengelakkan mereka daripada hanya sekadar menjadi penonton pembangunan.
Demi memelihara keadilan sosial, Selangor komited untuk menghalang pencerobohan terhadap perkampungan tradisi etnik Mah Meri melalui rundingan yang telus, pampasan adil dan perlindungan warisan.
Komitmen ini dizahirkan menerusi pelan induk yang mengintegrasikan pelabuhan dengan pemeliharaan Tanah Rizab Melayu, ekosistem nelayan, serta kebajikan peniaga di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Sinergi inklusif ini mencontohi amalan terbaik Rotterdam, Singapura dan Shanghai dalam mengimbangi ekonomi, pendigitalan, kelestarian ekologi dan perlindungan komuniti.
Pengalaman global membuktikan pelabuhan abad ke-21 yang berjaya wajib meraih kepercayaan masyarakat setempat di samping memikat pelaburan global. Justeru, Pulau Carey sedia mengadaptasi acuan mampan ini demi kemakmuran domestik yang berpanjangan.
Daripada sudut tadbir urus, pengurusan projek melalui Syarikat Bertujuan Khas (SPV) yang diterajui oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal mempercepat pelaksanaan serta meningkatkan keyakinan pelabur.
Pengoperasian SPV ini berlandaskan prinsip akauntabiliti dan semakan yang berkesan demi menjaga kepentingan awam.
Kedaulatan undang-undang kekal menjadi kompas utama pelaksanaan. Instrumen perundangan seperti Kanun Tanah Negara (semakan 2020) (Akta 828), Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118), serta Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dikuatkuasakan sepenuhnya bagi mengawal selia risiko pembangunan dan melindungi hak semua pihak berkepentingan.
Undang-undang ini tidak wajar dilihat sebagai halangan pembangunan, sebaliknya sebagai instrumen kawalan risiko supaya projek mega tidak menjejaskan hak tanah, alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.
Selaras dengan transformasi digital global, Pelabuhan Pulau Carey akan dibangunkan sebagai pelabuhan pintar berasaskan automasi, kecerdasan buatan (AI), analitik data raya, dan rangkaian 5G.
Mengambil iktibar daripada model pelabuhan automatik di Shanghai, langkah ini mampu memotong kos logistik, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh keselamatan siber rantaian bekalan negara.
Namun, pendigitalan pelabuhan juga membawa risiko baharu seperti serangan siber, kebocoran data logistik dan gangguan rantaian bekalan. Oleh itu, keselamatan siber pelabuhan perlu menjadi komponen wajib dalam reka bentuk projek.
Prinsip SDG 13 (Tindakan Iklim) diterapkan melalui perlindungan bakau di Pulau Carey sebagai benteng terhadap cuaca ekstrem, manakala tebus guna tanah wajib mematuhi kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).
Selain kecekapan operasi, persaingan maritim global kini berteraskan tadbir urus alam sekitar, sosial, dan korporat (ESG). Reputasi pelabuhan hijau yang telus ini menjadi faktor penentu bagi pelabur antarabangsa.
Melalui penerapan zon pelepasan sifar bersih dan koridor perkapalan hijau, reputasi kelestarian ini akan bertindak sebagai magnet pelaburan langsung asing (FDI) yang mampan.
Transformasi komersial projek ini diperkukuh menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara SD Guthrie Berhad dan MBI Selangor bagi meneroka Zon Ekonomi Khas (SEZ) serta hab industri pintar berskala 2,500 hingga 5,000 ekar.
Pakatan strategik awam-swasta ini bakal menarik pelaburan langsung asing (FDI) bernilai tinggi dalam sektor semikonduktor, automotif dan logistik rantaian sejuk serantau.
Daya saing ini digandakan lagi melalui integrasi intermodal dengan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) sebagai jambatan darat bagi pengangkutan kargo lintas sempadan.
Pertumbuhan industri Pelabuhan Pulau Carey wajib diimbangi dengan rumah mampu milik dan Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) yang patuh terhadap Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta446).
Perancangan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di koridor stesen rel dilaksanakan bagi mengelakkan herotan harga hartanah.
ELAK RISIKO BESAR
Melalui tadbir urus Akaun Pemajuan Perumahan, pelaksanaan konsep Bina Kemudian Jual, dan insurans pemajuan hartanah, risiko projek terbengkalai dapat dielakkan.
Sejajar dengan Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030, Pulau Carey sedia muncul sebagai model metropolis mampan yang membuktikan kemajuan ekonomi boleh berjalan seiring kelestarian alam dan keadilan sosial.
Dalam geopolitik global, Pulau Carey membuktikan pembangunan strategik mampu mengimbangi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar secara serentak. Sejajar dengan DPN 2019-2030, pelabuhan pintar dan hijau ini bertindak sebagai paksi rintisan bagi metropolis yang mampan.
Kejayaan jangka panjang projek ini tidak lagi diukur melalui kapasiti kargo semata-mata, malah dinilai berdasarkan keupayaan menjana pengganda ekonomi makro, memperkasa keadilan sosial serta memelihara khazanah ekologi.
Berteraskan tadbir urus berintegriti tinggi dan model inklusif pasca-WUF13, Pelabuhan Pulau Carey sedia mengukuhkan kedaulatan serta kedudukan Malaysia sebagai hab logistik maritim paling berdaya saing di persada dunia alaf baharu.
Oleh itu, pengurusan risiko yang proaktif terhadap aspek sosial, alam sekitar, dan undang-undang sangat kritikal untuk memelihara kepercayaan rakyat serta memastikan kelangsungan projek.
Justeru, kejayaan sebenar hanya tercapai apabila pelabuhan, komuniti, undang-undang, dan kelestarian dipadukan dengan seimbang. Ini sudah tentu membolehkan projek ini muncul sebagai model pelabuhan lestari yang menjadi rujukan utama di rantau ASEAN dan dunia. –UTUSAN
PROFESOR Dr. Nuarrual Hilal Md. Dahlan ialah pensyarah Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahli Bersekutu (ACIS), Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA) dan Timbalan Presiden, Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).











