DUNIA hari ini sedang melalui perubahan besar. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kebangkitan dunia pelbagai kutub semakin ketara, khususnya melalui kemunculan BRICS+ serta perubahan penting dalam percaturan geopolitik antarabangsa.
Namun, perubahan ini bukan sekadar melibatkan geopolitik. Ia turut mencerminkan kebangkitan kesedaran ketamadunan apabila banyak negara mula mentakrifkan diri sebagai negara-tamadun dan pewaris kepada tradisi ketamadunan masing-masing.
China dan Russia, misalnya, semakin terbuka menampilkan identiti negara-tamadun. Kedua-dua negara mengangkat falsafah serta nilai tradisional tempatan melalui dasar pendidikan, ekonomi dan pentadbiran yang lebih berteraskan warisan mereka sendiri.
Dalam konteks yang berbeza tetapi saling berkait, Turkiye dan Malaysia pula berkongsi akar Tamadun Islam yang telah bertapak selama ratusan tahun di kedua-dua wilayah.
Perkongsian ini dapat dilihat melalui warisan bahasa Islami kedua-dua bangsa, iaitu Turki-Uthmaniah dan jawi, yang menggunakan skrip Arab serta memancarkan peristilahan Arab-Islami yang membantu mengekalkan kesatuan Pandangan Alam Islam.
Perkembangan semasa dalam bidang ilmu dan politik membuka ruang baharu kepada kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan berasaskan pandangan alam, warisan sejarah dan aspirasi masa depan yang dikongsi bersama.
Beberapa perkembangan mutakhir memberikan petanda jelas tentang potensi besar kerjasama tersebut. Antaranya ialah ucaptama Necmettin Bilal Erdogan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 29 April lalu.
Dalam ucapan itu, beliau menekankan kepentingan membentuk insan yang adil dan beradab melalui konsep ta’dib dan adab yang digagaskan oleh Almarhum Profesor Diraja Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
Penegasan tersebut menunjukkan betapa pentingnya gagasan adab yang dikemukakan oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Adab bukan sekadar merujuk kepada sopan santun tetapi meliputi usaha meletakkan sesuatu pada tempat yang sewajarnya, mendisiplinkan akal, jasad dan roh, memperoleh sifat-sifat terpuji serta memahami susunan tertib ciptaan alam semesta.
Melalui pendekatan itu, manusia dapat mengenali kedudukan dirinya dalam rencana kewujudan dan seterusnya mengenal hadirat Tuhan Semesta Alam. Oleh itu, kedua-dua negara wajar memanfaatkan gagasan tersebut secara lebih tersusun dalam dasar pendidikan, pembangunan dan pembentukan kepimpinan.
Malaysia dan Turkiye perlu melihat legasi Syed Muhammad Naquib Al-Attas bukan sekadar sebagai khazanah akademik atau pendidikan tetapi sebagai asas yang dapat memastikan kedua-dua negara terus berakar kepada ketamadunan Islam sambil meraikan kepelbagaian hikmah dan tradisi ketamadunan lain secara bijaksana dan adil.
Perkembangan kedua yang amat signifikan ialah penganjuran Forum Dekolonisasi Dunia pada 11 dan 12 Mei lalu di bawah naungan Dr. Esra Albayrak Erdogan.
Dalam ucapan perasmiannya, Esra Albayrak menegaskan setiap masyarakat dan tamadun memiliki kerangka ilmu serta kefahaman tersendiri. Namun, menurut beliau, faham ilmu Barat yang mendominasi universiti-universiti hari ini sering dipersembahkan sebagai bersifat sejagat, sedangkan hakikatnya cenderung meminggirkan perspektif dan tradisi ilmu daripada tamadun lain.
Sebagai contoh, beliau menyatakan seorang pelajar falsafah boleh menamatkan pengajian selama empat tahun tanpa pernah diperkenalkan kepada seorang pun pemikir Muslim, Afrika, Amerika Latin atau Asia.
Forum yang dianjurkan oleh Institut Sosial Turkiye itu menghimpunkan wakil institusi dari pelbagai benua, tokoh pemikir, ikon kebudayaan dan pemimpin masyarakat antarabangsa untuk membincangkan isu-isu besar global berdasarkan pandangan alam dan perspektif ketamadunan masing-masing.
Dengan memperkukuh dialog rentas tamadun serta mengurangkan kebergantungan kepada kerangka liberal Barat yang semakin dipersoalkan, Malaysia dan Turkiye berpotensi muncul sebagai peneraju penting dalam membentuk tadbir urus global yang lebih adil, seimbang dan selaras dengan fitrah insan.
Bagi mencapai matlamat tersebut, kedua-dua negara perlu memberi tumpuan kepada proses saling belajar antara kelompok intelektual pelbagai generasi serta bakal pemimpin masa hadapan.
Kelompok intelektual Malaysia misalnya perlu mendalami pengalaman lebih 600 tahun Empayar Uthmaniyyah-Turkiye dalam memajukan keadilan, menyempurnakan budaya dan membangunkan tadbir urus yang berwibawa. Mereka juga boleh meneliti visi kepimpinan tokoh seperti Sultan Abdulhamid II yang kesannya masih dapat dilihat melalui Istana Yıldız di Istanbul.
Malaysia wajar menghantar delegasi melalui program lawatan akademik, pertukaran bakat dan kerjasama institusi pemikir serta universiti. Program sedemikian boleh melibatkan intelektual muda, Pegawai Tadbir dan Diplomatik serta pemimpin muda dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Mereka boleh mempelajari secara langsung wawasan Empayar Uthmaniyyah daripada sarjana dan pakar terkemuka di Turkiye, meneliti pengalaman TRT World dalam membina naratif media antarabangsa alternatif, serta memahami peranan Presidensi Warga Turkiye di Luar Negara dan Komuniti Serumpun dalam pelbagai usaha kemanusiaan antarabangsa.
Pada masa sama, delegasi Turkiye juga boleh berkunjung ke Malaysia untuk mendalami pemikiran Syed Muhammad Naquib Al-Attas melalui karya-karya beliau, termasuk Islam and Secularism yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Turki.
Antara aspek pemikiran beliau yang boleh dimanfaatkan ialah perbahasan mengenai hakikat bahasa-bahasa Islami dan hubungannya dengan Pandangan Alam Islam, persamaan serta perbezaan antara Pandangan Alam Islam dan pandangan alam tamadun lain, serta kaedah terbaik untuk memahami cabaran dan pengaruh kuasa-kuasa sekularisasi.
Selain itu, pengalaman Malaysia dalam membangunkan institusi pemikiran yang mampan seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), serta institusi ekonomi bertaraf antarabangsa seperti Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Khazanah Nasional, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tabung Haji boleh menjadi rujukan penting dalam usaha memperkukuh autonomi intelektual dan ekonomi Turkiye.
Dalam detik perubahan global yang penting ini, para pemimpin politik, pembuat dasar dan kelompok intelektual Malaysia serta Turkiye mesti melangkaui hubungan yang bersifat urus niaga semata-mata. Sebaliknya, mereka perlu membina kerjasama yang berteraskan pengukuhan autonomi intelektual, ekonomi, kebudayaan dan ketamadunan kedua-dua negara.
Jika sinergi ini dapat digembleng secara bersungguh-sungguh dan berterusan, Malaysia dan Turkiye berupaya menawarkan penyelesaian yang unik terhadap pelbagai cabaran ketamadunan abad ke-21 dengan berasaskan khazanah hikmah Peradaban Islam. –UTUSAN
DR. Muhammad Syafiq Borhannuddin ialah Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).











