Kewarganegaraan bukan untuk dijual beli

Kewarganegaraan bukan untuk dijual beli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM kehangatan perang politik menjelang dua Pilihan Raya Negeri (PRN), secara tiba-tiba isu berkaitan sistem kewarganegaraan menjadi antara topik hangat yang mendominasi suapan media sosial.

Pelbagai hujah dilontarkan, tidak kurang juga yang mempersoalkan tentang keperluan sistem ini diguna pakai. Menurut mereka, pada zaman dahulu manusia boleh bergerak bebas ke mana-mana tanpa terikat kepada sistem tersebut.

Mungkin bagi kita jawapannya jelas. Sistem ini diperlukan sebagai langkah untuk menangani pelbagai masalah dan cabaran dunia baharu yang hadir bersama kemajuan teknologi hari ini.

Namun begitu, ada pula yang membahaskannya dari sudut agama atas alasan Islam menekankan kepentingan kesatuan umatnya, tidak kiralah dari kawasan mana jua mereka datang.

Malah, tidak kurang juga yang mendakwa sistem kewarganegaraan ini satu peraturan ciptaan barat yang kononnya dirangka dengan tujuan untuk melencongkan kita daripada landasan pemerintahan Islam yang sebenarnya.

Tidak terhenti di situ sahaja, ada juga yang mendakwa bahawa sistem kewarganegaraan sebagai bidaah kerana tidak pernah diperintahkan oleh Allah dan Rasul. Walhal, mereka lupa ketidakwujudan sesuatu perintah tidak menjadikannya salah.

Walaupun benar sistem moden ini tidak wujud pada zaman dahulu, namun tidak bermakna perkara tersebut secara automatik boleh dilabelkan sebagai bidaah atau haram,asalkan ia menepati maqasid syariah dan tidak diharamkan fatwa dan syarak.

Hal ini menjadi lebih panas apabila ia dikaitkan dengan krisis pelarian yang sedang meledak di banyak tempat di seluruh dunia. Mereka lantas menyoal, “bukankah masalah pelarian takkan timbul jika kita tidak terikat dengan sistem kewarganegaraan?”

Hal ini bukan semudah itu untuk diselesaikan. Untuk memahami lebih lanjut tentang kepentingan kewarganegaraan ini, kita perlu melihat juga kepada struktur hubungan rakyat dan pemimpin dalam sesebuah sistem pemerintahan.

Dalam fahaman barat, umumnya mereka menekankan pemimpin mesti menurut segala kehendak rakyat. Maka, rakyat mempunyai segala hak untuk diberi khidmat oleh pemimpin, dan perkhidmatan tersebut ialah tanggungjawab pemimpin semata-mata.

Namun begitu, Islam menekankan kepentingan dua perkara berkait iaitu hak dan tanggungjawab. Kedua-dua perkara ini terpakai baik kepada pemimpin mahupun rakyat.

Ini bermakna, bersama-sama hak rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan yang baik daripada pemimpin, datang juga tanggungjawab rakyat untuk mentaati pemimpin mereka. Begitu juga bagi pemimpin, berkhidmat kepada rakyat ialah tanggungjawab mereka tetapi mereka juga mempunyai hak untuk ditaati rakyat.

Islam juga bukan hanya menekankan konsep kepimpinan tetapi turut mementingkan konsep kepengikutan. Hal ini penting kerana jika seseorang pemimpin tidak mempunyai rakyat yang taat, maka asas kepimpinan itu tersendiri runtuh kerana apakah seorang pemimpin jika tanpa pengikutnya?

Oleh itu, setiap rakyat bukan sekadar perlu patuh dan menghormati tetapi mesti taat dan setia kepada institusi dan undang-undang tempatan serta tidak boleh semata-mata bertindak sesuka hati mengikut cara mereka sendiri.

Berbalik kepada isu kewarganegaraan, pada zaman sebelum sistem itu wujud, sesiapa yang berpijak di sesebuah tanah dan bernaung di bawah sesebuah payung hendaklah menggalas tanggungjawab seolah-olah sebagai seorang rakyat.

Maka, sebagai contoh, semasa zaman pemerintahan kesultanan-kesultanan Melayu dahulu, meskipun tiada sistem kewarganegaraan tetapi setiap yang berpijak di bumi ini secara semerta tertakluk kepada cara hidup dan undang-undang tempatan tanpa sebarang pengecualian, tidak kiralah dari mana mereka datang.

Dalam sistem hari ini, warga asing tidak tertakluk kepada segala-gala tanggungjawab yang dipikul warganegara. Ini bermakna jika ada pelancong yang datang ke Malaysia, mereka tidak perlu membayar cukai asas di sini kerana sesetengah cukai hanyalah untuk warga tempatan.

Hal ini menjadi lebih rumit apabila melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) seperti pelarian yang memasuki negara secara haram. Oleh kerana mereka tidak memasuki negara melalui saluran yang betul, mereka bukan sahaja tidak dapat status sama dengan warganegara tetapi juga tidak sama dengan warga asing lain.

Dalam dunia moden ini, sistem kewarganegaraan ini sangat penting. Dengan kemudahan manusia untuk bergerak, kita perlukan langkah-langkah bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan.

Pergerakan keluar masuk negara mesti dipantau agar dapat mengelakkan masalah keselamatan terjadi. Kita memantau pintu masuk melalui imigresen, sesuatu yang tidak dilalui PATI.

Kewarganegaraan juga tidak ternilai harganya dan bukannya untuk dijual beli. Dengan kewarganegaraan perlu adanya ketaatan. Bukan semua yang datang ke negara ini terjamin akan taat kepada raja dan negara. Ia datang dengan tanggungjawab yang tinggi dan dibalas semula dengan hak-hak istimewa seorang warganegara.

 

ISU pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu ditangani secara seimbang dengan mengambil kira aspek kemanusiaan dan kepentingan rakyat tempatan.

CARI PENYELESAIAN

Malah, masalah pelarian yang kita hadapi takkan selesai hanya dengan menganugerahkan kewarganegaraan Malaysia kepada semua pelarian yang ada. Ia hanya akan menambahkan lagi masalah kita, termasuk menambah beban yang harus ditanggung kerajaan akibat bertambahnya jumlah rakyat secara mendadak.

Hari ini, kerajaan diserang oleh kedua-dua pihak baik kiri mahupun kanan, kerana tidak memenuhi desakan mereka mengenai pelarian. Ada yang bersikap keras mendesak kerajaan halau semua pelarian, namun ada yang bersikap terlalu terbuka hingga memaksa kerajaan memberi layanan teristimewa kepada pelarian.

Dalam isu ini, kerajaan bertanggungjawab memastikan dua perkara terpelihara, iaitu kemanusiaan dan keselamatan. Benar, kita tidak boleh biarkan sahaja pelarian yang mendarat tanpa diurus. Namun pihak berkuasa perlu memastikan keselamatan negara agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

Kerajaan tidak boleh memberi kelonggaran atas faktor keselamatan juga. Kita tidak boleh menggadaikan keselamatan satu negara semata-mata atas nama kemanusiaan sahaja.

Kerajaan juga tidak dapat memberi layanan istimewa seperti perumahan dan makanan percuma setiap hari, sedangkan rakyat sendiri memerlukan bantuan. Jangan sampai kerana anak orang disusukan, anak sendiri mati kelaparan.

Pada masa sama, rakyat juga harus memainkan peranan mereka dengan tidak menangguk di air yang keruh dan menambah garam pada luka keadaan. –UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×