Institusi pendidikan tinggi (IPT) memainkan peranan penting dalam melahirkan bakat strategik bagi menghadapi cabaran keselamatan dan pembangunan negara.
Dunia kini berubah pantas dan semakin kompleks, dengan persaingan teknologi, ancaman siber, ketegangan geopolitik serta ketidaktentuan ekonomi global yang mencabar landskap keselamatan. Kekuatan negara tidak lagi bergantung semata-mata pada aset ketenteraan tetapi juga kepada keupayaan membina modal insan berfikiran strategik, berkemahiran teknologi dan berintegriti.
Dalam konteks ini, universiti bukan sekadar tempat memperoleh ijazah tetapi pusat pembentukan idea, inovasi dan kepimpinan masa hadapan.
Peranan ini signifikan bagi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebagai satu-satunya universiti pertahanan negara. UPNM bukan sahaja menawarkan pendidikan akademik, malah menekankan kepimpinan, disiplin dan semangat patriotisme.
Seiring perubahan global, UPNM mengorak langkah melalui pelan strategik UPNM30 sebagai hala tuju hingga 2030, bagi memperkukuh peranannya dalam bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan, serta menuju status universiti pertahanan premier.
Pelan strategik UPNM30 dicetuskan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dalam perutusan ulung beliau pada 16 Mei 2025.
Pada abad ke-21, universiti memainkan peranan jauh lebih luas daripada sekadar menyediakan pendidikan formal. Ia merupakan institusi yang menjadi pemangkin kepada pembangunan ilmu, teknologi dan kepimpinan strategik.
Banyak negara maju memberi penekanan besar kepada pembangunan universiti sebagai pemacu kemajuan negara.
IPT menjadi tempat lahirnya penyelidikan berimpak tinggi, inovasi teknologi serta kepakaran strategik yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
Malaysia juga tidak terkecuali daripada realiti ini. Dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks, negara memerlukan lebih ramai pakar dalam bidang strategik seperti teknologi pertahanan, keselamatan siber, kejuruteraan sistem, pengurusan krisis serta kepimpinan strategik.
Dalam hal ini, UPNM mempunyai pendekatan pendidikan yang unik kerana menggabungkan kecemerlangan akademik dengan pembangunan kepimpinan serta pembinaan jati diri.
Gabungan ini penting kerana masa hadapan keselamatan negara memerlukan individu yang bukan sahaja mempunyai kepakaran teknikal tetapi juga mempunyai daya kepimpinan, disiplin serta semangat patriotisme yang tinggi.
Dalam usaha menperkasa kepimpinan strategik negara, UPNM bukan sahaja menumpukan pembangunan akademik semata-mata, malah turut memperkukuh kerjasama dengan pelbagai institusi strategik di peringkat nasional.
Antaranya, kerjasama dengan Maktab Ketahanan Nasional serta Maktab Turus Angkatan Tentera di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional, Putrajaya dalam menyokong pembangunan kepimpinan strategik dalam kalangan pegawai tentera.
Melalui kerjasama ini, UPNM menyumbang pengukuhan ilmu, pemikiran strategik serta keupayaan kepimpinan pegawai-pegawai tentera, khususnya dalam menghadapi cabaran keselamatan dan pertahanan negara yang semakin kompleks.
UPNM turut melaksanakan pendekatan Pembelajaran Berasaskan Kerja bagi Anggota Lain-Lain Pangkat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui kaedah penilaian berasaskan pengalaman kerja.
Pendekatan ini membolehkan anggota memperoleh kelayakan diploma berdasarkan portfolio serta sijil latihan dan kursus yang diikuti sepanjang tempoh perkhidmatan.
Inisiatif ini memberikan pengiktirafan kepada pengalaman dan kompetensi sedia ada anggota, sekali gus menyokong pembangunan modal insan serta memperkukuh keupayaan kepimpinan dan profesionalisme mereka untuk terus menyumbang secara berkesan dalam mana-mana organisasi selepas persaraan.
Kerjasama ini mencerminkan peranan UPNM sebagai rakan strategik dalam memperkukuh ekosistem pembangunan kepimpinan nasional, termasuk dalam melahirkan pegawai yang berupaya berfikir secara menyeluruh dan membuat keputusan secara strategik.
UPNM turut menjalin kerjasama dengan Akademi Latihan Aero Antarabangsa (IATAC) dalam pembangunan program Sarjana Muda Penerbangan.
Melalui konsep 2u1i, pelajar berpeluang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Penerbangan serta Lesen Juruterbang Profesional (CPL) secara serentak dalam tempoh tiga tahun, merangkumi dua tahun pembelajaran akademik diikuti satu tahun latihan industri.
Program ini merupakan inisiatif penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik tetapi juga kemahiran profesional yang memenuhi keperluan industri dan sektor strategik negara.
Pelan Strategik UPNM30 dirangka untuk memastikan UPNM kekal relevan dalam mendepani perubahan dunia yang pesat. Pelan ini berasaskan empat teras utama iaitu kesarjanaan, pusat kecemerlangan, penjanaan dan tadbir urus yang saling melengkapi dalam memperkukuh peranan universiti sebagai institusi strategik negara.
Teras kesarjanaan memberi tumpuan kepada pengukuhan ekosistem akademik secara menyeluruh merangkumi pembangunan mahasiswa holistik, peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran, serta penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi.
Berdasarkan data SCOPUS, UPNM turut mencatat prestasi cemerlang dalam penerbitan bidang pertahanan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di peringkat global. Pencapaian ini mencerminkan kekuatan akademik universiti sebagai rujukan ilmu dan kepakaran strategik negara.
Teras pusat kecemerlangan pula menumpukan pembangunan kepakaran dalam bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan melalui penyelidikan, latihan profesional dan teknologi.
Ia turut merangkumi pusat kecemerlangan seperti sukan menembak dan karate yang berperanan sebagai pusat latihan, pembangunan bakat selain rujukan kepakaran kepada agensi berkaitan.
Teras penjanaan memberi fokus kepada kelestarian kewangan melalui kerjasama industri, inovasi dan pembangunan profesional yang memberi nilai tambah kepada universiti serta masyarakat.
Sementara teras tadbir urus menekankan pengurusan yang cekap, telus dan berintegriti bagi memastikan pelaksanaan strategi berjalan berkesan.

MEMBINA MASA HADAPAN NEGARA
Kejayaan sebenar sesebuah universiti terletak pada keupayaannya melahirkan graduan yang berdaya sumbang kepada masyarakat dan negara, serta sarjana pendidik yang kreatif, inovatif serta aktif dalam memperkaya ilmu melalui penyelidikan.
Graduan UPNM bukan sahaja berkhidmat dalam angkatan tentera, malah turut menyumbang dalam sektor strategik seperti perubatan, teknologi, kejuruteraan, keselamatan dan pentadbiran awam.
Kekuatan negara bukan hanya diukur melalui ketenteraan tetapi juga melalui keupayaan institusi pendidikan melahirkan pemimpin masa hadapan.-UTUSAN
PROFESOR Datuk Dr. Norhasni Zainal Abiddin ialah Penolong Naib Canselor Kanan (Pembangunan Strategi), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).











