PETALING JAYA: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar menafikan dakwaan cubaan mempengaruhi keputusan pengadil susulan isu yang dibangkitkan dalam perbincangan meja bulat rakan kongsi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), kelmarin.
Beliau berkata, mesej yang dihantar pada pukul 12.56 pagi pada 23 Februari itu selepas tamat perlawanan Selangor FC dan Kuching City, bertujuan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil pada minit akhir perlawanan yang didakwa tidak melalui semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Beliau menegaskan, mesej berkenaan tidak bertujuan untuk mempengaruhi keputusan pengadil, sebaliknya sekadar reaksi selepas perlawanan berakhir.
“Adakah tindakan tersebut merupakan satu bentuk rasuah (‘corruption’)? Jawapannya tidak. Tiada sebarang tawaran, imbuhan atau unsur yang boleh ditafsirkan sebagai rasuah dalam mesej tersebut.
“Sekiranya itu niat (pengaruhi pegadil) saya, mesej tersebut sudah tentu dihantar sebelum perlawanan berlangsung, bukannya selepas ia berakhir,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai membalas dakwaan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail, termasuk persoalan sama ada tindakan menghantar mesej kepada Ketua Unit Pengadil, Kassim Kadir Bacha boleh dianggap sebagai unsur rasuah.
Bagi memastikan ketelusan, Shahril memaklumkan bahawa tangkap layar mesej tersebut telah dikongsikan kepada umum, malah turut diserahkan kepada Presiden MFL, Abd Ghani Hassan dan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman untuk tujuan siasatan.
Katanya, langkah itu diambil bagi membolehkan siasatan dijalankan sekiranya terdapat sebarang unsur salah laku, termasuk rasuah atau cubaan mempengaruhi keputusan pengadil.
Dalam masa sama, Shahril menegaskan kenyataan tersebut dibuat bagi memperjelaskan keadaan sebenar, selain tidak mahu Selangor FC dan FAS terpalit dengan isu yang melibatkan dirinya secara peribadi sebagai pegawai kelab.
Beliau turut berharap perbincangan meja bulat rakan kongsi MFL itu dapat mencapai objektifnya dan memberi manfaat kepada pembangunan bola sepak negara. – UTUSAN










