RM1.87 juta sehari, bukti sistem imigresen yang tidak lagi efisien?

RM1.87 juta sehari, bukti sistem imigresen yang tidak lagi efisien?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA kini berhadapan realiti yang semakin membimbangkan tetapi jarang dibincangkan secara terbuka dan mendalam iaitu kos pengurusan tahanan warga asing di depot imigresen yang mencecah sekitar RM1.87 juta sehari.

Dengan lebih 20,000 tahanan direkodkan di seluruh negara, ia bukan lagi sekadar isu imigresen semata-mata tetapi menjadi persoalan besar melibatkan tadbir urus negara, penguatkuasaan undang-undang, ketirisan ekonomi dan keadilan kepada rakyat pembayar cukai.

Apa yang lebih menarik ialah apabila masyarakat mula membuka ruang perbahasan secara lebih jujur dan terbuka mengenai isu ini. 

Selama ini, ramai melihat isu pendatang asing tanpa izin (PATI) sekadar masalah operasi pihak imigresen. Namun hakikatnya, di sebalik angka-angka tersebut tersembunyi persoalan yang jauh lebih besar, mengapa masalah ini terus berulang selama puluhan tahun walaupun operasi demi operasi dijalankan?

Persoalan yang dibangkitkan oleh masyarakat sangat relevan, adakah kerajaan benar-benar mengambil serius isu ini atau sekadar dianggap sebagai ‘warisan turun-temurun’ yang tidak pernah diselesaikan secara menyeluruh? Mengapa jumlah tahanan terus meningkat walaupun kos pengurusan semakin membebankan negara? Siapa yang sebenarnya mendapat keuntungan daripada kelemahan sistem ini?

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpandangan  isu PATI tidak boleh dilihat secara sempit sebagai kesalahan individu semata-mata. Kita perlu melihat keseluruhan ekosistem yang membenarkan masalah ini berkembang. 

Hakikatnya, kehadiran PATI dalam jumlah besar tidak akan berlaku tanpa permintaan tenaga kerja murah, penglibatan ejen haram, sindiket dokumen palsu, unsur rasuah, kelemahan pemantauan sempadan dan kemungkinan perlindungan daripada ‘orang dalam’.

Dalam banyak keadaan, PATI hanyalah ‘produk akhir’ kepada kegagalan sistem yang lebih besar.

Rakyat juga berhak bertanya mengapa wang awam yang begitu besar perlu digunakan untuk menanggung kos tahanan yang sebahagian besarnya berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan dan ketidakcekapan sistem pengurusan migrasi negara. 

Hampir RM700 juta setahun adalah satu angka yang amat besar. Dengan jumlah tersebut, berapa banyak sekolah boleh dibaik pulih? Berapa banyak hospital kerajaan boleh dinaik taraf? Berapa ramai mahasiswa miskin boleh dibantu?

Inilah sebabnya isu ini tidak boleh dianggap kecil.

Namun dalam membincangkan soal penguatkuasaan, negara juga perlu berhati-hati agar tidak terjebak dalam pendekatan ekstrem yang bercanggah dengan prinsip kemanusiaan dan hak asasi.

 Ada pihak membandingkan Malaysia dengan negara lain seperti Singapura yang terkenal dengan hukuman keras termasuk sebatan rotan terhadap kesalahan imigresen. Ada juga yang merujuk kepada pendekatan keras negara-negara tertentu yang menggunakan kem tahanan berpengawasan ketat.

Perbandingan ini menunjukkan rasa kecewa rakyat terhadap kelemahan sistem sedia ada. Malaysia mesti mencari jalan penyelesaian yang seimbang. Malaysia perlu tegas terhadap pelanggaran undang-undang tetapi tetap menghormati nilai kemanusiaan dan prinsip keadilan.

Kita tidak boleh membiarkan negara menjadi terlalu longgar sehingga membuka ruang eksploitasi terhadap sistem tetapi kita juga tidak boleh membina dasar berasaskan kebencian terhadap warga asing.

Majoriti daripada mereka datang kerana faktor kemiskinan, konflik hidup dan peluang ekonomi. Yang perlu diperangi ialah sindiket, rasuah dan pihak yang mengambil keuntungan daripada kelemahan sistem.

 

PELAN JANGKA PANJANG

MCW berpandangan sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan reformasi besar-besaran terhadap pengurusan imigrasi negara.

Pendekatan operasi semata-mata tidak lagi mencukupi. Negara memerlukan pelan jangka panjang yang lebih menyeluruh dan berintegriti.

Pertama, proses deportasi perlu dipercepatkan melalui kerjasama lebih agresif dengan kedutaan negara asal. Banyak tahanan tinggal terlalu lama di depot kerana masalah dokumentasi dan birokrasi antarabangsa. Semakin lama tahanan berada di depot, semakin tinggi kos yang perlu ditanggung rakyat.

Kedua, hukuman terhadap majikan yang menggaji PATI perlu benar-benar tegas dan konsisten. Selagi permintaan terhadap pekerja tanpa dokumen terus wujud, masalah ini tidak akan selesai. Tidak adil jika hanya pekerja ditangkap sedangkan pihak yang mengaut keuntungan terlepas begitu sahaja.

Ketiga, kerajaan perlu melaksanakan audit bebas terhadap keseluruhan sistem depot imigresen termasuk kontrak makanan, perubatan, logistik dan penyelenggaraan. Apabila melibatkan perbelanjaan ratusan juta ringgit setahun, ruang ketirisan dan salah guna kuasa sentiasa wujud jika tiada pemantauan menyeluruh.

Keempat, teknologi dan integrasi data antara agensi perlu diperkukuhkan. Banyak isu berkaitan PATI berpunca daripada kelemahan perkongsian maklumat antara imigresen, majikan, agensi penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan.

Kelima, rakyat perlu diberikan akses kepada data yang lebih telus mengenai kos, jumlah tahanan, tempoh tahanan dan kadar deportasi. Ketelusan ialah asas kepada akauntabiliti.

Apa yang membimbangkan ialah apabila isu seperti ini akhirnya menjadi ‘normalisasi kegagalan’. 

Apabila sesuatu masalah berlaku terlalu lama, masyarakat mula menganggap ia perkara biasa dan mustahil untuk diselesaikan. Inilah bahaya terbesar dalam mana-mana sistem pentadbiran. 

Malaysia tidak boleh terus berada dalam kitaran operasi tangkap, tahan, penuh depot, belanja besar, kemudian ulang semula tanpa penyelesaian struktural. Jika itu berlaku, negara sebenarnya sedang mengurus simptom tetapi gagal merawat penyakit sebenar.

MCW percaya rakyat Malaysia tidak menolak penguatkuasaan tegas. Apa yang rakyat mahukan ialah sistem yang adil, cekap, telus dan tidak membebankan wang awam secara berterusan akibat kelemahan yang boleh diperbaiki.

Isu ini bukan soal membenci warga asing atau bersikap terlalu liberal. Ia soal keberanian negara membina sistem migrasi yang berintegriti, berperikemanusiaan dan bebas daripada ketirisan.

Hal ini kerana apabila wang rakyat mula bocor akibat kegagalan sistem yang berulang-ulang, maka isu itu bukan lagi isu imigresen semata-mata,  ia sudah menjadi isu integriti negara. -UTUSAN

 

PENULIS ialah Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN