Rifdean enggan lena dibuai kemenangan

Rifdean enggan lena dibuai kemenangan

Mohd Rifdean Masdor (kiri) menewaskan wakil Laos, Petkiattisak O Sansuk pada aksi ONE Friday Fights 153 di Stadium Lumpinee, Bangkok, kelmarin. - IHSAN ONE CHAMPIONSHIP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petarung muaythai negara, Mohd Rifdean Masdor enggan dibuai dengan kejayaan menewaskan wakil Laos, Petkiattisak O Sansuk pada aksi ONE Friday Fights 153 di Stadium Lumpinee, Bangkok, kelmarin.

Beraksi dalam kategori atomweight, Rifdean mencatat kemenangan keempat berturut-turut apabila meraih kemenangan keputusan sebulat suara ke atas Petkiattisak selepas aksi dominan selama tiga pusingan.

Meskipun beliau memegang rekod enam kemenangan berbalas satu kekalahan, atlet berusia 23 tahun itu mengakui beliau masih belum puas dengan kemenangannya.

“Saya tidak pernah bertarung seperti itu sebelum ini, pertarungan seterusnya saya akan buat lebih baik. Saya puas dengan kemenangan tetapi saya rasa saya kekurangan sesuatu.

“Saya perlu cari tahu kenapa saya jadi begitu. Saya tidak puas hati dengan cara saya bertarung. Saya biasanya bertarung dengan baik dan aktif tetapi kali ini saya lesu,” kata Rifdean.

Petarung kelahiran Perak itu bakal Kembali ke gelanggang pada Julai ini sekali gus mahu meneruskan rentak kemenangan.

“Saya akan buat lebih baik dalam pertarungan seterusnya. Saya harap rakyat Malaysia terus mendoakan saya. Saya akan berlawan lagi pada Julai kerana saya tidak cedera. Saya mahu bertarung awal dan mendapatkan kontrak lebih awal,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi petarung muda negara, Adam Rakib meneruskan prestasi cemerlangnya dengan menewaskan petarung Perancis, Enzo Clarisse melalui keputusan sebulat suara.

Bertanding dalam kategori strawweight, Adam, 18, menampilkan aksi bertenaga sepanjang pertarungan tiga pusingan untuk meraih kemenangan ketiga berturut-turut di pentas ONE Championship. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×