PETALING JAYA: Petarung wanita negara, Jihin Radzuan kembali menemui sentuhannya apabila menewaskan pendatang baharu yang masih belum tewas dari Brazil, Gabriela Fujimoto dalam kejuaraan ONE Championship, semalam.
Dalam pertarungan kategori atom weight wanita itu menyaksikan Jihin yang dikenali Shadow Cat melakar kemenangan bergaya menerusi ‘technical knockout’ (TKO) pada pusingan ketiga.
Atlet tempur berusia 27 tahun itu membawa Fujimoto ke penjuru gelanggang sebelum melancarkan serangan bertubi-tubi menggunakan siku kanannya sehingga memaksa pengadil menghentikan pertarungan.
Jihin mempamerkan aksi bertenaga sejak awal pertarungan apabila melepaskan beberapa beberapa tumbukan tepat serta melancarkan serangan lutut ke arah kepala Fujimoto.
Aksi di pusingan kedua menyaksikan kedua-dua petarung terus berbalas percubaan kuncian dan bergelut untuk mendapatkan posisi terbaik namun tiada penyudah berjaya dihasilkan.
Memasuki pusingan penentuan, Fujimoto tampil lebih agresif dengan melancarkan serangan bertubi-tubi namun Jihin tenang menyerap tekanan dan berjaya menguasai posisi bagi melepaskan tumbukan serta siku tanpa henti terhadap lawannya.
Kemenangan itu menyaksikan Jihin memperbaiki rekod profesionalnya kepada 10-5 sekali gus menamatkan kemarau dua kekalahan berturut-turut, selain menghadiahkan kekalahan pertama buat Fujimoto dalam karier profesionalnya. – UTUSAN










