Bangkok jadi ‘makmal’ baharu Jojo

Bangkok jadi ‘makmal’ baharu Jojo

Muhammad Johan Ghazali Zulfikar akan berlatih di Bangkok sebagai persediaan bertarung dalam kejohanan ONE Championship. - INSTA JOHAN GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan jaguh muaythai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar untuk kembali menjalani latihan di Bangkok disifatkan langkah strategik dalam mempersiapkan diri menghadapi cabaran terbesar dalam kariernya di pentas ONE Championship.

Petarung muda berusia 19 tahun yang mesra disapa Jojo itu bakal ‘berkampung’ di Superbon Training Camp sebuah pusat latihan bertaraf dunia yang terkenal melahirkan atlet elit sukan tempur.

Pendekatan tersebut bukan sekadar meningkatkan tahap kecergasan, malah memberi ruang kepada Jojo memperhalusi aspek teknikal dan taktikal menjelang pertarungan yang disifatkan paling besar setakat ini.

“Saya kini dalam perjalanan ke Bangkok untuk masuk kem latihan dan menandatangani kontrak perlawanan akan datang yang merupakan antara pertarungan terbesar dalam karier saya.

“Saya harap semua dapat mendoakan kejayaan dan keselamatan saya, insya-Allah saya akan buktikan Malaysia mampu bersaing di pentas ini,” kata Jojo.

Pemilihan Bangkok sebagai lokasi latihan juga bukan sesuatu yang asing memandangkan Thailand merupakan pusat utama perkembangan muay thai dunia dengan intensiti latihan yang jauh lebih kompetitif.

Malah, pengalaman berlatih bersama petarung bertaraf antarabangsa dijangka memberi kelebihan buat Jojo dalam menghadapi lawan yang berprofil tinggi.

Sebelum ini, Jojo pernah menyuarakan hasrat untuk berdepan nama besar seperti Denis Puric dan Freddie Haggerty, sekali gus memberi bayangan cabaran yang bakal menantinya.

Untuk rekod, Jojo tampil dengan momentum positif selepas menewaskan Ye Yint Naung dari Myanmar menerusi keputusan sebulat suara di Stadium Lumpinee, Februari lalu.

Dengan rekod lapan kemenangan daripada 11 pertarungan termasuk lima knockout, latihan intensif di Bangkok kini menjadi medan penting untuk membentuk versi terbaik Jojo. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN