Rifdean, Aliff pilih ONE Championship

Rifdean, Aliff pilih ONE Championship

Mohammad Rifdean Masdor memilih untuk bersaing dalam karier profesional ONE Championship.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua jaguh muaythai negara, Mohammad Rifdean Masdor dan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib disahkan tidak akan menyertai Sukan SEA Thailand pada Disember ini kerana menumpukan perhatian kepada kerjaya profesional bersama ONE Championship.

Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kedua-dua atlet tersebut dapat memperkukuh kedudukan mereka dan memburu kontrak jangka panjang di pentas antarabangsa.

Menurut beliau, keputusan tersebut bukan kerana disebabkan tekanan pihak luar, sebaliknya berdasarkan perancangan prestasi atlet dan hala tuju karier masing-masing.

“Tiada sebarang konflik kepentingan. Fokus utama mereka adalah memang di pentas One Championship. Kalau Malaysia jadi tuan rumah terutama Sukan SEA , kita akan minta mereka turun untuk negara, tetapi kali ini bukan.

“Jadi, mereka akan fokus kepada aksi mereka di One Championship. Apapun, saingan di Sukan SEA Thailand bukan mudah dan kita akan memberikan terbaik untuk membawa pulang pingat buat negara,” kata Shahnaz.

Ahmad Nor Iman Aliff Rakib

Shahnaz menjelaskan, Rifdean kini berada dalam fasa penting untuk memburu kontrak dan perlu mempamerkan aksi terbaik di kejohanan profesional yang sedang disertainya.

Beliau turut memaklumkan senarai akhir atlet ke Sukan SEA hanya akan dimuktamadkan pada 30 November ini mengikut tarikh ditetapkan Jawatankuasa Olimpik Thailand, dengan ruang untuk penggantian sekiranya berlaku kecederaan atau perubahan lain.

“Tarikh itu turut merangkumi ruang bagi setiap negara membuat penggantian atlet sekiranya berlaku kecederaan atau perubahan berkaitan lain sebelum delegasi berlepas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN