MUTAKHIR ini, institusi raja-raja Melayu yang menjadi tonggak serampang dua mata penyatuan rakyat dan kestabilan negara kembali menjadi bahan perdebatan terbuka di media sosial dan pentas politik. Ada pihak yang mempersoalkan kedudukan, kuasa serta kemuliaan institusi beraja sepertimana di beberapa buah negeri.
Fenomena ini tidak boleh dipandang ringan kerana menyentuh asas negara bangsa yang terbina atas sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
Lebih membimbangkan apabila institusi raja dijadikan modal politik atau sasaran persepsi sempit sehingga menghakis rasa hormat rakyat terhadap payung negara.
‘Takkan Melayu hilang di dunia’ tetapi jika raja hilang kemuliaan, hilanglah segala. Ancaman nyata apabila hilang maruah raja, hancur sendi negara. Kalau rumah roboh, tiang yang pertama jatuh; kalau negara goyah, raja yang pertama dihina. Raja bukan sekadar simbol tetapi benteng terakhir.
Institusi raja Melayu bukan sekadar adat dan warisan. Ia pelindung agama Islam, penjaga hak istimewa Melayu-bumiputera, hak sah etnik yang pelbagai dan unsur kestabilan ketika krisis politik.
Sejarah membuktikan ketika politik tegang, institusi diraja tampil sebagai penimbang tara.
Imbasan kepada krisis politik 2020 hingga 2022 membuktikan institusi raja berulang kali campur tangan apabila kerajaan dan Perdana Menteri hilang majoriti. Jika tiada raja, siapa selamatkan Malaysia?
Peranan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, membawa suntikan dalam mempertahankan demokrasi dan kebebasan bertanggungjawab.
Di Johor, suara istana menekan perpaduan dan integriti. Di Selangor, menjaga keharmonian agama dalam masyarakat majmuk. Kini isu babi menjadi tumpuan walaupun Sultan Selangor mahu menokhtahkannya.
Perlis dan Negeri Sembilan pula punya tradisi pemerintahan tersendiri. Adat perlu dipelihara dalam kebebasan bertanggungjawab kita.
‘Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’ namun sayang, kini ada yang bukan sekadar tidak menjunjung, malah cuba meruntuhkan langit itu sendiri.
Sedarkah kita bila raja hilang kemuliaan, hancur negara. Ini peringatan keras berdasarkan sejarah dunia dan akal siasat perlembagaan. Apabila institusi raja dihina, apabila hilang kemuliaan yang menjadi rujukan termasuk ketika krisis rakyat dan kerajaan serta Perdana Menteri, kesannya pada seluruh sistem negara.
Bayangkan jika raja tidak lagi dihormati, tiada rujukan ketika krisis dan siapa putuskan apabila Perdana Menteri hilang majoriti (2020, 2021)? Tiada. Negara hanyut seperti Lebanon atau Somalia.
Perlindungan agama dan hak Melayu berteraskan kuasa raja-raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Apabila institusi raja menjadi lemah, kedudukan istimewa Melayu dan keseimbangan masyarakat majmuk lebih mudah dipersoalkan oleh pihak luar.
Selain itu, raja berperanan sebagai simbol perpaduan yang berada di atas politik kepartian. Jika institusi ini tercalar, kekuatan penyatuan nasional turut terjejas, lalu rakyat berisiko berpecah tanpa payung penyatu yang kukuh.
Sekali maruah raja runtuh, tiada siapa yang mampu membinanya semula kerana yang roboh bukan istana tetapi sendi negara. Hilang gagang, tubuh rebah. Hilang raja sebagai rujukan, rebahlah kestabilan.
Generasi muda perlu memahami keunikan sistem Raja Berperlembagaan sebagai identiti negara sejak merdeka. Banyak negara kehilangan institusi tradisi akibat pergolakan politik dan kini berdepan krisis identiti.
Mesir selepas revolusi 1952 bagaimana monarki dihapuskan, negara berdepan pelbagai krisis hingga kini. Libya selepas kejatuhan monarki dan Gaddafi hancur berpecah menjadi puak bersenjata. Afghanistan dengan raja terakhir digulingkan 1973, negara tidak pernah stabil, akhirnya dikuasai Taliban semula.
Malaysia kekal seimbang kerana institusi raja Melayu sebagai perekat. “Jangan menang sorak sebelum pagi, banyak negara sudah menyesal selepas kehilangan raja.”
Malangnya, media sosial menjadikan segala mudah dipolemikkan tanpa disiplin dan adab. Ada pihak mengulas isu raja berdasarkan sentimen politik, emosi atau ideologi. Lebih buruk, cubaan melaga-lagakan institusi diraja antara negeri.
Kebebasan bersuara bukan lesen menghina institusi negara. Kritikan terhadap dasar kerajaan adalah demokrasi tetapi serangan terhadap raja secara melulu membuka ruang ketidakstabilan dan perpecahan.
Ini kerana nila setitik, rosak susu sebelanga, kerana segelintir yang tidak beradab, seluruh negara boleh terjejas. Kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghina, kalau adab hilang, tamadun pun runtuh.
Apa yang diperlukan ialah kematangan semua pihak termasuk ahli politik, pengguna media sosial, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat untuk tidak menjadikan institusi diraja sebagai medan percaturan politik sempit.
Menghormati raja bukan bermaksud menolak demokrasi, sebaliknya memahami kerangka Perlembagaan asas kestabilan negara. Raja adalah penjamin demokrasi, bukan lawan.
- Ahli politik: Hentikan isu raja sebagai modal pilihan raya.
- Pengguna media sosial: Fikir sebelum hantar. Satu hantaran menghina raja boleh menggugat perpaduan.
- Pendidikan: Sejarah dan peranan raja mesti diajar betul di sekolah dan universiti.
- Pihak berkuasa: Jangan biarkan penghinaan berterusan tanpa tindakan, tetapi lakukan secara adil.

PERTAHAN INSTITUSI DIRAJA
Dalam suasana dunia yang berpecah akibat politik kebencian dan perang persepsi, Malaysia perlu mempertahankan institusi simbol penyatuan rakyat. Raja-raja Melayu perlu terus dihormati sebagai payung negara, bukan dipolemikkan demi keuntungan sementara. Raja bukan alat, raja bukan lawan sebaliknya perekat ketika segala retak terjadi.
Maruah raja adalah maruah negara. Sekali ia runtuh, tiada siapa yang mampu membinanya semula. Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang tetapi kalau angin sudah datang, biarlah raja yang menjadi pemegang kemudi, bukannya dihempas hingga roboh.
Selamatkan raja, selamatkan negara. Kerana apabila hilang kemuliaan institusi raja yang menjadi rujukan termasuk ketika krisis rakyat dan kerajaan serta Perdana Menteri; maka hancurlah segala-galanya.
Tamadun bermula dengan adab kepada raja. Tamadun runtuh apabila raja dihina. –UTUSAN
PROFESOR Datuk Dr. Sivamurugan Pandian ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM).










