Belia perlu lawan stigma mereka bukan ‘tin kosong’

Belia perlu lawan stigma mereka bukan ‘tin kosong’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA kritikan utama terhadap kebanyakan gerakan belia ialah mereka lebih banyak menyalak dari membawa perubahan.

Meskipun ramai begitu, namun tidak boleh letakkan semuanya dalam satu bakul. Pada masa sama, untuk mengubah tanggapan ini, belia harus mengambil langkah untuk mengubah sikap ini terdahulu.

Tanggapan berpunca daripada tindakan mereka sendiri. Sekiranya banyak pertubuhan dan gerakan belia lebih banyak bising daripada bertindak, maka itulah tanggapan yang kita beri kepada orang ramai, golongan ini malas membuat kerja dan hanya mahukan hasil kerja orang lain.

Sebagai seorang yang banyak terlibat dalam gerakan mahasiswa dan belia secara amnya, saya akur hal ini begitu lazim diperhatikan dalam kalangan orang muda bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

Namun minggu lalu, saya mendapat harapan baharu berkaitan kebolehan belia melangkah jauh ketika menghadiri Persidangan ESEAP Wikimedia 2026 di Kaoshiung, Taiwan, dari 15 hingga 17 Mei 2026.

Persidangan tersebut menghimpunkan penggerak usaha ilmu terbuka dari rantau Asia Timur, Tenggara dan Pasifik (disebut ESEAP).

Selain diberi ruang dan peluang untuk membentang dalam tiga sesi yang berbeza sepanjang persidangan, saya bersama-sama beberapa rakan belia turut diberi tanggungjawab yang begitu besar sepanjang persidangan tersebut.

Kami diberi kepercayaan sepenuhnya untuk menjalankan sesi subpersidangan belia sepanjang hari kedua persidangan. Sepanjang sesi ini, peserta belia dijemput berkumpul untuk berkongsi pengalaman serta membincang masa hadapan gerakan belia serantau.

Saya ditugaskan untuk menjalankan satu bengkel latihan bina daya berkenaan cara bekerjasama merentas bidang.

Impian mengadakan sesi belia pada persidangan ini tercetus pada 16 Mei 2025, apabila saya bersama 80 rakan belia dari seluruh dunia berkumpul di Prague, Republik Czech bagi mengambil bahagian dalam Persidangan Belia Wikimedia.

Setelah berbincang dengan teliti bersama perwakilan ESEAP, kami membuat keputusan bagi meletakkan tiga matlamat utama yang harus kami usahakan setelah pulang dari Prague.

Matlamat pertama adalah untuk menubuhkan kumpulan belia serantau. Seterusnya adalah untuk mengadakan subpersidangan belia sempena Persidangan ESEAP 2026. Akhir sekali adalah agar pihak belia terlibat dalam tadbir urus serantau.

Pengalaman di Prague benar-benar membakar semangat untuk berkongsi apa yang kami pelajari bagi memperkasakan belia dalam gerakan Wikimedia di rantau ini. Setelah kembali ke tanah air, kami mula merangka gerak kerja untuk mencapai impian ini.

Walaupun kami semua begitu sibuk dengan kuliah, tugasan dan aktiviti di universiti masing-masing, namun itu semua tidak mematahkan semangat kami untuk terus berusaha keras menyusun kerja dan bermesyuarat secara berkala.

Hasil kerja keras ini, pada 16 Mei lalu, selepas genap setahun bersidang di Prague, ketiga-tiga matlamat yang kami tetapkan berjaya dicapai dengan pelancaran kumpulan belia ESEAP semasa subpersidangan khas belia di hari kedua persidangan itu baru-baru ini.

Namun, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Sebagai tonggak penggerak usaha ini, saya bersama-sama rakan-rakan, Chlod dari Filipina dan Curtis (Hong Kong) perlu tiba sehari lebih awal daripada para peserta persidangan.

Sebaik sahaja tiba di Kaoshiung, kami mula bermesyuarat dan bekerja sehingga lewat malam. Keesokan harinya kami turun padang bersama pasukan teras penganjur bagi memastikan segala persiapan di tempat persidangan berjalan lancar.

Turut sertai, tiga lagi rakan lain yang pernah bersama di Prague iaitu Helen dari New Zealand, Jin (Korea Selatan) dan Asmah (Malaysia). Mereka terus beraksi sejurus tiba di Kaohsiung sehari sebelum persidangan.

 

ANTARA peserta belia yang menyertai Persidangan ESEAP Wikimedia 2026 di Kaoshiung, Taiwan, dari 15 hingga 17 Mei, lalu.

PENGALAMAN BERHARGA

Jauh perjalanan, luas pengalaman. Pengalaman bertandang ke bumi Taiwan selama sembilan hari kali ini terasa begitu berbeza berbanding lawatan ke negara-negara lain, sebelum ini.

Dengan jadual kerja yang amat padat sehingga ke lewat malam, kami tidak mempunyai masa terluang untuk melawat tempat-tempat menarik di kedua-dua kota raya terkemuka Taiwan ini. Sebaliknya, kami berpeluang mengutip pengalaman bekerjasama dengan pelbagai pihak di Taiwan dan memanfaatkan segala masa yang ada untuk usaha ini.

Sepanjang tiga hari persidangan, kami bekerja keras siang malam tanpa rehat dan tidur yang mencukupi agar dapat menjayakan segala yang dirancang selama ini.

Pada waktu petang, tatkala para peserta persidangan bersiar-siar, kami bersama-pihak penganjur akan berkumpul bagi berbincang dan menyiapkan kerja-kerja yang perlu dilengkapkan untuk hari persidangan seterusnya.

Inilah yang menjayakan subpersidangan kami sepanjang hari Sabtu lepas. Kira-kira 40 orang belia mengikuti persidangan kali ini, jumlah terbesar dalam sejarah persidangan rantau ini.

Setelah tamat persidangan, kami berenam mempunyai perancangan yang amat padat seperti mesyuarat bersama pelbagai pihak termasuk Yayasan Budaya Terbuka dan pelajar-pelajar Universiti Kebangsaan Taiwan. Jadual kami padat, namun berjaya merancang dan menetapkan hala tuju gerakan belia di rantau ini.

Bagi saya, kejayaan ini cukup membuktikan belia tidak semestinya malas. Jika dibimbing dengan betul, mereka sanggup bekerja kuat dan boleh berfikir jauh ke hadapan. Belia bukannya hanya tahu membuat bising menuntut itu dan ini, namun tidak mampu melaksanakan tanggungjawab besar yang diberikan.

Walaupun ada dalam kalangan belia yang bersikap ‘tin kosong’, namun tidak adil untuk meletakkan semua dalam bakul yang sama. Pada masa sama, belia juga harus memainkan peranan dalam membuktikan kata-kata negatif kepada mereka tidak benar, bukan merungut semata-mata kerana tidak didengari.

Jika kita masih ingin disuap dan diberi segala-galanya dengan mudah tanpa berkorban dan berusaha keras, maka jangan marahlah apabila kita tidak diambil endah selain digelar malas serta hanya pandai membuat bising sahaja. –UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN