United buru bintang Real Madrid

United buru bintang Real Madrid

Manchester United sedang memantau pemain tengah Real Madrid, Aurelien Tchouameni sebagai calon pengganti Casemiro pada musim depan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Barisan kejurulatihan Manchester United sedang memantau pemain tengah Real Madrid, Aurelien Tchouameni sebagai calon pengganti Casemiro pada musim depan.

Casemiro akan meninggalkan Old Trafford pada musim panas ini selepas tiga tahun bersama kelab itu dan difahamkan Red Devils terbuka untuk berbelanja besar bagi mendapatkan pemain tengah bertahan baharu.

Tchouameni, 26, yang merupakan pemain kelahiran Perancis berada dalam senarai pendek United, namun dijangka menuntut nilai perpindahan yang tinggi jika perpindahan direalisasikan.

Sebarang perpindahan juga bergantung kepada sama ada Real berjaya mendapatkan pemain tengah baharu bagi menggantikan tempat Tchouameni.

Kelab gergasi Sepanyol itu sedang mencari pemain tengah baharu, dengan Rodri dari Manchester City dan Enzo Fernandez dari Chelsea muncul sebagai pilihan.

Kedua-dua pemain itu turut menarik perhatian apabila secara terbuka memberi bayangan mengenai minat mereka terhadap Real dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Rodri, 29, berasal dari Madrid dan pernah bermain bersama Atletico Madrid antara 2018 dan 2019, selain pernah berada dalam akademi kelab itu.

Kontrak semasanya bersama City hanya berbaki sehingga hujung musim depan, namun kenyataannya ketika tugasan antarabangsa baru-baru ini mencetus perhatian pengurusan Madrid.

“Saya mahu kembali ke Sepanyol, sudah tentu. Bagi saya, La Liga adalah tempat saya bermula. Saya masih mengikutinya, walaupun tidak seperti dahulu, tetapi saya masih mengikutinya.

“Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah minat saya. Saya rasa ia liga yang sangat mencabar dan pada masa sama sangat menguji, ia mendorong anda ke tahap maksimum.

“Saya sudah berada di sana selama tujuh tahun dan saya mula merasai perubahan usia, tetapi buat masa ini saya amat gembira di sana,” kata Rodri.

Fernandez pula menerima tindakan penggantungan oleh kelab selepas menggunakan rehat antarabangsa untuk menyatakan hasratnya mahu bermain di Madrid sambil memuji legenda Real, Toni Kroos dan Luka Modric.

Ia turut menyusuli kenyataannya sebelum ini yang meragui masa depannya di Chelsea selepas musim panas ini serta mengkritik keputusan kelab berpisah dengan bekas pengurusnya, Enzo Maresca.

The Telegraph melaporkan Real mungkin terbuka untuk menjual Tchouameni, yang dijangka memainkan peranan penting untuk Perancis pada Piala Dunia 2026 bersama rakan senegara Eduardo Camavinga.

United juga boleh membawa masuk lebih daripada seorang pemain tengah pada jendela perpindahan ini. Trio EPL, Elliot Anderson, Sandro Tonali dan Adam Wharton turut dipantau.

Manuel Ugarte juga berpotensi meninggalkan kelab, namun Kobbie Mainoo dijangka kekal selepas sebelum ini pernah meminta untuk dipinjamkan ketika era pengendali terdahulu, Ruben Amorim. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN