Shah intai kemuncak Sukan Asia 2026

Shah intai kemuncak Sukan Asia 2026

Muhammad Shah Firdaus Sahrom ketika beraksi dalam acara pecut lelaki pada Kejohanan Trek Piala Dunia di Velodrom Nasional, Nilai, kelmarin. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom optimis mampu kembali ke tahap terbaik tepat pada waktunya menjelang Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun pada September ini selepas mempamerkan perkembangan positif di Piala Dunia Trek 2026.

Pelumba kelahiran Muar itu memberi bayangan kebangkitan apabila berjaya mencatat masa bawah 10 saat (s) pada aksi kelayakan pecut semalam dengan 9.895s, sekali gus memenuhi sasaran peribadi selepas hampir setahun bergelut dengan kecederaan lutut.

Walaupun terkandas dalam acara pecut individu selepas tewas kepada wakil Itali, Mattia Predomo, Shah melihat prestasinya sebagai petunjuk jelas bahawa dia berada di landasan tepat untuk kembali bersaing di temasya berkenaan.

“Macam yang saya harapkan, kali ini saya dapat buat bawah 10s, yang mana ini adalah catatan terbaik musim saya selepas lima bulan menjalani pembedahan.

“Jadi itu satu perkara yang positif dan saya rasa kita memang berada di landasan yang betul untuk Sukan Asia dan juga Sukan Komanwel,” kata Shah kepada pemberita selepas perlumbaan di sini, semalam.

Shah sebelum ini terpaksa melalui tempoh sukar selepas mengalami kecederaan lutut susulan kemalangan di Sukan Olimpik Paris 2024 yang memaksanya berlumba dalam kesakitan untuk satu tempoh panjang.

Keadaan menjadi lebih serius apabila kecederaan tersebut disahkan melibatkan retakan halus pada lutut kanan sehingga memerlukan pembedahan pada penghujung September tahun lalu, sekali gus menjejaskan persiapan musimnya.

Dalam pada itu, pada aksi pecut individu semalam, kekurangan dari segi pecutan jelas membataskan kemampuannya untuk mencabar kelompok hadapan, terutama ketika menggunakan gear lebih besar yang masih belum serasi sepenuhnya.

“Kalau ikut pecutan saya, biasanya boleh potong, tetapi pada masa ini badan belum bersedia lagi dan saya kena belajar untuk terima keadaan itu.

“Saya tahu kondisi saya di mana, jadi saya tidak mahu terburu-buru dan fokus untuk kembali secara berperingkat sehingga capai tahap terbaik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN