Rekod Jerez jadi tonik tambahan buat Hakim

Rekod Jerez jadi tonik tambahan buat Hakim

Hakim Danish Ramli memilih untuk kekal di Sepanyol bagi menjalani latihan sepanjang tiga minggu kejuaraan motosikal dunia berehat. - IHSAN SIC RACING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rekod podium di Litar Jerez menjadi tonik tambahan buat Hakim Danish Ramli apabila beraksi dalam perlumbaan Moto3 di Grand Prix (GP) Sepanyol, minggu ini.

Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu pernah muncul selaku naib juara sebanyak dua kali sewaktu bersaing dalam Piala Red Bull MotoGP Rookies.

Selepas berakhir GP Amerika Syarikat tiga minggu lalu, Hakim Danish memilih untuk tidak pulang ke tanah air, sebaliknya kekal di Sepanyol bagi menjalani persiapan rapi.

Anak jati Terengganu itu berkata, selepas tiga minggu berehat, dia tidak sabar kembali beraksi untuk perlumbaan pusingan keempat di Jerez.

“Selepas tamat GP Amerika Syarikat, saya kekal berada di Sepanyol selama tiga minggu untuk meneruskan latihan jentera, berbasikal dan berlari bersama pelumba lain.

“Untuk Litar Jerez, saya tahu trek itu adalah litar kegemaran banyak pelumba dan mereka selalu melakukan latihan di litar ini, tetapi ia bukanlah satu halangan untuk saya memberikan yang terbaik,” katanya di sini, semalam.

Untuk rekod, Hakim Danish kini menghuni tangga ke-14 keseluruhan carta kedudukan pelumba dengan mengumpul sembilan mata selepas tiga pusingan.

Hakim Danish berkata, walaupun terdapat selekoh stop-and-go serta zon hard braking, dia berharap dapat melakukan yang terbaik memandangkan Litar Jerez antara trek kegemarannya yang memiliki selekoh berkelajuan tinggi.

Sementara itu, pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, Litar Jerez akan menjadi litar yang mencabar buat Hakim Danish kerana ramai pelumba telah menjalani latihan di sana dan cukup arif dengan susun atur trek tersebut.

“Cabaran buat Hakim Danish lebih besar, apatah lagi sesi pramusim pada Februari lalu tidak berjalan lancar akibat kemalangan dan beberapa faktor lain.

“Namun, pengalaman tiga perlumbaan yang dilaluinya musim ini sedikit sebanyak memberi keyakinan dan saya berharap Hakim Danish mampu kekal kompetitif seawal sesi latihan bebas pertama,” katanya.

Jelas Zulfahmi, beliau telah menetapkan sasaran khusus yang perlu dicapai pelumba berusia 18 tahun itu berdasarkan cara tunggangan serta rekodnya di Litar Jerez.

“Saya berharap Hakim Danish dapat melakar masa pusingan yang kompetitif dan berada dalam kelompok hadapan pada perlumbaan nanti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN