PETALING JAYA: Persaingan merebut tempat kedua Liga Super musim ini semakin membara apabila tiga pasukan Selangor, Kuching City dan Kuala Lumpur(KL) City FC masih berpeluang mengisi posisi tersebut menjelang baki tiga perlawanan terakhir.
Penganalisis bola sepak tempatan, Azlan Johar menyifatkan situasi itu sebagai perkembangan positif buat saingan liga yang kini lebih kompetitif hingga ke penghujung musim.
Katanya, keputusan seri 2-2 antara Kuching City dan DPMM FC tempoh hari membuktikan tiada perlawanan mudah meskipun berdepan lawan yang dilihat lebih lemah di atas kertas.
“Dalam bola sepak, kita tak boleh ramal. Kadang-kadang bila kita jangka menang, keputusan jadi sebaliknya. Itu yang berlaku sekarang,” katanya.
Azlan berpendapat Selangor memiliki kelebihan untuk menamatkan saingan di tempat kedua, terutama selepas kegagalan melangkah ke final Piala Malaysia yang pastinya menyuntik motivasi tambahan buat skuad Gergasi Merah.
“Secara atas kertas, Selangor ada laluan yang lebih mudah dan mereka sepatutnya mampu kutip mata penuh.
“Namun mereka perlu berhati-hati kerana Selangor kadang-kadang gagal ketika dijangka menang,” katanya.
Dalam masa sama, beliau tidak menolak kemampuan Kuching City yang disifatkan sebagai pasukan berdaya tahan tinggi, terutama ketika berdepan tekanan.
“Kuching ini bila berdepan cabaran, mereka akan bangkit. Kita sudah lihat bagaimana mereka bermain dengan baik dalam perlawanan besar sebelum ini. Lagi kuat cabaran, lagi baik mereka bermain,” ujarnya.
Namun laluan Kuching City dianggap lebih sukar dengan pertemuan menentang pasukan-pasukan mencabar termasuk aksi penentuan menentang KL City pada aksi terakhir liga.
Sementara itu, KL City dilihat berdepan tugas paling getir, terutama dengan pertemuan menentang juara liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu ini.
“Berdepan JDT bukan sesuatu yang mudah. Mereka pasti tidak mahu mencalarkan rekod kemenangan mereka. Jadi tekanan paling besar sebenarnya ada pada KL City,” katanya. – UTUSAN











