PERANG melibatkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel berpotensi mengubah landskap geopolitik dunia secara mendalam.
Lebih membimbangkan, konflik ini memperlihatkan kegagalan sistem diplomasi multilateral apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat tidak lagi berkesan dalam menyelesaikan pertikaian global.
Selepas Perang Dunia Kedua, dunia bersetuju menubuhkan PBB sebagai platform diplomasi bagi mengelakkan konflik bersenjata. Undang-undang antarabangsa turut diwujudkan sebagai asas kepada keamanan dan kestabilan global, dengan negara-negara bersetuju mematuhinya demi kepentingan bersama.
Namun, realiti hari ini menunjukkan prinsip tersebut semakin terhakis. Konflik yang berlaku memberi gambaran bahawa kuasa besar boleh bertindak sesuka hati, manakala negara kecil semakin terdedah tanpa perlindungan yang jelas. Situasi ini menimbulkan persoalan besar tentang masa depan negara-negara kecil seperti Malaysia dalam dunia yang semakin tidak menentu.
Dalam keadaan ini, negara-negara kecil tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada sistem sedia ada. Sebaliknya, mereka perlu memperkukuh kerjasama strategik melalui pendekatan plurilateral, iaitu membina hubungan rapat dengan negara-negara yang berkongsi kepentingan dan nilai yang sama.
Adakah Malaysia masih ada kekuatan diplomasi untuk memulakan hubungan plurilateral ini? Jawapanya ya. Jika Malaysia memugar semula gagasan Melayu Raya bersama Indonesia, Brunei dan Filipina.
Kita mengetahui kelebihan Iran yang masih bertahan dalam perang ini kerana penguasaannya terhadap Selat Hormuz di mana 20 peratus eksport minyak dan gas melalui selat ini.
Penutupan Selat Hormuz bukan sahaja menangkap ‘tengkuk’ AS sehingga lemas malah turut menyesakkan ekonomi dunia.
Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina mempunyai kelebihan geografi kerana Selat Melaka dan Laut China Selatan menjadi nadi perdagangan ke Asia Timur terutama ke China dan Jepun.
Malaysia perlu menggunakan kelebihan geografi ini bagi menahan Malaysia dari dibuli dan dilanyak oleh negara-negara besar yang sekarang bertindak agresif.
GAGASAN MELAYU RAYA
Dianggar purata 220 kapal perdagangan sehari melalui Selat Melaka iaitu membentuk 25 peratus perdagangan dunia melalui selat ini. Ini tidak bermakna Malaysia tidak lagi mempercayai sistem multilateralisme seperti PBB dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Sebaliknya Malaysia harus terus mendukung pendekatan multilateral dalam menyelesaikan pelbagai isu geopolitik namun tidak menafikan usaha Malaysia untuk menyediakan alternatif lain seperti Gagasan Melayu Raya ini.
Saya yakin gagasan ini ialah penyelesaian ampuh bagi memastikan Malaysia terus bersifat neutral dan menjadi negara yang berdaulat.
Melayu Raya mungkin disalah ertikan sebagai cuba mengenang nostalgia lama yang gagal atau melihat sebagai usaha dan cita-cita menyatukan wilayah yang sudah tidak lagi relevan. Sebaliknya, kita perlu meninjau gagasan ini dengan lebih mendalam dan bijaksana.
Melayu Raya tidak harus dilihat sebagai projek geopolitik sempit tetapi sebagai projek peradaban. Melayu Raya ialah usaha menghidupkan kembali kesatuan makna, bahasa dan adab dalam dunia Melayu yang telah lama terpecah dan terpisah.
Melayu Raya menyatukan masyarakat di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina melalui Bahasa Melayu kembali sebagai Lingua Franca. Islam sebagai asas ontologi dan etika. Adat Melayu sebagai manifestasi kehidupan bertertib. Inilah Definisi Melayu Raya.
Tidak dinafikan alam Melayu tidak pernah benar-benar bersatu sebagai sebuah negara bangsa, namun pernah wujud sebagai satu kesatuan peradaban. Dari Srivijaya hingga Melaka, dari Aceh hingga Patani hingga ke Ligor, dari Mindanao ke Sulu dan Palawan. Melayu Raya tidak dibina melalui penaklukan mana-mana negara bangsa sedia ada.
Sebaliknya, dibina melalui kesatuan peradaban. Misalnya berkongsi tokoh-tokoh intelektual secara bersama seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al- Raniri dan Abd. al-Rauf Singkel membentuk jaringan intelektual yang melangkau sempadan geografi.
Begitu juga tokoh seperti Jose Rizal dan Buya Hamka yang ketokohan mereka dikongsi secara bersama.

Sebenarnya usaha ini dilakukan pemimpin nasional Malaysia, Indonesia dan Filipina melalui gagasan MAPHILINDO. Pada 1963, Presiden Indonesia Sukarno; Presiden Filipina, Diosdado Macapagal dan Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman seolah-olah sudah melihat masa hadapan bahawa perlunya gagasan yang menyatukan ketiga-tiga negara secara plurilateral.
MAPHILINDO bukan sahaja pakatan politik tetapi didasari kesedaran ketiga-tiga buah negara berkongsi warisan sejarah dan budaya yang sama.
Justeru, dalam keadaan krisis dunia yang semakin terpolarisasi kuasa besar seperti AS dan China membolehkan idea Melayu Raya dihidupkan semula dalam bentuk yang lebih realistik. Ia tidak perlu mengambil pendekatan politik yang formal seperti MAPHILINDO tetapi berkembang sebagai jaringan peradaban-suatu bentuk kerjasama yang berasaskan ilmu, budaya dan nilai bersama.
Antara langkah segera yang perlu diambil ialah mengangkat semula bahasa Melayu sebagai Lingua Franca dan bahasa ilmu di ketiga-tiga buah negara. Ini boleh dilakukan dengan usaha terjemahan besar-besaran karya-karya besar dunia dalam bahasa Melayu dan disebarluaskan ke tiga buah negara tersebut.
Dari sudut ekonomi, kerjasama antara negara serumpun boleh diperkukuhkan berteraskan pembangunan seimbang. Ini termasuk memperkukuhkan perdagangan intra-serantau dalam sektor minyak dan gas dan industri halal.
Dari sudut keselamatan tenaga, negara dalam lingkaran alam Melayu mempunyai kedudukan yang signifikan sebagai pengeluar minyak dan gas.
Namun, tanpa koordinasi serantau setiap negara bertindak secara berasingan dan terdedah turun naik pasaran global.
Dijangkakan Malaysia boleh menemui nasib sama seperti Filipina yang terputus bekalan minyak dan gas jika tiada langkah drastik diambil. Keperluan domestik Malaysia boleh dimanfaatkan melalui pertukaran minyak dan gas secara serantau bersama Indonesia dan Brunei. Seperti yang dhuraikan Daniel Yergin dalam The New Map, geopolitik tenaga hari ini tidak lagi bergantung kepada satu kuasa tunggal tetapi kepada jaringan like-minded atau negara yang mempunyai falsafah geopolitik ysama yang memerlukan kerjasama strategik antara negara.
Perang Iran memperlihatkan bagaimana negara-negara kecil sering terperangkap dalam percaturan kuasa besar. Adakah Malaysia hanya perlu berpeluk tubuh? Samuel Huntington dalam The Clash of Civilisation menegaskan dunia pasca perang dingin cenderung kepada blok peradaban bukan sekedar pakatan politik.
Negara serumpun Melayu yang berpecah akan lebih mudah dipengaruhi kuasa luar, maka untuk itu gagasan Melayu Raya boleh membentuk satu suara kolektif yang lebih berwibawa dalam menghadapi tekanan geopolitik ini.
Pendek kata, dunia selepas ini akan berubah dan menjadi lebih mencabar. Melayu Raya harus difahami sebagai satu usaha untuk menyusun kembali kekuatan yang telah lama wujud. Gerakan pertama sudah dimulai apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan lawatan dan perbincangan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi mencari penyelesaian tuntas kepada tekanan ini. Jawapannya tidak lain tidak bukan Melayu Raya!
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE).










