Manchester City nyala peluang cabar kejuaraan EPL

Manchester City nyala peluang cabar kejuaraan EPL

Pemain tengah Manchester City, Rayan Cherki (kanan) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol dalam aksi menentang Arsenal di Stadium Etihad, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Manchester City kembali menyalakan harapan memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Arsenal 2-1 dalam aksi penuh dramatik di Stadium Etihad, semalam.

Kemenangan penting itu menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola merapatkan jurang hanya tiga mata, selain masih memiliki satu perlawanan dalam tangan namun Guardiola mengingatkan bahawa Arsenal masih berada di posisi terbaik untuk menentukan hala tuju kejuaraan musim ini.

Bagi pengendali dari Sepanyol itu, kemenangan ke atas pencabar utama bukan sekadar untuk diraikan, sebaliknya menjadi tonik buat pasukannya untuk terus bersaing hingga ke garisan penamat.

“Menikmati perlawanan saya rasa bukan perkataan yang tepat. Tidak. Harapan, perlawanan ini memberi kami harapan. Itu saja.

“Saya cakap kepada pemain selepas perlawanan, nikmati detik ini, tetapi jangan hilang fokus sekarang. Kami ada di situ, tetapi realitinya siapa yang berada di tangga teratas liga? Bukan kami,” katanya.

Guardiola turut menegaskan, kelebihan masih memihak kepada Arsenal sekiranya kedua-dua pasukan mengakhiri musim dengan jumlah mata sama, memandangkan kelab London itu memiliki perbezaan gol yang lebih baik.

Bagi pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui saingan kini seolah-olah bermula semula dengan hanya lima perlawanan berbaki musim ini.

“Liga seakan bermula semula. Mereka ada satu perlawanan dalam tangan, kami tiga mata di depan dan masih ada lima perlawanan, jadi saingan masih terbuka.

“Segalanya masih boleh berlaku. Untuk menang dalam liga ini sangat sukar dan kami akan fokus satu perlawanan demi satu perlawanan,” ujarnya.

Arteta turut menegaskan, Arsenal tidak akan mengalah dalam usaha menamatkan kemarau kejuaraan liga sejak 2004, sekali gus memastikan perlumbaan musim ini kekal sengit hingga ke penghujung. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN