LONDON: Liverpool dilaporkan bersedia mengambil tindakan drastik menamatkan khidmat pengurusnya, Arne Slot pada hujung musim ini.
Keputusan tersebut bakal dipertimbangkan pihak pengurusan selepas prestasi tidak konsisten The Reds dalam semua pertandingan musim ini.
Menurut laporan, pihak pengurusan sudah mula mengadakan perbincangan dan mengenal pasti beberapa calon berpotensi sebagai pengganti jika keputusan itu dimuktamadkan.
Difahamkan, keputusan muktamad mengenai masa depan Slot hanya akan dibuat selepas tamat musim, dengan pihak kelab mahu menilai secara menyeluruh prestasi semasa pasukan.
Dalam masa sama, Liverpool dikatakan sudah mengadakan pertemuan dengan sasaran utama mereka sebagai persediaan awal sekiranya berlaku pertukaran pengurus.
Slot yang mengambil alih pasukan dengan harapan tinggi, bagaimanapun bergelut untuk mengekalkan konsistensi, sekali gus menimbulkan tekanan daripada penyokong..
Sebelum ini, Slot mengakui berdepan cabaran besar untuk mengembalikan semula prestasi Liverpool khususnya di jentera serangan yang dilihat bermasalah.
“Sebagai pengurus, cabaran tidak pernah berhenti. Sama ada ketika mula menangani pasukan besar, menggantikan personaliti seperti Jurgen Klopp atau selepas berdepan kekalahan.
Walaupun berdepan prestasi hambar, Slot menegaskan keyakinan pemain masih kuat.
“Dalam setiap perlawanan yang kami tewas, kami tetap mencipta banyak peluang pada separuh masa kedua. Jika kami terus mencipta peluang sebegitu dan perbaiki beberapa aspek, saya yakin kemenangan boleh diperoleh semula.
“Tetapi apabila anda cuba bangkit dalam perlawanan, anda ambil lebih banyak risiko dan di situlah kami goyah dari segi pertahanan,” kata Slot.
Biarpun khabar angin tentang nasibnya bersama The Reds makin kencang , tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak kelab setakat ini dan segala laporan masih berstatus spekulasi. – AGENSI/UTUSAN









