F1 rugi Verstappen berhenti

F1 rugi Verstappen berhenti

Max Verstappen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNITED KINGDOM: Jika juara dunia empat kali Max Verstappen benar-benar meninggalkan Formula Satu (F1) seperti yang dibayangkannya beberapa kali, ia akan menjadi satu kerugian besar kepada sukan itu, kata pencabarnya dari McLaren, Lando Norris dan Oscar Piastri.

Pelumba Belanda berusia 28 tahun itu, yang memenangi empat kejuaraan berturut-turut dari 2021 hingga 2024 dan hampir meraih gelaran kelima musim lalu, bergelut pada permulaan musim ini bersama Red Bull ketika bersaing dengan Mercedes, Ferrari dan McLaren.

Verstappen berulang kali meluahkan rasa kecewanya terhadap perubahan besar peraturan 2026, yang memberi penekanan lebih kepada pengurusan tenaga elektrik dalam sesi kelayakan dan perlumbaan, selain mengehadkan kelajuan kereta.

“Saya rasa ia akan menjadi kerugian besar untuk sukan ini secara keseluruhan. Sebagai pemandu, kami mahu berlumba menentang yang terbaik dan membuktikan diri kami menentang yang terbaik,” kata Piastri.

Norris, juara dunia 2025 percaya ketiadaan Verstappen akan menjadikan F1 kurang menyerlah.

“Ia akan menjadi satu kerugian untuk sukan ini, satu kehilangan jika itu berlaku, kerana dia mungkin salah seorang pemandu terbaik yang pernah anda lihat dalam Formula Satu,” kata Norris.

Verstappen secara terbuka mengkritik kereta Red Bull miliknya dan menyamakan hala tuju F1 seperti Formula E yang dipertingkatkan atau permainan video Mario Kart.

Pada Grand Prix Jepun bulan lalu, beliau menyatakan hasrat untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan semakin memberi tumpuan kepada perlumbaan ketahanan. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN